Saturday, October 22, 2016

UMNO BAHAGIAN SEMPORNA KEMBALI TEGUH

SEMPORNA, 22 Okt (Bernama) -- UMNO Bahagian Semporna sudah kembali teguh dan bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang, kata pemangku ketua bahagian itu Datuk Nasir Tun Sakaran.

Beliau berkata tindakan beberapa pemimpin UMNO Bahagian itu keluar parti itu tidak menggoncang atau melemahkan semangat perjuangan UMNO di bahagian itu.

Sebaliknya, kepimpinan UMNO bahagian itu tetap setia kepada perjuangan parti dan berusaha mencari formula untuk menyatukan pemimpin veteran dan golongan muda.

"Saya sentiasa mempraktikkan pesan ayah (Tun Sakaran Dandai) supaya merendah diri, berbuat baik dan mengutamakan perjuangan kerana Allah S.W.T

"Demi rakyat yang memerlukan pembelaan, berkhidmatlah dengan jujur dan ikhlas demi perpaduan ummah tanpa mengharapkan balasan," katanya ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Semporna yang dirasmikan Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di sini, hari ini.

Nasir turut mengakui bukan mudah baginya untuk menyusun kembali pentadbiran UMNO Bahagian Semporna setelah banyak dokumen dimusnahkan dan pejabat parti ditutup.

Pada Julai lepas, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang ketika itu Ketua UMNO Bahagian Semporna mengumumkan keluar UMNO dan tindakannya diikuti oleh Naib Ketua Datuk Dr Jaujan Sambakong, Ketua Wanita Manis Muka Dara dan Ketua Pemuda bahagian itu Datuk Aziz Jamman.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment