KUALA LUMPUR, 9 Dis (Bernama) -- Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan semua anggota parti supaya tidak berasa selesa dalam menghadapi pertembungan lebih daripada dua penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) akan datang.
Beliau yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO berkata ini berikutan sesetengah kawasan mungkin tidak akan menguntungkan Barisan Nasional (BN).
"Parti harus diperkuatkan dari dalam, bukan mengharapkan faktor luaran. Pembangkang akan menggunakan apa sahaja pendekatan untuk menang. Mereka hidup atas isu sedangkan BN mengamalkan agenda sentrik," katanya pada sesi penggulungan Perhimpunan Agung UMNO 2017 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.
Ahmad Zahid berkata pengalaman 'terdampar' dua kali di 'pantai politik' pada PRU yang lepas perlu dijadikan iktibar akibat kejutan serangan di saat akhir pembangkang hingga mengakibatkan pengundi terutamanya pengundi yang boleh dipujuk, terpengaruh.
"Hinggakan ada orang kita terperangkap dengan percaturan mereka. Dalam keadaan itu, kita harus hidu terlebih awal pembohongan yang dimainkan oleh ahli strategi pembangkang terutama dalam perang media sosial," kata beliau.
Memetik kata-kata Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyifatkan PRU14 sebagai 'bapa segala pilihan raya', Ahmad Zahid berkata tahap kesiapsiagaan jentera parti sudah mencapai tahap tertinggi.
Presiden mengingatkan kita, pentingnya bergerak sebagai satu pasukan. Bergeraklah dengan penuh keyakinan, kerana kita berada di landasan yang betul. Bertarunglah dengan semangat juang dan tekad yang tinggi, bahawa kita telah berusaha dan merancang, kata beliau.
Ahmad Zahid berkata beliau tidak mahu ada adegan merajuk dan tersentap hati anggota yang tidak dipilih sebagai calon sebaliknya perlu memberi sokongan padu kepada sesiapa sahaja yang dipilih.
Jadilah seorang pengikut yang baik, kerana pemimpin yang baik bermula dari pengikut yang baik, katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid menggesa konsep 'Get Out the Voters' (GOTV) yang bukan sahaja untuk jentera UMNO, malah semua parti komponen BN, dihayati dan dilaksanakan bagi mencapai kemenangan yang lebih gemilang.
Bagi program KERIS 2314 pula, Ahmad Zahid berkata lebih 50,000 pemimpin dan anggota parti telah mengikuti siri satu dan dua program itu untuk melahirkan pemimpin berkarisma, ihsan, rasional, iltizam dan setia dengan sasaran meraih kemenangan dua pertiga dalam PRU14.
Insya-Allah, kita akan mewujudkan Gelombang 2314 selepas ini, kata beliau.
Semasa mengakhiri ucapan penggulungannya, Ahmad Zahid meniupkan semangat kepada 2,718 anggota perwakilan parti dengan mengajak mereka bersama-sama berikrar taat setia kepada presiden parti dan menanam iltizam untuk memastikan kemenangan cemerlang UMNO dan BN pada PRU14.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment