Wednesday, December 20, 2017

23 TROFI JADI REBUTAN ANUGERAH TELENOVELA SABTU INI

KUALA LUMPUR, 20 Dis (Bernama) -- Sebanyak 23 trofi menjadi rebutan penggiat seni tempatan pada Anugerah Telenovela yang bakal berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini Sabtu ini (23 Dis).

Antara kategori yang dipertandingkan pada majlis anjuran Yayasan Pembangunan Buku Negara (YPBN) itu ialah Novel Popular, Telenovela Popular, Novelis Terbaik, Penulis Skrip Terbaik, Stesen Penyiar Telenovela Paling Popular dan Pelakon Terbaik.

Pengerusi YPBN, Hasan Hamzah berkata anugerah yang diadakan bersempena Festival Industri Kreatif bermula dari Jumaat hingga Ahad ini bertujuan mengiktiraf kreativiti penulis dan warga penerbitan buku serta krew produksi yang mampu mengolah bahan bercetak ke layar perak.

"Pengiktirafan ini diharapkan menjadi pemangkin kepada penulisan novel, keilmuan dan kesusasteraan perfilemannya sekaligus mengembangkan industri buku dan kreatif negara," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata telenovela juga akan diperkembangkan ke negara-negara ASEAN yang lain dan mengharapkan pengiktirafan itu menjadi petanda aras untuk drama-drama terpilih dipertandingkan ke peringkat ASEAN kelak.

"YPBN merancang menjadikan Malaysia sebagai hab telenovela di rantau ini, justeru ia akan menaikkan lagi ekonomi negara dan menjadi 'pull factor' bagi aspek pelancongan," tambahnya yang mengharapkan telenovela mampu mengembalikan gelombang sokongan Melayu.

Selain malam anugerah, Hasan berkata pihaknya turut menganjurkan Forum Buku ke Skrin (Book2Screen) pada Sabtu ini di lokasi yang sama.

No comments:

Post a Comment