KUALA LUMPUR: Selepas bekas perdana menteri Najib Razak, giliran Dr Rais Yatim pula mengkritik cadangan Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik untuk memasukkan skandal 1MDB dalam sejarah Malaysia.
Rais yang merupakan bekas menteri dan penasihat kerajaan menyuarakan kebimbangannya terhadap kementerian pendidikan yang diterajui Maszlee.
"Kalau betullah berita ini, sia-sia (jika) dia dibiarkan terus memimpin kementerian pendidikan. Rosak," ciapnya di Twitter.
Setakat ini, ciapan oleh pengerusi Bersatu Negeri Sembilan itu dikongsi 769 pengguna Twitter lain termasuk Anggota Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin.
Ia turut melampirkan satu laporan media bertajuk “Skandal 1MDB masuk sukatan pelajaran Sejarah” yang memetik kenyataan Maszlee berhubung perkara itu.
Ketika sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini, Maszlee berkata skandal 1MDB dan jenayah ahli politik seperti "menyamun" akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia.
MasyaAllah ...kalau betullah berita ni sia sia dia di biarkan terus memimpin Kementerian Pendidikan. Rosak
"Saya boleh memberi jaminan bahawa isu 1MDB akan dimasukkan dalam sejarah Malaysia supaya generasi di masa depan tidak akan mengulanginya," katanya.
Maszlee bagaimanapun tidak menyebutkan secara spesifik sama ada isu 1MDB akan dimasukkan dalam kurikulum sekolah.
Beliau menjawab celahan Anggota Parlimen Pontian Ahmad Maslan berhubung mata pelajaran Sejarah di sekolah swasta.
"Jika kita tidak tahu sejarah, maka berkemungkinan kita akan mengulangi keburukan sejarah yang pernah dilalui, dan saya ingin tahu ada berapa sekolah swasta di negara yang mengambil (subjek) Sejarah seperti 60 Sekolah Menengah Persendirian Cina," katanya.
Najib - yang terpalit secara langsung dengan skandal itu - turut menyindir Maszlee berhubung kenyataan terbarunya itu.
"Saya rasa tak lama lagi Maszlee sendiri akan masuk dalam buku sejarah. Ada masa dan tempatnya kita berpolitik, dan bukan di sekolah," katanya lagi.
No comments:
Post a Comment