Wednesday, December 5, 2018
SIAPA BOHONG: DR AZIZ BARI ATAU SAARANI MOHAMAD?
IPOH: Gambar dan akuan bersumpah lima Adun Umno yang bertemu exco Perak Dr Abdul Aziz Bari menjadi sandaran bagi ketua pembangkang Dewan Undangan Negeri Saarani Mohamad untuk membuktikan dakwaan cubaan menjatuhkan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu, lapor media tempatan.
Saarani dipetik Utusan Online berkata, kesemua bukti berkenaan akan diserahkan kepada pihak polis sekiranya beliau dipanggil untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan.
"Akuan bersumpah ini adalah bukti sahih dan dibuat berasaskan apa yang dilaporkan oleh lima Adun kepada saya. Berdasarkan kenyataan Ketua Polis Negara, kertas siasatan telah dibuka dan ini bermakna saya akan dipanggil pada bila-bila masa.
"Saya bukan menipu dan mereka-reka cerita. Saya ada akuan bersumpah daripada kesemua Adun Umno yang telah ditemui secara peribadi oleh Adun Tebing Tinggi (Dr Abdul Aziz Bari). Dia sendiri pergi jumpa dan gambar pun ada," katanya hari ini.
Saarani juga mengulas penafian yang dibuat Abdul Aziz susulan pendedahan beliau mengenai 'komplot' itu di dalam sidang DUN semalam.
'Saya bukan pembohong'
"Dia perasan dia kuat sebab dapat undian tinggi pada pemilihan DAP.
"Bagaimanapun satu benda yang dia perlu belajar dan fikir, bukan dia seorang sahaja yang berminat dengan jawatan menteri besar, dia silap. Di antara mereka yang lain akan persoalkan.
"Saya bukan pembohong dan tiada niat untuk jatuhkan air muka dia. Saya mahu menjaga keamanan dan keselamatan negeri Perak. Saya tidak mahu cara mendapatkan kerajaan secara tidak demokratik," jelasnya lagi.
Semalam, Abdul Aziz menafikan dirinya menjadi dalang untuk menjatuhkan menteri besar menerusi undi tidak percaya.
Beliau yang juga pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar Negeri menyifatkan tuduhan yang dilemparkan oleh Saarani BN-Kota Tampan) sebagai satu 'cerita kartun'.
Terdahulu, Saarani semasa sesi perbahasan Belanjawan Perak 2019 ‘menggambarkan’ Abdul Aziz sebagai dalang komplot untuk menjatuhkan menteri besar.
Labels:
dr aziz bari,
saarani mohamad
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment