PUTRAJAYA, 9 Dis (Bernama) – Majlis Makan Malam Amal Pakatan Harapan (PH) berjaya mengumpul dana sebanyak RM1.665 juta melalui penjualan meja pada acara yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, malam ini.
Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Timbalan Perdana Menteri, berkata, keseluruhan 156 buah meja telah berjaya dijual bagi mengumpul dana secara telus dan berintegriti.
Menurutnya, dana tersebut dimasukkan terus ke akaun bank PH.
“Kita mahu memastikan iltizam PH untuk tidak menggunakan dana kerajaan untuk aktiviti politik kepartian dapat dilaksanakan.
“Dalam masa yang sama, kita juga mahu gerak kerja parti komponen PH dapat terus berjalan dengan lancar demi manfaat rakyat,” katanya pada majlis itu.
Dr Wan Azizah merupakan pengerusi jawatankuasa majlis berkenaan dengan bertujuan menjana kewangan PH bagi membiayai kos operasi, pengurusan dan aktivitinya.
Majlis bertema ‘Memenuhi Harapan, Mengisi Kemenangan’ itu turut dihadiri Perdana Menteri, yang juga Pengerusi PH, Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Hadir sama ialah Presiden PKR, Datuk Seri Dr Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment