Thursday, January 31, 2019

ORANG MELAYU MASIH SOKONG BERSATU DI SEMENYIH

PETALING JAYA, 29 Jan (Bernama) -- Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin mempunyai peluang cerah untuk mengekalkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil (PRK) kawasan itu yang dijadual diadakan pada 2 Mac ini.

Perdana Menteri merangkap Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata parti itu yakin sokongan pengundi Melayu di kawasan berkenaan kekal bersama Bersatu.

"Saya rasa sokongan orang Melayu di Semenyih masih kuat, tetapi kita perlu ingat bahawa mungkin terdapat lebih dua parti bertanding, jadi undi orang Melayu mungkin boleh berpecah.

“Sudah tentu ia boleh beri kesan tidak baik kepada sesebuah parti tetapi berdasarkan penilaian, kami yakin masih mempunyai peluang yang cerah untuk menang,” kata Dr Mahathir yang juga Pengerusi PH, selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu di sini hari ini.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian penyandang kerusi itu, Bakhtiar Mohd Nor, 57, pada 11 Jan lepas akibat serangan jantung. Penamaan calon ditetapkan pada 16 Feb manakala hari mengundi awal 26 Feb.

No comments:

Post a Comment