Sunday, March 31, 2019

CROSSROADS: ONE TWO JAGA MENANG ENAM ANUGERAH DI FESTIVAL FILEM MALAYSIA

PUTRAJAYA, 31 Mac (Bernama) -- Filem tempatan ‘Crossroads: One Two Jaga’ merangkul anugerah Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-30 (FFM30) malam tadi.

Filem arahan Nam Ron itu turut meraih lima lagi anugerah yang terdiri daripada Anugerah Pengarah Terbaik; Lakonan Layar Terbaik menerusi Amri Rohaiyat, Fared Ayam dan Nam Ron sendiri; Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik Rosdeen Suboh; Cerita Asal Terbaik oleh Pitt Haniff, Muhammad Syafiq dan Nam Ron; serta Poster Terbaik oleh Jazzy Pictures.

Filem yang berkisarkan mengenai kisah di sebalik tabir kehidupan pasukan badan beruniform Polis Diraja Malaysia itu memenangi Anugerah Filem Terbaik dengan mengenepikan empat filem lain yang turut dicalonkan kategori berkenaan.

Trofi disampaikan oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM) Gobind Singh Deo yang turut merasmikan malam kemuncak festival berkenaan.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri KKMM Eddin Syazlee Shith, Pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Datuk Samsuni Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Ahmad Idham Ahmad Nadzri.

Dalam pada itu. Pelakon Wanita Terbaik dimenangi Datin Seri Umie Aida untuk filem berjudul ‘Dukun’, manakala filem Munafik 2 pula menerima anugerah Filem Box Office.

Filem ‘Guang’ yang mengangkat tema kehidupan penghidap autisme, meraih empat anugerah iaitu Penataan Seni Terbaik (Chan Hsien Yu), Pelakon Lelaki Harapan (Kyo Chen), Sinematografi Terbaik (Yeong Tuck Wei) dan Pengarah Harapan (Quek Shio Chuan).

FFM30 turut menyaksikan pelakon, pelawak, pengarah filem dan penulis skrip A.R. Badul dinobatkan sebagai Karyawan Sepanjang Zaman.

Dengan tema ‘Inspirasi Sinemaku’, FFM30 menyaksikan 42 filem bertanding merebut 24 anugerah pada malam kemuncak yang disiarkan secara langsung menerusi Astro Ria dan Astro Ria HD dari Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Berikut merupakan senarai penuh pemenang FFM30:

1. Filem Terbaik: Crossroads : One Two Jaga2

2. Pengarah Terbaik: Nam Ron (Crossroads: One Two Jaga)

3. Pelakon Wanita Terbaik: Datin Seri Umie Aida (Dukun)

4. Pelakon Lelaki Terbaik: Rosdeen Suboh (Crossroads: One Two Jaga)

5. Penyunting Terbaik: Raja Affandi Raja Jamaluddin (Dukun)

6. Penataan Seni Terbaik: Chan Hsien Yu (Guang)

7. Pelakon Kanak-Kanak Terbaik: Eng Wei Jie (Rise of Legend: Lee Chong Wei)

8. Pelakon Wanita Harapan: Jaya Ganoson (The Farm: En Veettu Thottathil)

9. Pelakon Lelaki Harapan: Kyo Chen (Guang)

10. Pengarah Harapan: Quek Shio Chuan (Guang)

11. Skor Muzik Terbaik: Nick Davis (Two Sisters)

12. Pelakon Pembantu Wanita Terbaik: Nabila Huda (Makrifat Cinta)

13. Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik: Hasnul Rahmat (Polis Evo 2)

14. Cerita Asal Terbaik: Crossroads: One Two Jaga

15. Anugerah Khas Juri 1: Asia Tropical Films Sdn Bhd (Paskal The Movie)

16. Anugerah Khas Juri 2: Veedu Productions Sdn Bhd (Vedi Gundu Passange)

17. Anugerah Khas Juri 3: Astro Shaw Sdn Bhd (Buskers)

18. Lakon Layar Terbaik: Amri Rohaiyat, Fared Ayam dan Nam Ron ( Crossroads: One Two Jaga)

19. Penggiat Belakang Tabir: Habsah Hassan

20. Karyawan Sepanjang Zaman: Seniman A.R.Badul

21. Anugerah Filem Box Office: Munafik 2

22. Kostum Terbaik: Andy Sulaiman (Dukun)

23. Penataan Bunyi Terbaik: Imaginex Studios (Pulang)

24. Sinematografi Terbaik: Yeong Tuck Wei (Guang)

25. Lagu Tema Terbaik: Atma Jiwa oleh Monoloque (Buskers)

26. Kesan Khas Terbaik: Pixelpost (Dukun)

27. Poster Terbaik: Crossroads: One Two Jaga

-- BERNAMA

Saturday, March 30, 2019

ADAKAH MAT HASSAN MASIH RELEVAN DI RANTAU?

SEREMBAN, 30 Mac (Bernama) -- Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang bermula hari ini akan menjadi medan kepada Datuk Seri Mohamad Hasan untuk menguji samada pengundi di DUN itu masih mahu memilih beliau.

Mohamad, 63, yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) dalam PRK itu dan telah menjadi ADUN Rantau selama tiga penggal bagaimanapun sedar tugas berat sedang menanti beliau dalam misi untuk mempertahankan kerusi itu yang juga akan menentukan masa depan politiknya.

Beliau yang tidak mahu mendedahkan strategi kempennya mengakui akan berjumpa seramai mungkin pengundi di DUN Rantau.

Thursday, March 28, 2019

LOMPAT PARTI MENJELANG PRK BUKAN PERKARA BARU

SEREMBAN, 28 Mac (Bernama) -- Senario ahli lompat parti untuk bertanding atas tiket bebas setiap kali tiba pilihan raya bukan sesuatu yang baru atau menakutkan, kata Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata perkara itu juga tidak menghalang sama sekali usaha PH untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada pilihan raya kecil (PRK) yang dijadualkan pada 13 April.

Aminuddin berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita mengenai seorang peniaga yang mendakwa akan bertanding sebagai calon bebas pada PRK DUN Rantau kerana kecewa dengan kepimpinan tertinggi PKR memilih Dr S. Streram yang didakwa sebagai orang luar.

Wednesday, March 27, 2019

RUANG UDARA LANGKAWI MASIH BERGEGAR DENGAN BUNYI JET PEJUANG

LANGKAWI, 27 Mac (Bernama) -- Sekali lagi ruang udara Langkawi bergegar dengan bunyi jet pejuang, yang dapat didengar di seluruh pulau.

Pertunjukan udara sudah tidak asing lagi pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19), dan ia sentiasa mendapat sambutan hebat daripada pengunjung sejak edisi pertamanya pada 1991.

Pelawat perdagangan yang mengunjungi landasan terbang di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) sanggup berdiri di bawah panas terik matahari, semata-mata untuk menyaksikan kehebatan aksi pesawat, manakala warga tempatan membanjiri jalan, tidak mahu ketinggalan melihat pertunjukan itu.

Tuesday, March 26, 2019

NURUL IZZAH MASIH BELUM CUKUP MATANG

KUALA LUMPUR, 25 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar tidak sepatutnya mengeluarkan komen tidak baik terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad, apatah lagi menerusi wawancara media Singapura The Straits Times pada Jumaat lepas.

Setiausaha Politik Perdana Menteri Abu Bakar Yahya berkata Nurul Izzah yang arif dalam arena politik, masih belum cukup matang, tidak rasional serta emosi dalam memahami pendirian Dr Mahathir serta kerajaan.

"Apa yang dilakukan oleh perdana menteri dan kerajaan ketika ini tidak harus dilihat secara peribadi oleh Nurul Izzah, sebaliknya perlu dilihat secara menyeluruh demi kepentingan rakyat dan negara.

Saturday, March 23, 2019

STRERAM AKAN GUNAKAN PELUANG KEDUA UNTUK MENANG

SEREMBAN, 23 Mac (Bernama) -- Timbalan Ketua Cabang PKR Rembau Dr S. Streram, yang dinamakan semula sebagai calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Rantau 13 April ini, berazam untuk membuktikan keupayaan diri dalam memberi kemenangan bermakna kepada PH, khususnya di peringkat negeri.

Pakar bius berusia 60 tahun itu diberi peluang kedua sebagai calon PH, setelah sebelum ini dinafikan haknya bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) Mei tahun lepas selepas dihalang masuk ke pusat penamaan calon ekoran ketiadaan pas Suruhanjaya Pilihan Raya.

“Ini peluang kedua saya dan saya akan bekerja bersungguh-sungguh untuk menang. Saya tidak mahu memandang rendah kepada lawan atau terlalu yakin untuk menang dalam PRK ini, tetapi perkara ini bukan yang seharusnya saya fikirkan sangat.

Friday, March 22, 2019

NURUL IZZAH LETAK JAWATAN ANGGOTA PAC KERANA PM KEKALKAN RONALD KIANDEE PENGERUSI

KUALA LUMPUR, 22 Mac (Bernama) -- Anggota Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar telah meletakkan jawatan sebagai seorang daripada anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) hari ini.

"Ya, saya mengesahkan bahaswa beliau telah menarik diri dari PAC,” kata pengarah komunikasi PKR  Fahmi Fadzil ketika dihubungi Bernama malam ini.

Tindakannya dipercayai berpunca daripada keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membenarkan pengerusi PAC Ronald Kiandee kekal jawatan tersebut walaupun anggota Parlimen Beluran itu tidak lagi menjadi anggota pembangkang.