Sunday, December 31, 2017

SHAHIDAN HARAP MAHATHIR KEMBALI KE PANGKAL JALAN

ARAU, 31 Dis (Bernama) -- Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata UMNO tiada masalah untuk menerima permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad sepanjang beliau berkecimpung dalam politik.

"Alhamdulillah, Tun minta maaf. .Jika Tun mengaku ada buat salah kita boleh terima tetapi bila dah tuduh dengan teruk kerajaan yang memerintah, tidak baiklah.. sebab kita semua bukan sempurna.

"Begitu juga bila nak tegur kita kena ingat kita pernah buat salah atau tidak...saya harap kembalilah ke pangkal jalan dan bersama kerajaan supaya kita menjadi lebih kuat dan dapat menunaikan lebih banyak hasrat dan kebaikan untuk rakyat," katanya.

Semasa berucap merasmikan mesyuarat agung pertama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam semalam, Dr Mahathir membuat permohonan maaf itu bagi segala kesalahan yang pernah dilakukannya.

Shahidan yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis dan anggota Majlis Tertinggi UMNO ditemui selepas menyampaikan keperluan sekolah program 'Ceria Kembali Ke Sekolah Felcra Berhad' di Pusat Khidmat anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Tambun Tulang di sini, hari ini.

Felcra menyumbangkan 500 beg kepada anak-anak golongan B40 dalam kawasan Parlimen Arau sebagai sebahagian program khidmat kemasyarakatannya pada majlis itu.

Sebelum itu, Pengurus Besar Felcra Wilayah Utara (Kedah dan Perlis) Wan Mokhtar Wan Muda berkata seramai 1,006 orang anak-anak golongan B40 termasuk anak-anak kakitangan agensi itu menerima bantuan berupa pakaian seragam sekolah, beg, alat tulis, kasut, stoking dan buku latihan.

Dalam perkembangan lain Shahidan berkata pembangkang yang mulai mendekati rakyat untuk memberi sumbangan dan bantuan sejak akhir-akhir ini sama sekali tidak menggugat Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

"Biarlah..Itu hak mereka untuk masuk beri bola sepak raga sebiji, beras sekampit dan sedikit bantuan. Kalau depa (mereka) tak masuk macam mana kita nak lawan dan lihat siapa lebih kuat dalam membantu dan menjaga kebajikan rakyat," tambahnya.

Mengenai Perlis, beliau berkata UMNO telah membuat persiapan jangka panjang dan bersiap siaga untuk menghadapi pilihan raya umum ke-14 yang semakin hampir.

-- BERNAMA

Saturday, December 30, 2017

RATING TERTINGGI BAGI DISEMBER 2017

Disember 2017 menyaksikan posting "Tapak Perwaja dibeli syarikat dari China" mendapat rating tertinggi sebanyak 830 hits. 10 posting tertinggi adalah seperti berikut bagi bulan Disember 2017:-

1. Tapak Perwaja dibeli syarikat dari China (14.12)
2. Kekalkan ahli keluarga Sakaran sebagai calon (11.12)
3. Ahmad Hamzah ganti Idris Haron? (22.12)
4. Jangan letak calon muda melebihi 20 peratus (7.12)
5. Cipta rakit untuk kambing di musim banjir (1.12)
6. Lim Kit Siang dicabar nafi mahu jadi PM (13.12)
7. Lain padang lain belalang (3.12)
8. Sapari calon Parti Warisan bagi DUN Sekong? (10.12)
9. Noh Omar bukan MB Selangor kalau BN menang (2.12)
10. Kebocoran data peribadi 46.2 juta pelanggan data 2014 (12.12)

SALLEH PERTIKAI PERMOHONAN MAAF MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Permohonan maaf Tun Dr Mahathir Mohamad di atas kesilapan dalam karier politiknya dipertikai oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.

Beliau merujuk kepada permohonan maaf bekas perdana menteri itu yang diungkapkan di penghujung ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Shah Alam hari ini.

Dalam catatan blognya, Salleh berkata permohonan maaf Dr Mahathir seolah-olah lebih kepada memberikan alasan daripada meminta maaf.

"Ia berbunyi seperti kenyataan 'sebelum saya pergi...'dalam kata lain ia bukan isu yang penting hanya diselit masuk kerana beliau sudah berada di atas pentas berucap. Permohonan maafnya itu terlalu umum dan ia boleh bermaksud apa saja.

"Adakah Mahathir bercakap mengenai kerugian dagangan mata wang asing atau isu Maminco, isu pemenjaraan Anwar Ibrahim. atau Krisis Perlembagaan, atau Perwaja...atau dia memohon maaf di atas segala kesilapan yang dilakukannya sepanjang 22 tahun sebagai perdana menteri," kata Salleh.
Dalam ucapan dasar itu, Dr Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata: "Sebelum saya akhiri ucapan ini, saya ingin pohon ampun dan maaf jika terkasar bahasa dan tersinggung perasaan sesiapa."

"Saya, seperti manusia lain tidak mungkin sunyi daripada berkata dan melakukan kesalahan bukan sahaja pada hari ini tetapi juga selama saya berkecimpung dalam politik," katanya.

Salleh berkata permohonan maaf yang ikhlas, ia perlu khusus, dan permohonan maaf perlu dinyatakan kepada pihak yang terkilan.

"Permohonan maaf seperti ini boleh dinafikan kemudian kerana ia kurang terperinci atau ia boleh bertukar untuk melindungi apa yang perlu dilindungi apabila diperlukan.

"Bagaimanapun, ia lebih berbunyi seperti (Tun Dr) Mahathir memberikan alasan terhadap kesilapannya dengan mengatakan adalah lumrah bagi manusia untuk melakukan kesalahan...maka ia bermakna beliau tidak boleh dipersalahkan kerana beliau hanyalah manusia," kata menteri itu.

-- BERNAMA

Friday, December 29, 2017

PM SEMENTARA BUKTI MAHATHIR TIDAK DIPERLUKAN

BERA, 29 Dis (Bernama) -- Cadangan pembangkang untuk menjadikan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sementara jika menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang menunjukkan beliau sebenarnya tidak diperlukan, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata cadangan itu juga membuktikan pembangkang sebenarnya masih mahu merealisasikan hasrat Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara.

"Bila mereka sudah ada Anwar, Dr Mahathir tidak akan berguna lagi... sekadar tunggu sehingga Anwar dibebaskan. Keadaan ini seperti tiada rotan akar pun berguna.

"Saya harap Dr Mahathir sebagai perdana menteri yang pernah memimpin negara selama 22 tahun sedar bahawa dirinya hanya dipergunakan," kata Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) kepada pemberita selepas hadir Majlis Tamat Latihan Pelatih GiatMara Bera Sesi 2017 di sini hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah KKLW Pahang Datuk Mohd A. Aruwan Ab Aziz, Ketua Penolong Pengarah GiatMara negeri Hasdee Hamzah, Pengarah Kemas negeri Ahmad Fakhrul Azman Muhammad Radzi dan Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) negeri Johari Alwi.

Ismail Sabri menambah kata walaupun pemilihan perdana menteri ditentukan oleh parti yang memenangi pilihan raya, perkara itu dilihat boleh menjejaskan imej Anwar, jika dia membuat rayuan untuk dibebaskan daripada penjara.

"Anwar mungkin menunggu keampunan Yang Dipertuan Agong untuk dibebaskan, tapi kalau beliau mohon keampunan, secara tidak langsung memberi tanggapan bahawa seolah-olah beliau bersalah kerana mengapa mohon ampun jika tidak salah," katanya.

Semalam, sebahagian media yang memetik sumber melaporkan keputusan PKR pada mesyuarat biro politiknya pada 19 Dis lalu secara prinsipnya bersetuju dengan cadangan pakatan harapan untuk menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri jika berjaya pada PRU14.

Cadangan itu dikatakan mendapat restu daripada Anwar dan dibuat secara bersyarat, antaranya membebaskan segera Anwar dan melantiknya sebagai perdana menteri baharu dalam tempoh enam hingga 12 bulan.

-- BERNAMA

Thursday, December 28, 2017

RISDA MINTA PERMUDAHKAN MEMBAWA MASUK PEKERJA ASING


PADANG BESAR, 28 Dis (Bernama) -- Pengerusi Risda Datuk Zahidi Zainul Abidin meminta kerajaan memberi kelonggaran bagi mempermudahkan untuk membawa masuk pekerja asing untuk sektor perladangan.

Beliau berkata kekurangan pekerja dalam sektor itu menyebabkan kira-kira 600,000 pengusaha ladang sawit mengalami kerugian besar kerana buah tidak dapat dipetik atau lewat dipungut.

"Saya mohonlah Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang mengawal pengambilan pekerja asing dengan memberi permit kepada pihak tertentu untuk mengambil pekerja atau buruh dalam sektor perladangan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan 'Kembali Ke Sekolah 2018' peringkat Parlimen Padang Besar di sini, hari ini.

Zahidi yang juga anggota Parlimen Padang Besar berkata hanya mereka yang terlibat dalam sektor perladangan lebih mengetahui pekerja yang sesuai untuk sektor tersebut.

Katanya industri sawit antara eksport komoditi terbesar negara bernilai berbilion ringgit setahun akan menghadapi masalah jika kekurangan pekerja tidak diberi perhatian serius oleh kerajaan.

Dalam ucapannya, Zahidi berkata jumlah sumbangan Back To School seluruh negara melibatkan 50 buah estet peserta yang layak dan terpilih sahaja.

"Sumbangan ini melibatkan peruntukan berjumlah RM80,000 dalam bentuk bag sekolah dan perkakasan sekolah. Seramai 330 orang pelajarrr menerima sumbangan tersebut bagi zon utara Perlis dan Kedah," katanya.

Katanya lagi, Yayasan RISDA dan Yayasan Taqwa turut memberi sumbangan kepada 410 orang penerima yang layak.



Tuesday, December 26, 2017

ONGKILI TANDING DI DUN TAMBUNAN?


KOTA KINABALU, 26 Dis (Bernama) -- Pemangku Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili memberi bayangan ingin mewakili parti itu bertanding bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Ongkili yang sudah tiga penggal berperanan sebagai anggota Parlimen Kota Marudu, berhasrat untuk menjadi wakil rakyat negeri sekali gus berkhidmat kepada rakyat di Sabah.

"Perkara ini masih dalam perbincangan sama ada bertanding untuk kerusi DUN atau kekal kerusi Parlimen," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Ongkili berkata Tambunan berkemungkinan akan menjadi kawasan diwakilinya jika dapat bertanding bagi kerusi DUN pada pilihan raya akan datang, namun, beliau belum dapat memberi kepastian kerana parti masih lagi membincangkan perkara itu.

Ini kerana, katanya, Presiden parti Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, yang merupakan penyandang kerusi DUN itu ketika ini, masih mempunyai baki satu peratus daripada 99 peratus hasrat untuk tidak bertanding semula pada PRU14 bagi mendengar pandangan barisan kepimpinan PBS sama ada kekal mempertahan kerusi berkenaan atau sebaliknya.

Mengenai kerusi bakal ditandinginya jika kekal sebagai wakil Parlimen, Ongkili tidak dapat memastikan sama ada beliau akan terus kekal di Kota Marudu atau bertanding kerusi lain termasuk Keningau, yang turut disandang Pairin, kerana perkara itu juga belum dapat diputuskan dan masih dalam perbincangan parti.

-- BERNAMA


Monday, December 25, 2017

KKLW MINTA PEMIMPIN HANTAR PERMOHONAN KEMUDAHAN AMENITI SOSIAL

KUALA NERUS, 25 Dis (Bernama) -- Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) meminta pemimpin negeri dan daerah menghantar permohonan bagi kemudahan ameniti sosial kepada kementerian itu selewat-lewatnya pertengahan Januari depan.

Menterinya Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kemudahan itu termasuk lampu jalan, membaiki dan mengecat pagar surau dan membaiki jalan kecil di kampung.

"Kalau boleh saya minta kepimpinan di peringkat Parlimen hantar senarai berkenaan sebab beliau yang tahu kampung mana yang perlukan kemudahan berkenaan. Semua senarai itu perlu diserah kepada kementerian menjelang pertengahan Januari dan kalau ada peruntukan boleh buat terus," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Lampu Jalan Kampung (LJK) Peringkat Terengganu di Gelanggang Futsal Kampung Kesom, Teluk Pasu, di sini, malam ini. Turut hadir, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman serta barisan kepimpinan negeri dan penduduk kampung.

Terdahulu, Ismail Sabri dalam ucapannya berkata kerajaan telah memasang 317,000 unit LJK di seluruh negara dengan peruntukan berjumlah RM245 juta bagi tempoh Rancangan Malaysia Kelapan (RMK-8) sehingga RMK-11