Saturday, May 6, 2017

MAHATHIR BUAT PUSINGAN U SELEPAS 44 TAHUN KUTUK DAP

KUALA LUMPUR, 6 Mei (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak mempersoalkan sikap Tun Dr Mahathir Mohamad yang 'membuat pusingan U secara mendadak dan drastik' terhadap DAP setelah mengutuk dan benci kepada parti itu selama lebih 44 tahun.

Mengulas ucapan bekas perdana menteri itu di Gelang Patah, Johor Bahru malam tadi, beliau berkata pendirian Dr Mahathir mengenai DAP akhir-akhir ini amat jauh berbeza dengan pada Mei 201
3 di mana beliau melabelkan penasihat DAP Lim Kit Siang sebagai seorang rasis, yang patut 'dikebumikan' saja di sana.

Aneh sungguh apabila malam tadi, ketika berucap di Gelang Patah, Dr Mahathir membuat pusingan U daripada pendirian beliau pada Mei 2013 itu.

Bolehlah kita andaikan bahawa dalam keadaan beliau yang terdesak, Dr Mahathir sanggup melakukan apa saja kerana beliau sedar bahawa jika tidak mendapat sokongan kaum Cina, partinya (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan Pakatan Harapan akan dihapuskan pada pilihan raya umum akan datang kerana sekarang pun, mereka sudah kehilangan sokongan pengundi Melayu, kata Salleh dalam catatan terbaru dalam blog beliau, sskeruak.blogspot.my.

Katanya Dr Mahathir tidak henti-henti mengutuk DAP dan penyokongnya daripada kaum Cina dari 1969 hingga 2013.

Pada 1969, Dr Mahathir berkata beliau tidak memerlukan sokongan orang Cina untuk memenangi pilihan raya (umum) dan dengan undi orang Melayu sahaja, boleh boleh menang. Akibatnya, orang Cina membuat keputusan memberi undi mereka kepada PAS dan Yusof Rawa mendapat kemenangan.

Kemudian, Dr Mahathir bertindak balas dengan menulis buku yang berpendirian anti-Cina, 'The Malay Dilemma', yang diharamkan kerajaan, kata beliau.

Salleh seterusnya berkata selepas Pilihan Raya Umum 2013, Dr Mahathir menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana katanya, beliau hanya membuang masa melayan pengundi Cina sebab mereka tidak akan sekali-kali mengundi Barisan Nasional dan lebih baik sahaja beliau memberi fokus terhadap pengundi Melayu, yang menjadi tulang belakang bagi sokongan terhadap UMNO.

-- BERNAMA

Friday, May 5, 2017

CUPAK UNTUK BUNIAN



“U tahu nombor telefon cikgu Shah?” tanya Ali kepada Zaki.

“Tahu. Nanti I periksa nombornya,” jawab Zaki.

“Projek apa pula dengan Cikgu Shah?” soal Zaki.

“Pertukaran. Dia kata dia ada guru yang terima cupak untuk buat pertukaran,” jelas Ali.

Ali pun terangkan konsep pertukaran cupak itu. Alam bunian sedang mencari cupak lama. Bila cupak itu dihantar ke alam bunian, sebagai ganti orang bunian beri imbuhan sebanyak RM5 juta.

“Banyak tu RM5 juta,” kata Zaki.

“Betul ke Ali?” tambah Zaki.

“Entahlah. I pun tak pasti. I dah suruh orang kampung I carikan cupak lama untuk diberi kepada cikgu Shah,” jelas Ali.

Dua hari kemudiannya Ali menghubungi cikgu Shah yang duduk di Subang Bestari.

“Cupak yang Cikgu nak tu dah ada. Bila kami dapat jumpa Cikgu?” tanya Ali.

“Esok pagi boleh. Datang rumah saya. Zaki tahu rumah saya,” jawab Cikgu Shah.

“Zaki kerja sekarang cikgu. Dia tak dapat datang,” jawab Ali.

“You sampai di simpang Sungai Buluh ke Kota Damansara pagi esok, you call saya,” kata Cikgu Shah.

Pagi esoknya Ali tiba di Subang Bestari dengan Wak Kassim dari Kota Tinggi. Wak Kassim yang membawa cupak lama.

“Ini cupaknya cikgu,” kata Ali sambil menyerahkan cupak kepada cikgu Shah.

“Saya pun menunggu kedatangan cupak lain dari Kedah. Dah lama dia janji dengan saya nak datang pagi ini. Kalau dia sampai nanti, kita kena buat yang dia dululah pasal dah lama dia janji dengan saya,” jelas cikgu Shah.

“Tapi Wak ini datang jauh dari Kota Tinggi,” kata Ali.


“You call saya semalam. Orang Kedah ini dah seminggu buat temu janji dengan guru itu,” kata Cikgu Shah.

Kira-kira 15 minit kemudian Muda tiba dari Kedah. Maka cikgu Shah tidak ada pilihan terpaksa membawa Muda ke rumah guru terlebih dahulu. Guru itu tinggal di Kampung Ijok.

Ali terpaksa ajak Wak Kassim balik ke biliknya di Kepong. Nak sewakan hotel untuk Wak Kassim, Ali tak ada duit. Nak minta dengan Zaki, Ali dah tak tergamak. Dah banyak duit Zaki habis untuknya. Sampai RM3, 000 lebih.

Bayar hutang

Tapi Ali sudah bertekad bila projeknya menjadi, dia akan bayar semula hutang Zaki. Zaki pun bukannya ada duit. Dia banyak berhutang dengan kawan perempuannya, Sarimah yang dikenali melalui Facebook. Mujur Sarimah yang bekerja di UPM itu sanggup pinjamkan duit kepadanya.

Malam itu bila Zaki sampai di bilik, dia tengok Wak Kassim yang tidak dikenalinya ada di bilik. Ali pun perkenalkan Wak Kassim kepada Zaki.

“Kata nak buat pertukaran hari ini,” kata Zaki.

“Cikgu Shah kata esok pasal hari ini ada orang Kedah bawa cupak dari sana,” jelas Ali.

“Tapi cikgu Shah kata kalau cupak Muda jadi malam ini, dia akan beri juga duit kepada kita tapi tak tahulah banyak mana. Dia suruh call dia pagi esok jam 9 pagi ambil duit,” sambung Ali.

“Betul ke Ali? Sebelum dapat duit semua orang boleh janji. Dah dapat duit, nanti tak angkat call dah,” kata Zaki.

“Kita tunggu esok pagi,” jawab Ali.

Pagi esoknya tepat jam 9 pagi, Ali call Cikgu Shah.

“Tak ada rezeki kita Ali. Guru telek habis cupak itu. Ada sumbing sikit. Tak jadi pertukaran. Alam bunian tidak mahu cupak yang ada cacat cela. Rugi kita malam tadi,” kata cikgu Shah.

“Cupak yang saya bawa semalam bila nak buat pertukaran?” tanya Ali.

“Malam ini you ajak Wak Kassim datang ke rumah saya,” kata cikgu Shah.

Malam itu Ali dan Wak Kassim tiba di rumah cikgu Shah tetat jam 8 malam. Jam 8.30 malam mereka naik kereta cikgu Shah ke rumah guru di Ijok.

Jam 9. 15 malam mereka sampai di rumah guru itu. Wak Kassim pun memberi cupaknya kepada guru yang kelihatan masih muda.

“Saya rasa cupak ini pun tak boleh pakai,” kata guru itu.

“Kenapa tuan guru?” soal Ali yang tidak sabar.

“Ada cacat,” kata guru itu. Puas Ali dan Wak Kassim mencari cacat, tak jumpa pula.

“Tak ada rezeki kita Ali,” kata Cikgu Shah yang mengajak Ali dan Wak Kassim balik.

Bila Ali dan Wak Kassim meninggalkan rumah cikgu Shah, Ali bersungut, “Rasa-rasanya guru itu temberang. Dia tak boleh buat pertukaran dia kata Wak punya cupak cacat. Padahal mana ada cacat pun”.

“Wak pun rasa begitu. Guru itu temberang. Macam manalah cikgu Shah cari guru,” kata Wak Kassim yang hampa kerana dia sanggup datang dari Kota Tinggi, Johor untuk mendapatkan RM5 juta.

“Lain kali sebelum Wak datang, kamu kena pastikan guru itu betul atau tidak. Buat penat Wak. Dua malam tinggalkan anak bini,” marah Wak Kassim.

“Manalah saya tahu Wak. Saya percaya kepada cikgu Shah,” Ali mempertahankan dirinya.

Entah apa aku nak beritahu Zaki nanti, kata Ali dalam hati.

Thursday, May 4, 2017

ZAHID AKAN TERUS BERDIRI TEGUH BERSAMA NAJIB

PUTRAJAYA, 4 Mei (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa beliau tetap wala' dan berdiri teguh menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam menghadapi ujian dan fitnah.

Beliau berkata arena politik yang kini menjadi medan fitnah menyaksikan Najib selaku pemimpin utama terpaksa berdepan pelbagai tuduhan dan gambaran negatif dalam mentadbir negara dan perkara itu turut dirasai beliau sebagai orang nombor dua.

"Pihak tertentu sengaja menyerang tunggak iaitu perdana menteri yang mengetuai institusi kepemimpinan negara bagi memberi gambaran buruk terhadap kerajaan dan ini adalah suasana mutakhir yang perlu didepani.

"Sebagai orang nombor dua, saya tidak akan tinggalkan perdana menteri keseorangan menghadapi mehnah dan atas konsep wala' (setia), saya akan terus berdiri teguh bersamanya, " katanya ketika berucap merasmikan penutupan Seminar Antarabangsa Fiqh Wala dan Taat: Peranannya Dalam Mensejahterakan Negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.

Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Penasihat Agama kepada Perdana Menteri yang juga Pengerusi Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) Tan Sri Dr Abdullah Md Zin.



Datuk Seri Dr Ahmad Zahid bersama Pengerusi Darul Fatwa-Islamic High Council Australia, Dr Sheikh Salim Alwan Al-Husainiyy
Ahmad Zahid berkata wala' yang diikrarkannya bukan membuta tuli sebaliknya atas perimbangan yang mengambil kira tuntutan agama, pemikiran serta budaya mengikut perspektif Malaysia.

Beliau berkata kecenderungan mengimport budaya luar oleh sesetengah pihak menjadikan politik negara bukan lagi medan mencari muafakat sebaliknya digunakan sebagai medan berkonspirasi, menabur fitnah dan cacian.

"Budaya itu seakan menjadi satu keseronokan apabila berjaya menfitnah orang lain ketika penyebarnya berusaha melepaskan diri masing-masing.

"Itu hakikat ketika ini dan ia lakukan dengan satu tujuan iaitu untuk meletakkan mereka di puncak kuasa," katanya.

Timbalan perdana menteri berkata budaya 'politik populisme totok yang seolah-olah memberikan lesen khas kepada orang politik membuat janji tapi dilanggar dan persendakan selepas mendapat kuasa juga merupakan satu senario yang mewarnai arena politik tempatan.

Ahmad Zahid berkata budaya dari barat yang terikat kepada 'rating' menyaksikan ahli politik sanggup melakukan apa sahaja untuk menjamin kedudukannya tidak merudum di mata masyarakat sehingga mengabaikan perkara yang dituntut agama Islam.

"Pada saya, sebagai pemimpin Islam kita tidak perlu terikat kepada 'rating' manusia sebaliknya perlu lebih khuatir dengan 'rating' di sisi Allah," katanya.

Pada majlis itu, timbalan perdana menteri turut menerima resolusi seminar, yang antara lain menggariskan mengenai fiqh wala' dan taat sebagai instrumen berpolitik dan bernegara, pendidikan masyarakat tentang wala' dan taat adalah berteraskan konsep wasatiyyah dan tabayyun.

Seminar tiga hari anjuran IWM itu dihadiri lebih 700 peserta tempatan dan antarabangsa menyaksikan tujuh sesi pembentangan melibatkan 16 kertas kerja, antaranya oleh Timbalan Syeikh Azhar, Mesir Syeikh Prof Dr Abbas Syuman dan Prof Dr Abdul al-Naseer Abu Al-Basal dari Universiti Yarmouk Irbid, Jordan.

Seminar itu antara lain bertujuan menjelaskan tentang konsep Fiqh Wala' dan Taat daripada perspektif Islam dan realitinya dalam konteks global dan menyebarluaskan pengetahuan dan kefahaman mengenainya dalam kalangan masyarakat.

-- BERNAMA

BESI KUNING: TEMBERANG WAK ZALI



“Esok jadi ke kita nak pergi Kluang?” tanya Datin Noriah kepada Zaki melalui relefon bimbit pada jam 10 malam itu.

“Jadi. Jam 9 pagi saya sampai di rumah Datin,” jawab Zaki.


Esoknya tepat jam 9 pagi Zaki sudah sampai di rumah Datin Noriah dengan kereta Proton Wira.

“Tu saya suka kamu Zaki. Kalau janji jam 9 pagi, tepat jam 9 pagi, awak sampai,” puji Datin Noriah sewaktu masuk ke kereta itu.

“Saya dah biasa macam tu Datin dari muda lagi,” jawab Zaki tersipu-sipu malu.

“Kereta siapa ni Zaki?” soal Datin Noriah seorang janda berumur 40an.

Suaminya seorang Datuk bekas pegawai kanan kerajaan telah menikah dengan pembantu rumah Indonesia secara senyap-senyap.

Apabila Datin Nofiah dapat tahu mereka sudah nikah, maka Datin Noriah minta cerai daripada suaminya. Sudah lima tahun Datin Noriah menjanda. Sejak itu dia tinggal dengan anak-anaknya yang sudah besar.

“Saya sewa Datin dengan boss saya. RM50 satu hari,” jelas Zaki sambil memandu Wira itu ke Kluang. Tiga jam kemudian mereka tiba di pekan Kluang.

“Wak Zali tunggu di mana?” tanya Datin Noriah dalam telefon bimbit.

“Di bulatan yang ada stesen minyak BHP ini,” kata Wak Zali.

Mengekori motosikal

Mereka tiba di bulatan itu dan terus mengekori motosikal Wak Zali ke rumahnya di Taman Sri Lambak.

“Masuk Datin,”pelawa Wak Zali sambil memperkenalkan isterinya Minah.

“Ini Zaki kawan saya,” kata Datin kepada Wak Zali yang berusia akhir 30an.

Sewaktu Datin Noriah dan Zaki tiba di rumah Wak Zali, ada orang nak berubat. Maka Wak Zali selesaikan hajat orang Mersing itu terlebih dahulu.

Setengah jam kemudian bila orang Mersing itu balik, tibalah pula giliran Datin Noriah dan Zaki menemui Wak Zali.

“Apa hajat Datin?” soal Wak Zali.

“Macam saya cakap dalam telefon semalam. Kami nak besi kuning untuk cari rezeki,” jelas Datin Noriah.

“Maknanya kamu berdua yang mahu?” tanya Wak Zali.


“Ya Wak,” sampuk Zaki.

“Tunggu 1 jam lagi, Wak nak rehat kejap. Nak mohon benda baru kena pulihkan tenaga Wak terlebih dahulu,” kata Wak Zali.

Berbual kosong

Sementara menunggu masa satu jam itu, mereka berbual kosong. Zaki banyak juga bertanya kepada Wak Zali kerana Zaki rasa Wak Zali ini bomoh yang hebat juga.

Tepat satu jam, maka Wak Zali pun menurun sambil membaca mentera yang tidak difahami Datin Noriah dan Zaki.

“Kamu mahu apa?” tanya Wak Zali yang sedang dirasuk penunggu Gunung Lambak. Suara Wak Zali sudah berubah.

“Kami nak besi kuning untuk cari rezeki,” jawab Zaki. Datin Noriah yang ketakutan duduk jauh dari Zaki, di sebelah bini Wak Zali.

“Kamu ambillah besi kuning ini. Embah tahu kamu berdua orang jujur. Bawalah pulang besi kuning. Mudah-mudahan kamu dapat rezeki,” kata Wak Zali yang sedang menurun sambil mengeluarkan besi kuning dari bawah kain kuning di hadapannya.

“Terima kasih Wak,” kata Zaki.

“Aku bukan Wak Zali. Aku Embah penunggu Gunung Lambak,” kata Wak Zali.

“Maafkan saya Embah. Kami pulang dahulu,” kata Zaki.

“Baiklah,” jawab Wak Zali yang akhirnya sedar dari rasukan.

Mereka pun meninggalkan rumah Wak Zali ke Kuala Lumpur. Tepat jam 9 malam mereka tiba di rumah Datin Noriah.

“Nanti engkau suruh Ustaz Mukhlis tengok besi kuning ini kot-kot dapat tarik duit,” kata Datin Noriah ketika keluar dari kereta.

“Baiklah Datin,” kata Zaki.

Dalam hati Zaki berkata ada juga Datin pokai. Semua perjalanan dari Kuala Lumpur-Kuang-Kuala Lumpur, sewa kereta, tol, minyak, makan minum sepanjang perjalanan ditanggung oleh Zaki.

“Engkau pakai duit engkau dululah,” kata Datin Noriah pagi tadi. Zaki kata hampir RM300 juga terbang kerana gara-gara Datin Noriah ajak pergi Kluang.

Tiga hari selepas balik dari Kluang, Zaki pergi ke rumah Ustaz Mukhlis untuk pastikan besi kuning itu.

`Butir kacang’

“Ini bukan besi kuning. Ini macam butir kacang saja,” kata Ustaz Mukhlis.

“Tapi Wak Zali kata besi kuning,” kata Zaki. Datin Noriah tidak datang. Dia suruh Zaki yang uruskan semuanya dengan Ustaz Mukhlis.

“Bila dapat duit tarik itu, jangan lupa separuh bahagian itu aku punya,” pesan Datin Noriah kepada Zaki semalam.

“Apa kelebihannya? Kalau ia kebal umum bolehlah buat tarik duit,” kata Ustza Mukhlis.

“Entahlah Ustaz. Wak Zali tak uji pun besi kuning itu,” kata Zaki.

“Kamu ni buang masa pergi Kluang. Kalau ia kebal umum dapatlah ia cari rezeki. Kamu beli ke?” tanya Ustaz Mukhlis.

“Wak Zali bagi percuma tapi kos perjalanan ke sana hampir RM300 Ustaz,” kata Zaki.

“Lain kali sebelum pergi pastikan benda itu besi kuning. Ini macam kacang kuning saja,” kata Ustaz Mukhlis.

“Saya dah beritahu Datin Noriah tak payah pergi. Nanti sia sia sahaja,” jelas Zaki.

“Duit kamu yang habis. Datin Noriah tak keluar satu sen pun,”kata Ustaz Mukhlis lagi.

“Kamu berhentilah buat kerja mengarut ini. Tak ada barang kebal yang kamu cari itu,” Ustaz Mukhlis teruskan leternya.

“Kamu tahu Zaki? Kalau besi kuning yang sebenar, kereta Wira yang kamu naik tu tak boleh bergerak kerana kehebatannya. Dalam rumah lampu boleh padam kalau barang ini betul-betul besi kuning,” jelas Ustaz Mukhlis lagi.

Zaki senyap sahaja mendengar lekcer Ustaz Mukhlis. Aku yang rugi, Datin tak rugi apa-apa, katanya dalam hati.

Wednesday, May 3, 2017

'SACHA INCHI' TAMBAH PENDAPATAN PEKEBUN KECIL RISDA



IPOH:  Negeri Perak, Pulau Pinang, Kedah dan Perlis bakal menjadi perintis penanaman pokok 'sacha inchi' atau nama saintifiknya 'plukenetia volubilis' iaitu sejenis tumbuhan herba bagi membantu pekebun kecil Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menambah pendapatan sampingan.




Pengerusi RISDA Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata sebagai permulaan, sejumlah RM300,000 diperuntukkan untuk membekalkan 10 benih pokok kepada pekebun kecil menaman pokok itu di sekitar halaman rumah masing-masing.




Beliau berkata pihaknya telah menjalankan kajian serta meneliti khasiat pokok itu daripada sudut kesihatan termasuk kaya dengan Omega 3, 6 dan 9 sekali gus mampu memberi pulangan lumayan kepada pekebun kecil RISDA.


"Kalau Datuk Vida keluarkan Pamoga, kita akan keluarkan Risga," katanya sambil berseloroh ketika merasmikan pentup Konvesyen Amalan Pertanian Baik (GAP) peringkat negeri Perak di sini semalam.


Dalam ucapannya, beliau berkata RISDA telah mensasarkan pekebun kecil memperoleh pendapatan sekurang-kurangnya RM4,000 sebulan menjelang akhir tahun 2020.


Katanya, salah satu cara mencapai misi ini adalah melalui Amalan Pertanian Yang Baik (GAP)..


Katanya, amalan GAP bermula dari kerja penyediaan kawasan dan penanaman anak pokok sehingga ke peringkat pengeluaran hasil.


"RISDA telah mensasarkan produktiviti bagi setiap hektar kebun getah adalah 1,800kg/hektar/setahun manakala sawit 20mt/hektar/tahun menjelang tahun 2020," katanya lagi.


Beliau juga menyeru supaya pekebun kecil tidak mudah tertipu dengan hasutan pembangkang terutamanya DAP.


"Bekas Perdana Menteri selama 22 tahun pun boleh ditipu DAP apatah lagi pekebun kecil. Jadi semua pekebun kecil jangan terpengaruh dengan hasutan pembangkang yang mahu memecahbelahkan perpaduan orang Melayu," katanya lagi.

Tuesday, May 2, 2017

RISDA PERUNTUK RM27 JUTA UNTUK AKTIVITI EKONOMI TAMBAHAN







SHAH ALAM, Pada tahun 2017 RISDA memperuntukkan sebanyak RM 27 juta untuk aktiviti keusahawanan merangkumi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET), pembangunan pruduk, premis perniagaan dan pemasaran pameran dan promosi serta jaringan strategik.

Menurut Pengerusinya YB Datuk Zahidi Zainul Abidin ketika merasmikan Karnival Usahawan RISDA peringkat Negeri Selangor, “Pembangunan keusahawanan dan aktiviti ekonomi menjadi fokus utama RISDA pada tahun ini dalam usaha untuk meningkatkan kualiti hidup pekebun kecil selain bergantung kepada komoditi getah dan sawit sahaja, ini merupakan inisiatif RISDA bagi memastikan pekebun kecil mempunyai pendapatan kedua,” katanya.

“Bagi memastikan usahawan RISDA kekal bersaing dimasa depan RISDA membantu usahawan menambah nilai produk dengan meningkatkan keupayaan untuk bersaing di pasaran tempatan atau pun antarabangsa,” katanya.

“Usaha tersebut antaranya memantapkan kemahiran, R&D dan inovasi, pembungkusan dan pelabelan, akreditasi dan persijilan. RISDA turut menyediakan platform bagi membantu usahawan memasarkan produk dengan menyediakan bantuan premis perniagaan.”

“Ini dilaksanakan sama ada dengan bina baru, disewa atau dibeli bangunan yang boleh digunakan sebagai premis perniagaan. Pada tahun ini juga Risda akan membina 7 buah RISSMART di Johor, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Perlis dan Terengganu,” tambahnya.

“RISDA turut menjalankan pelbagai program yang mudah dan hasil boleh diperolehi dengan cepat misalnya memberi latihan dan peralatan yang diperlukan sesudah tamatnya bengkel,” katanya kepada pemberita di SACC Mall semalam.

“Antaranya program pembangunan vendor, Mentor Mentee, Groom Big, Rakan Niaga dan Integrator. Sehubungan itu, dengan peluang dan ruang yang telah disediakan wajarlah semua usahawan pekebun kecil merebut peluang ini bagi menambah rangkaian perniagaan dan pemasaran masing-masing,” katanya.

Monday, May 1, 2017

GELIGA LIPAN



“Zaki, ada geliga lipan nak dijual di Kepong,” kata Ali.

“Apa tu geliga lipan?” tanya Zaki yang kurang mengerti.


“Geliga yang keluar dari lipan. Kalau kita pakai, kita nampak apa yang ada di hadapan kita,” terang Ali.

“Nampak apa?” soal Zaki lurus bendul.

“Kalau orang berjudi guna daun terup, khadam geliga lipan itu boleh beritahu kita apa daun terup yang ada di tangan kawan kita. Jadi kita menanglah,” kata Ali.

“Biar betul Ali,” kata Zaki.

Ali ajak Zaki ke Kampung Melayu Kepong tempat orang elit di hadapan simpang masuk ke FRIM. Tak sangka di atas bukit itu penuh dengan perumahan mewah. Macam di Duta Heights pula, kata Zaki dalam hati.

“Kita nak pergi ke rumah siapa Ali?” tanya Zaki.

“Ke rumah Tengku Ramlah. Dia bomoh diraja. Dia yang ada geliga lipan itu,” kata Ali.

“Kita kena uji dulu barang tu sebelum bawa pembeli. Bawa pembeli dah pun kena bayar. Bukannya percuma,” kata Zaki.
“Kita pergi tengok dulu,” jawab Ali.

Banglo Tengku Ramlah

Setelah puas masuk ke lorong itu dan ke lorong ini di atas bukit itu, maka terjumpalah banglo Tengku Ramlah.

“Assalamualaikum. Emak ada?” tanya Ali kepada seorang remaja umur 20an.

“Mualaikumusalam. Emak ada. Nanti saya panggil.Masuklah dahulu,” jawab remaja lelaki itu.

Ali dan Zaki duduk di atas kerusi di luar banglo itu. 10 minit kemudian Tengku Ramlah yang berusia 50an keluar dari rumah mendapatkan mereka berdua.

“Ali ke ini yang call Mak Ku tadi?” tanya Tengku Ramlah.


“Saya Ali, ini Zaki kawan saya,” jelas Ali.

“Barang tu ada. Kalau nak tengok boleh,” kata Tengku Ramlah sambil menyuruh anaknya ambil bungkusan kuning dalam almari di bilik tidurnya.

Lima minit kemudian anaknya bawa bungkusan yang dimaksudkan itu. Tengku Ramlah terus membuka bungkusan itu dan dalam bungkusan itu terdapat balang kecil. Dari balang kecil itu dikeluarkan sebiji batu halus.

`Geliga lipan’

“Inilah geliga lipan itu,” kata Tengku Ramlah sambil memberi peluang kepada Ali dan Zaki memegang batu kecil itu.

Ali merenung geliga lipan itu sambil memegangnya.

“Kita ada dua pilihan Mak Ku sama ada bawa pembeli itu ke mari atau kita pergi jumpa buyer di Sri Gombak,” beritahu Ali sambil memberi peluang kepada Zaki pula memegangnya.

“Biar pembeli datang ke marilah pasal Mak Ku sibuk berubat orang di rumah ini,” kata Tnegku Ramlah.

“Kalau begitu pagi esok jam 11 kami datang bawak buyer,” kata Ali.

Mereka beredar dari rumah Tengku Ramlah. Tengku Ramlah mahu RM1 juta sahaja. Harga geliga lipan yang sebenar ialah RM4 juta.

Maknanya mereka ada lebihan RM3 juta.

“Tapi siapa nak bayar RM500 kepada Haji Jurit?” tanya Zaki yang mengetahui bahawa Ali akan bawa Haji Jurit dari Bagan Datoh esok.

“Wak Kamarul yang nak bayar. Tak payah bimbang. Yang RM3 juta tu kita bahagilah tiga orang,” jelas Ali.

RM1 juta

Pagi esoknya jam 10 pagi Haji Jurit menunggu ketibaan Ali dan Zaki di Sri Gombak. Seperti biasa Haji Jurit membawa isteri mudanya yang berusia awal 30an sedangkan Haji Jurit sudah berumur 60an.

“Biar betul geliga lipan ini. Bila ayah uji barang tu okay, terus ayah bayar RM4 juta,” kata Haji Jurit.

“Tuan dia nak RM1 juta saja ayah,” kata Ali.

“Kalau begitu ayah bawa tunai RM1 juta sahaja nanti,” kata Haji Jurit sambil menyambung,” RM3 juta lagi kau orang ambil di Sri Gombak inilah”.

Tepat jam 11 pagi Haji Jurit, bininya, Ali, Zaki dan wak Kamarul tiba di banglo Tengku Ramlah. Selepas mereka minum kopi o yang dihidangkan Tengku Ramlah, maka bomoh diraja itu pun keluarkan balang kecil dan menyerahkannya kepada Haji Jurit.

Haji Jurit pun pegang geliga lipan itu.

“Cara ujinya macam ini kalau kita pegang geliga lipan ini, kalau nampak berapa batang rokok dalam kotak rokok ayah ini, ayah bayar harga yang Tengku mahu,” kata Haji Jurit.

Maka Tengku Ramlah pun pegang geliga lipannya. Hampir 10 minit, dia tak nampak apa-apa. Yang ada dalam kotak itu hanya dua batang rokok sahaja.

“Masa sudah habis. Maka geliga lipan ini tidak berhasil mencari rezeki. Nak buat macam mana, “ kata Haji Jurit.

Maka mereka pun beredar dari rumah Tengku Ramlah. Sepanjang jalan Wak Kamarul kutuk Ali kerana Ali kata sudah uji banyak kali geliga lipan itu memang sahih boleh nampak batang rokok dalam kotak rokok.

“Aku yang jadi mangsa,” kata Wak Kamarul yang kesal kerana wang sebanyak RM500 hangus begitu sahaja sebagai bayaran membawa Haji Jurit ke rumah tuan geliga lipan.

Wak Kamarul ingatkan dengan melabur RM500 dapat RM 1 juta hari itu rupanya wang RM500 itu lebur.