Tuesday, November 6, 2018

GARIS PENDAPATAN TETAP KRITERIA UTAMA UNTUK SUBSIDI RON95



KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna mempunyai mekanisme dan syarat tersendiri bagi memastikan subsidi RON95 sebanyak 30 sen seliter benar-benar dinikmati golongan B40 atau pengguna yang berpendapatan rendah.


Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kereta berkapasiti enjin 1,500 cc (1.5 cc) dan motosikal berkapsaiti enjin 125 cc hanya syarat umum, namun garis pendapatan pemilik tetap menjadi kriteria utama bagi melayakkan seseorang pemilik kenderaan menikmati subsidi tersebut.


Dengan kata lain jelas beliau, sekiranya pemilik berkenaan mempunyai kereta 1.5 cc namun tidak termasuk dalam kalangan golongan B40, mereka tetap tidak layak menikmati subsidi 30 sen seliter itu.

"Kriteria yang layak bukan satu sahaja kerana kita ambil kira kombinasi jenis dan umur kenderaan serta garis pendapatan pemilik. Ada orang kaya banyak kereta. Kereta 1.5 cc itu mungkin kereta ketiga atau keempat dia. Kalau dia ada Mercedes-Benz tapi 1.5 cc itu pun tidak layak. Tidak logik golongan B40 mampu beli Mercedes-Benz.

"Saya ambil contoh di Kelantan ini pula ramai yang bawa Mercedes, dan kereta dia di atas 1.5 cc tapi kita tengok balik, itu kereta lama yang usianya sampai 35 tahun. Kita kena pertimbangkan kelayakan mereka juga," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Food Aid Foundation Cawangan Kelantan di Love Kitchen, Berek 12, di sini hari ini.

Ketika membentangkan Belanjawan 2019, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan pemilik kereta berkapasiti enjin 1,500 cc dan motosikal berkapsaiti enjin 125cc akan menikmati RON95 sebanyak sen seliter.

Kata Guan Eng, pemilik kereta akan menerima subsidi petrol RON95 terhad kepada 100 liter manakala pemilik motosikal 40 liter


Monday, November 5, 2018

MANA JANJI PH MAHU ISYTIHAR ASET MENTERI DAN AHLI PARLIMEN PH?



KUALA LUMPUR: Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Governans, Integriti, Akauntabiliti dan Ketelusan (GIAT) kecewa apabila wakil rakyat Pakatan Harapan (HARAPAN) membuat pengisytiharan pendapatan tanpa memperincikan aset keseluruhan mereka.

Pada sidang media hari ini, jurucakap GIAT, Cynthia Gabriel berkata butiran pendapatan menteri dan anggota parlimen yang dimuat naik di laman web SPRM sebelum ini 'jauh dari yang dijanjikan HARAPAN' sebelum pilihan raya umum (PRU) ke-14.

"Pengisytiharan aset bererti anda perlu mengisytiharkan semua aset, termasuk gaji, akaun bank, saham, hartanah, dan seumpamanya, termasuk yang dimiliki di luar negara," katanya.

Cynthia menjelaskan bahawa maklumat pendapatan 10 lagi menteri dan 34 anggota parlimen belum dimuat naik di laman web berkenaan.

"Ini jelas sikap tidak hormat dan 'tak kisah' di kalangan anggota parlimen dan mereka yang memegang jawatan menteri," katanya.

GIAT memberikan masa dua lagi minggu untuk menteri HARAPAN dan anggota parlimen mengisytiharkan aset mereka secara terperinci.

"Sekiranya gagal, GIAT akan menamakan dan memalukan individu dan anggota parlimen yang belum mengisytiharkan aset mereka," katanya.

Cynthia, yang merupakan pengarah Combat Corruption and Cronyism (C4) berkata, GIAT juga akan menamakan anggota parlimen dan menteri yang butiran pengisytiharan pendapatan belum dimuat naik di laman web SPRM.

Dalam manifesto pilihan rayanya, Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk mewajibkan kesemua anggota Dewan Rakyat, Dewan Negara dan pegawai kerajaan berpangkat Jusa C ke atas membuat pengisytiharan aset dan pendapatan.

Banyak pihak yang mengkritik pengisytiharan harta yang disiarkan di laman web SPRM itu kerana hanya melibatkan pendapatan bulanan.

Jumaat lalu, The Star melaporkan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Mohd Shukri Abdull sebagai berkata pihaknya sedang menunggu kata akhir daripada kabinet untuk menyiarkan aset-aset yang diisytiharkan menteri.

Mengulas perkara itu, Cynthia berkata sikap "mengalihkan kesalahan" antara pihak dalam kerajaan seperti itu tidak boleh diterima dan hanya menunjukkan kerajaan HARAPAN tiada tekad politik.

Beliau menggesa kerajaan merangka Akta Pengisytiharan Harta, satu undang-undang baru untuk memastikan individu tertentu mengisytiharkan aset dan liabiliti - dalam dan luar negara - secara berkala.

Untuk itu, katanya lagi, kerajaan boleh merujuk Rangka Kerja Pengiystiharan Harta Umum (PADF) - yang dibuat oleh GIAT dan Badan Peguam Malaysia - untuk merangka undang-undang baru itu.







GIAT adalah gabungan pertubuhan masyarakat sivil merangkumi C4 dan NGO-NGO lain.

Turut hadir adalah Pegawai Penyelidikan Perundangan C4 Fadiah Nadwa Fikri, Setiausaha Agung Amnesty International-Malaysia Muhammad Mohan, dan Pengerusi MyPJ Jeffrey Phang.

Terdapat tanggapan bahawa pengisytiharan harta secara terperinci membawa ancaman risiko kepada ahli politik dan keluarga mereka.

Mengulas perkara itu, Phang berkata ahli politik sepatutnya sudah menjangka tuntutan untuknya berbuat demikian dan tidak menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan.

"Kita boleh lihat ramai taikun di Malaysia yang kia tahu sangat kaya, dan mereka mengisytiharkan akaun dan saham milik mereka. Mengarut untuk mereka (ahli politik) berkata mereka tidak akan berbuat demikian (kerana faktor keselamatan)," katanya lagi.

Sunday, November 4, 2018

ZURAIDA AKAN BAWA ISU KEANGGOTAAN PKR JULAU KE MESYUARAT PUSAT MINGGU DEPAN

SIBU, 4 Nov (Bernama) -- Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Zuraida Kamaruddin akan membawa kemelut keanggotaan yang melanda PKR cabang Julau ke satu mesyuarat peringkat pusat parti pada minggu depan.

Beliau berkata, pucuk pimpinan parti perlu meneliti serta membincangkan permasalahan tersebut bagi mengelakkannya berterusan.

Katanya, perkara tersebut pernah dibangkitkan tetapi setakat ini belum ada keputusan jelas dicapai.

“Saya ingat dah beberapa kali di bawa ke peringkat pusat (PKR) tapi seolah-olah tidak ada keputusan jelas. Saya harap minggu depan ada satu lagi mesyuarat yang boleh kita bincangkan lagi untuk kebaikan parti, satu keputusan bijak dan adil harus dibuat.

“Kita hanya ada (masa) satu minggu sahaja lagi, esok (sudah) Isnin sampai Jumaat. Kita tengok apa keputusan dibuat pucuk pimpinan samada untuk meneruskan (pemilihan PKR cabang Julau) atau menangguh," katanya pada sidang media malam ini selepas membuat tinjauan ke beberapa rumah panjang kawasan daerah Sibu dan Kanowit pada sebelah siang.

Saturday, November 3, 2018

AZMIN KUAT TEMBERANG



KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Rahman berkata calon Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kuat temberang apabila beliau menjangkakan jumlah anggota Parlimen daripada UMNO akan semakin menyusut menjelang akhir bulan Oktober lalu.

Berucap pada Pidato Malaysia Baru sempena pemilihan PKR di Kuala Terengganu pada 1 Oktober lalu, Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi, berkata daripada 49 anggota Parlimen UMNO ketika ini, akan tinggal 'tiga, empat kerat sahaja'.

"Keadilan (PKR) hari ini adalah blok terbesar di Parlimen. PKR ada 51 anggota Parlimen, DAP mempunyai 42 anggota Parlimen, UMNO ada 49 orang. Esok mungkin 40 orang, kemudian 20 orang dan hujung bulan ini tinggal tiga empat kerat sahaja," katanya. 

Tajuddin mendakwa Azmin nak menang jawatan timbalan presiden PKR menggunakan isu empat ahli parlimen Umno sahaja yang tinggal semata mata untuk menarik undi daripada ahli ahli PKR.

"Nak kempen pun gunalah isu lain, "kata beliau yang menegaskan 40 ahli parlimen Umno akan buat keputusan secara en block untuk bekerjasama dengan mana-mana parti.

Katanya lagi, Umno masih kuat kenapa perlu lompat ke parti yang kecil.

Beliau tidak bersetuju Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti dari jawatan Presiden Umno kerana katanya jika semua pemimpin Umno didakwa di mahkamah maka semua akan bercuti .

"Lim Guan Eng pun tak letak jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang ketika didakwa di mahkamah sedangkan Zahid bukan lagi ada jawatan kerajaan," tegasnya.



RATING TERTINGGI BAGI BULAN OKTOBER 2018

Berita "Graduan UCAM diseru lakukan anjakan paradigma" yang disiarkan dalam blog ini pada 11 Oktober lalu mendapat rating tertinggi dengan 264 hits bagi bulan Oktober 2018.

10 rating tertinggi ialah:-

1. Graduan UCAM diseru lakukan anjakan paradigma (11.10) - 264 hits
2. Sempatkah Anwar jadi PM? (15.10)
3. Azan Ismail tolak tawaran RM5 juta kerana yakin dengan perjuangan Anwar (3.10)
4. Hujung bulan ini ahli parlimen umno tinggal 4 orang sahaja( 1.10)
5. Ada juga orang percaya DIMP diberi dengan harga RM5,000 (23.10)
6. Mahathir bersara PM selepas dua penggal pada tahun 2028? (18.10)
7. Mana pemuda Umno bila Zahid dituduh pecah amanah? (18.10)
8. Dasar kebangsaan industri 4.0 garis 13 strategi (31.10)
9.Takkan Azmin bekas MB kalah di Selangor (14.10)
10. Beri peluang Mahathir pimpin negara satu penggal (28.10)

Friday, November 2, 2018

KERAJAAN LAMA BAYAR HUTANG 1MDB HAMPIR RM7 BILION SECARA RAHSIA

KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Hari ini akan mencatat sejarah apabila bajet persekutuan pertama dibentangkan di Parlimen oleh sebuah kerajaan baharu sejak negara mencapai kemerdekaan pada 1957.

Bajet 2019 oleh kerajaan yang diterajui Pakatan Harapan itu dibentangkan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada jam 4 petang.

Walaupun harapan rakyat tinggi, ia boleh menjadi satu daripada bajet yang paling sukar di tengah-tengah dakwaan penyelewengan, perbelanjaan diragui serta hutang tinggi yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional, menjadikan lembaran imbangan fiskal hampir tidak dapat diperbaiki.

Berikut adalah maklumat terkini mengenai Belanjawan 2019:

- Menteri Kewangan Lim Guan Eng bentang Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat.

- Belanjawan 2019 adalah belanjawan julung kali dibawah Kerajaan Pakatan Harapan - Lim Guan Eng.

- Kerajaan mendapati pentadbiran terdahulu telah secara rahsia membayar hutang 1MDB hampir RM7 bilion sehingga 30 April 2018.

- Belanjawan 2019 bertemakan 'Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera' .

- Tumpu tiga fokus dengan 12 strategi utama bagi mengembalikan kedudukan ekonomi Malaysia sebagai Harimau Asia.

- Kerajaan Persekutuan telah menstruktur semula pendekatan belanjawan melalui Zero-Based Budgeting iaitu sistem belanjawan berasaskan sifar belanjawan.

- Kerajaan akan membentangkan Akta Kebertanggungjawaban Fiskal atau Fiscal Responsibility Act pada 2021 untuk mengelak perbelanjaan yang tidak terkawal dan menyebabkan hutang yang maha besar.

- Kerajaan berhasrat bentang Akta Perolehan Kerajaan tahun depan untuk kawal selia proses perolehan bagi memastikan ketelusan dan persaingan terbuka.

- Kerajaan akan melaksanakan perakaunan akruan bagi menggantikan perakaunan asas tunai bermula 2021.

- Jumlah jaminan kerajaan meningkat dari RM69.2 bilion pada tahun 2008 kepada RM238 bilion pada 2017 iaitu peningkatan drastik sebanyak 244%.

- Kerajaan akan wujudkan Pejabat Pengurusan Hutang yang bertanggungjawab untuk semak dan urus hutang dan liabiliti kerajaan.

- Kerajaan telah berjaya mengurangkan kos keseluruhan projek LRT3 daripada RM31.6 bilion kepada hanya RM16.6 bilion.

- Kerajaan akan bekerjasama dengan kerajaan asing untuk memulangkan segala aset dan wang tunai berkaitan dengan 1MDB yang telah dirampas.

- Low Taek Jho atau Jho Low yang terlibat skandal 1MDB telah didakwa di Amerika Syarikat.

- Hutang langsung kerajaan persekutuan mencatat RM687 bilion atau 50.7 peratus daripada KDNK pada akhir 2017.

- Kerajaan rancang untuk melaksanakan penjualan tanah secara berjadual dan berperingkat kepada pembida tertinggi tertakluk kepada syarat tanah bagi memaksimumkan hasil kepada kerajaan.

- Kerajaan akan memperkenalkan sistem kredit untuk potongan cukai jualan mulai 1 Januari 2019.

- Perkhidmatan yang diimport akan dikenakan Cukai Perkhidmatan.

- Bagi perkhidmatan atas talian yang diimport oleh pengguna, penyedia perkhidmatan asing akan dikehendaki berdaftar dengan kastam, mengenakan dan meremit cukai perkhidmatan yang berkaitan berkuatkuasa mulai 1 Januari 2020.

- Kerajaan akan lancar Program Khas Pengakuan Sukarela (Special Voluntary Disclosure Program) untuk memberi peluang kepada pembayar cukai mengisytiharkan secara sukarela sebarang pendapatan yang tidak dilaporkan.

- LHDN akan teliti dan siasat harta kekayaan luar biasa yang ditunjukkan melalui pemilikan barang-barang mewah seperti barang kemas, jam tangan, beg tangan, kereta mewah atau hartanah.

- Cukai, fi dan levi sektor perjudian yang tidak dinaikkan sejak 2005 turut dipinda.

- Lesen kasino akan dinaikkan dari RM120 juta kepada RM150 juta setiap tahun.

- Duti kasino akan dinaikkan kepada 35 peratus ke atas pendapatan kasar.

- Kerajaan akan meneruskan dan menambahbaik Bantuan Sara Hidup (BSH) kepada B40 dengan memberikan bantuan secara lebih bersasar.

- Isi rumah berpendapatan bulanan RM2,000 dan ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM1,000.

- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM3,001 hingga RM4,000 akan menerima bantuan berjumlah RM500.

- Isi rumah berpendapatan bulanan dari RM2,001 hingga RM3,000 ke bawah akan menerima bantuan berjumlah RM750.

- Kerajaan akan memperkenalkan kadar tambahan BSH RM120 untuk setiap anak berumur 18 tahun ke bawah terhad kepada 4 orang, kecuali anak OKU yang tidak dihadkan umur mereka.

- Dianggarkan sebanyak 4.1 juta isi rumah akan terus menerima bantuan kewangan daripada kerajaan dengan peruntukan RM5 bilion.

- Subsidi minyak secara bersasar kepada pihak memiliki sebuah kereta sahaja yang berkapasiti enjin 1,500cc dan ke bawah atau motosikal berkapasiti enjin 125cc dan ke bawah.

- Kerajaan akan memberi subsidi petrol RON95 sebanyak 30 sen seliter terhad kepada 100 liter sebulan bagi kereta atau 40 liter bagi motosikal.

- Bagi menstabilkan bekalan dan menyeragamkan harga barangan keperluan asas, terutama di Sabah dan Sarawak, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM150 juta.

- Kerajaan akan mengenal pasti dan bekerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan dan social enterprise untuk menyokong usaha mereka dalam membantu komuniti yang kurang bernasib baik dan terpinggir.

- Kerajaan akan mengkaji semula undang-undang buruh bagi memperkasakan pasaran buruh, kebajikan pekerja dan melarang sama sekali amalan diskriminasi oleh pihak majikan.

- Kerajaan melalui usahasama dengan syarikat insurans swasta akan memperkenalkan Dana Perlindungan Kesihatan Nasional B40.

- Kerajaan prihatin dan ingin membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan dengan melaksanakan sepenuhnya Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) mulai 1 Januari 2019.

- Pemberian bantuan sebanyak RM500 secara one-off kepada pesara yang layak.

- Kerajaan meluluskan kemudahan Cuti Tanpa Rekod kepada pegawai beragama Islam untuk tunai ibadah umrah sebanyak tujuh hari sekali sepanjang tempoh perkhidmatan.

- Kerajaan peruntukkan hampir RM29 bilion untuk perkhidmatan kesihatan yang merupakan peningkatan sebanyak 7.8% berbanding tahun lepas.

- Bagi hargai penjawat awam bukan beragama Islam, Kerajaan perluas kemudahan cuti tanpa rekod tujuh hari bagi tujuan keagamaan sepanjang tempoh perkhidmatan.

- Kerajaan teruskan program saringan percuma pengesanan kanser payudara (mamogram), program vaksinasi HPV dan ujian saringan Pap Smear di hospital dan klinik Kerajaan dengan peruntukan sebanyak RM20 juta.

- Kerajaan cadang perkenalkan duti eksais mulai 1 April 2019 pada kadar 40 sen per liter ke atas dua kategori minuman bergula dikilangkan dalam bentuk pembungkusan yang sedia diminum.

- Mempertingkatkan keselamatan dalam negeri dan pertahanan negara dengan peruntukan pembangunan RM5.9 bilion kepada Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri.

- Peruntukan RM400 juta untuk penyelenggaraan dan membaik pulih kuarters kerajaan yang dikenal pasti.

- REHDA bersetuju untuk mengurangkan sebanyak 10% harga rumah yang tidak tertakluk kepada kawalan harga untuk projek baharu.

- Kerajaan peruntukkan RM240 juta dengan memperkenalkan pas bulanan RM100 tanpa had perjalanan meliputi perkhidmatan rel dan bas RapidKL mulai 2019.

- Kerajaan turut memansuhkan tol motosikal di Jambatan Pertama dan Kedua di Pulau Pinang, serta Lebuhraya Laluan Kedua di Johor dengan implikasi kewangan dianggarkan sebanyak RM20 juta setahun mulai 1 Januari 2019.

- Kementerian Pendidikan adalah penerima peruntukan yang terbesar berjumlah RM60.2 bilion atau 19.1 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan tahun 2019.

- Peruntukan bantuan pendidikan berjumlah RM2.9 bilion untuk membantu golongan miskin melalui bekalan makanan, buku teks dan bantuan tunai.

- Kerajaan naik taraf dan selenggara semua sekolah dengan peruntukan RM652 juta berbanding RM615 juta tahun 2018.

- Kerajaan sedia peruntukan RM100 juta untuk pembinaan semula sekolah daif seluruh negara.

- Memperkasa aktiviti penyelidikan di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan peruntukan RM400 juta.

- Kerajaan teruskan pemberian biasiswa dan pinjaman pelajaran dengan peruntukan RM3.8 bilion di mana RM2 bilion diperuntukan khusus kepada pelajar Bumiputera tajaan MARA.

- Kerajaan peruntukkan RM17.5 juta kepada MyPAC untuk hasilkan 600 akauntan Bumiputera yang diiktiraf dalam jangka masa lima tahun.

- Pembayaran balik PTPTN dengan cara potongan gaji berjadual antara dua peratus hingga 15% daripada pendapatan bulanan peminjam berpendapatan melebihi RM1,000 sebulan.

- Pelepasan cukai kepada syarikat yang membantu menyelesaikan baki pinjaman PTPTN pekerja bagi tahun berakhir 2019.

- Layanan pelepasan cukai pendapatan individu bagi Skim Simpanan Pendidikan Nasional dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.

- Menubuhkan Jawatankuasa Khas Bagi Kewangan Islam yang diketuai Kementerian Kewangan dan dianggotai BNM dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

- Kerajaan memperuntukkan RM1.2 bilion bagi tahun 2019 berbanding RM1.1 bilion tahun 2018 bagi memastikan kemajuan syiar Islam tidak terjejas.

- Kerajaan akan laksana Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) dengan peruntukan RM1 bilion.

- Kerajaan akan menguatkuasakan Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) yang dijangka akan menurunkan harga jalur lebar talian tetap sekurangnya 25% pada hujung tahun 2018.

- Sebanyak RM210 juta diperuntukkan bagi tahun 2019 sehingga 2021 untuk menggalakkan peralihan kepada Industri 4.0.

- Khazanah Nasional Berhad akan membangunkan 80 ekar tanah di Subang sebagai hub aeroangkasa bertaraf dunia.

- Kerajaan melalui BPMB akan menyediakan dana Transformasi Pendigitalan Industri dengan saiz dana RM3 bilion dengan insentif subsidi kadar faedah dua peratus.

- Dana pembiayaan PKS oleh institusi kewangan komersial sebanyak RM4.5 bilion dengan 60 peratus jaminan SJPP termasuk RM1 bilion untuk PKS Bumiputera.

- Dalam laporan Doing Business Report 2019 oleh Bank Dunia, Malaysia telah melonjak dari tempat ke-24 ke tempat ke-15 di peringkat global.

- Memperuntukkan RM100 juta bagi menambahbaik keupayaan industri PKS dalam industri halal.

- Menyediakan Skim Pembiayaan PKS Patuh Syariah berjumlah RM1 bilion disediakan oleh institusi kewangan Islam dengan kerajaan memberi subsidi kadar keuntungan sebanyak dua peratus.

- Permodalan Usahawan Nasional Berhad akan menyediakan peruntukan RM200 juta bagi industri pemborongan dan peruncitan serta pembelian premis perniagaan untuk disewa kepada PKS Bumiputera.

- Sebanyak RM100 juta diperuntukkan kepada TEKUN untuk membiayai usahawan kecil.

- RM2.46 bilion bagi kerja menaik taraf dan memulihara landasan keretapi untuk mempertingkatkan infrastruktur pengangkutan negara.

- Menjadikan tanah seluas 380 ekar di Pulau Indah sebagai Zon Perdagangan Bebas untuk menyokong dan memangkin aktiviti perkapalan dan logistik di Pelabuhan Klang.

- Peruntukan RM30 juta bagi membantu semua pekebun kecil kelapa sawit mendapatkan pengiktirafan persijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO).

- Kerajaan sedia Insentif Pengeluaran Getah dengan peruntukan RM50 juta bagi mengurangkan kesan kejatuhan harga getah kepada pekebun kecil.

- Pekebun kecil akan menerima sokongan pendapatan daripada Insentif Pengeluraran Getah jika harga getah jatuh bawah RM2.20 sekilogram.

- Geran sepadan RM100 juta akan disediakan kepada syarikat swasta bagi program promosi dan pemasaran pelancongan antarabangsa untuk meningkatkan angka ketibaan pelancong.

- Kemudahan bebas cukai kepada kedai bebas cukai di Pelabuhan Swettenham di Pulau Pinang bagi menggalakkan lagi sektor pelancongan kapal persiaran.

- Kerajaan komited jadikan Pulau Pangkor sebagai pulau bebas cukai untuk merealisasikan potensi sebenar pulau tersebut.

- RM20 juta kepada Malaysia Healthcare Tourism Council (MHTC) untuk menjalinkan usahasama dengan hospital swasta yang terkemuka bagi menjenamakan Malaysia sebagai destinasi pelancongan kesihatan.

- Membina dan menaiktaraf jalan raya, jalan luar bandar dan jambatan dengan peruntukan RM926 juta.

- Kerajaan perluas akses bekalan elektrik dan air di luar bandar dengan peruntukan masing-masing RM694 juta dan RM738 juta.

- Peruntukkan RM100 juta untuk memperkasa pembangunan masyarakat Orang Asli.

- Bagi penempatan FELDA, kerajaan akan menyediakan peruntukan RM100 juta bagi menaiktaraf jalan, RM160 juta bagi projek sistem bekalan air, RM35 juta bagi projek membina dan naiktaraf bangunan serta projek pemasangan lampu jalan.

- Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah dan Sarawak tertakluk kepada kajian rasionalisasi kos.

- Dana sebanyak RM2 bilion disediakan di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau untuk galak pelaburan industri teknologi hijau.

- Belanjawan 2019 akan memperuntukkan sejumlah RM314.5 bilion dalam perbelanjaan berbanding anggaran RM290.4 bilion peruntukan pada tahun 2018.

- Peruntukkan RM10 juta disediakan untuk menambah 50 taska di bangunan kerajaan ke arah meringankan bebanan kerja ibu yang bekerja.

- Kerajaan mencadangkan bayaran khas sebanyak RM500 kepada semua penjawat awam gred 54 dan ke bawah, manakala RM250 kepada pesara kerajaan.

- Tabung Harapan Malaysia ini merupakan simbol semangat taat setia dan patriotisme rakyat Malaysia untuk membantu Kerajaan Persekutuan melangsaikan hutang negara yang diwarisi pentadbiran terdahulu.

-- BERNAMA

Thursday, November 1, 2018

KPLB PERLU KREATIF DALAM KEWANGAN YANG TERHAD

KUALA LUMPUR, 1 Nov (Bernama) -- Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan menggunakan kaedah lebih kreatif dalam memastikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di kawasan luar bandar dapat dibekalkan, dalam keadaan kewangan negara yang terhad.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata kementerian berusaha memenuhi tanggungjawab kepada rakyat, terutama meneruskan projek-projek yang memberi kesan secara langsung kepada masyarakat luar bandar.

"Dengan keadaan kewangan negara sangat terhad, tapi dalam masa sama kita ada tanggungjawab untuk beri perkhidmatan terbaik kepada rakyat, maka kita perlu lebih kreatif, kita kena kurangkan ketirisan dan pembaziran.

“Kaji semula projek-projek yang sedang dilaksanakan dan kita lihat boleh buat penjimatan lima hingga 10 peratus, serta dalam masa yang sama memperkukuhkan penyelarasan antara kerajaan negeri dengan pusat.

"Kita amat berharap semua yang dipohon dalam Belanjawan 2019 yang akan dibentangkan esok, diluluskan demi manfaat sepenuhnya kepada masyarakat luar bandar," katanya dalam temu bual eksklusif dengan Bernama, di sini.

Rina bagaimanapun tidak mendedahkan jumlah peruntukan yang dipohon KPLB. Belanjawan 2019 akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat, esok.

Mengulas lanjut, katanya dengan keadaan ekonomi negara yang tidak begitu memberangsangkan ketika ini, ditambah saranan kerajaan untuk berjimat cermat, kementeriannya terbuka untuk bekerjasama dengan pihak swasta dan badan bukan kerajaan yang mampu menawarkan projek pembangunan dengan harga lebih murah namun tidak menjejaskan kualiti.

"Kita akan mengkaji jika projek-projek seperti pembinaan rumah, jalan, sistem bekalan air terutamanya di kawasan pedalaman dengan kualiti tinggi tetapi kos yang murah ini boleh dilaksanakan, terutamanya di kawasan terpencil seperti di kawasan-kawasan di Sabah dan Sarawak serta di tempat-tempat yang lain, kenapa tidak," katanya.

Anggota Parlimen Titiwangsa itu berkata bajet kali ini fokus pada pembangunan infrastruktur seperti pembinaan jalan, bekalan air dan elektrik di luar bandar, selain mengadakan program pendidikan dan keusahawanan, dua elemen penting dalam meningkatkan taraf hidup masyarakat luar bandar, terutama mereka yang masih berada di bawah garis kemiskinan.

Selain itu, katanya, hampir 50 peratus bajet yang akan diterima nanti, diperuntukkan kepada pembangunan Sabah dan Sarawak yang memerlukan kos projek lebih tinggi berikutan faktor geografi kedua-dua negeri itu.

"Kita ada pelan khas untuk Sabah dan Sarawak, kita jamin selepas ini kedua-dua negeri ini takkan ketinggalan dari segi pembangunan, sebab yang ketinggalan itu disebabkan banyak birokrasi, tak ada kerjasama yang baik, kalau nak cepatkan (pembangunan di Sabah dan Sarawak) maka kena ada kerjasama yang baik di antara kerajaan negeri dan pusat," katanya.

-- BERNAMA