Saturday, August 11, 2018

LEBIH BAIK ANWAR BERTANDING DI PRK SIPITANG JIKA YAMANI TAK ANGKAT SUMPAH

SIPITANG, 11 Ogos (Bernama) -- Anggota Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa digesa mengosongkan kerusi Parlimen itu jika tidak berminat untuk berkhidmat kepada rakyat di kawasan berkenaan.

Dalam gesaannya, Anggota Dewan Undangan Negeri Sindumin Datuk Dr Yusof Yacob berkata sejak Pilihan Raya Umum ke-14 kira-kira tiga bulan lalu hingga sekarang, Yamani Hafez gagal “munculkan diri” dan memberikan perkhidmatan kepada rakyat yang memilihnya.

“… jadi sia-sialah rakyat yang telah memilih beliau sebagai Anggota Parlimen Sipitang,” katanya kepada Bernama, di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata Yamani Hafez perlu meletak jawatan bagi memberi laluan kepada rakyat memilih wakil baharu yang dapat mendengar serta membantu menyelesaikan masalah mereka.

“Kita tahu dia dilahirkan dalam keluarga berada dan tidak biasa masuk kampung, mungkin sebab itulah (beliau) rasa tidak perlu turun padang,” katanya.

Ulasan saya, jika Yamani tidak pulang dalam tempoh yang terdekat, maka PRK Sipitang tidak dapat dielakkan.

Sekarang ini heboh PKR nak beri beri laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim masuk parlimen. Maka lebih baik Anwar  bertanding di PRK Sipitang mewakili Pakatan Harapan. Maka Parti Warisan kena beri laluan kepada PKR untuk bertanding di Sabah bagi membolehkan Anwar menyertai parlimen.

Soal Anwar bukan orang Sabah tidak timbul kerana Anwar popular malah orang Sabah mengenalinya kerana sebagai calon parlimen beliau boleh bertanding di seluruh negara seperti mana Lim Kit Siang berpindah randah dari Melaka ke Pulau Pinang dan ke Johor.

Rakyat akan marah jika ahli parlimen Selayang atau ahli parlimen Sungai Petani mengosongkan kerusi untuk Anwar, sebaliknya jika PRK Sipitang diadakan kerana keengganan Yamani angkat sumpah maka rakyat tak marah kepada Anwar.

Oleh itu fikir fikirkanlah Anwar jika cadangan ini direstui oleh Datuk Seri Shafie Apdal.

Friday, August 10, 2018

PENGUNDI BALAKONG TETAP TOLAK MCA WALAUPUN GUNA LAMBANG MCA

KUALA LUMPUR, 10 Ogos (Bernama) -- MCA akan menggunakan lambangnya sendiri pada pilihan raya kecil Balakong, 8 Sept ini, kata presiden partinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata keputusan itu, dibuat pada mesyuarat Jawatankuasa Pusat di sini hari ini, yang disokong oleh anggota akar umbinya dan ia selari dengan matlamat parti untuk membawa pembaharuan dan penyesuaian dengan landskap baru politik kini.

“Kami membuat keputusan akan mengguna logo sendiri pada pilihan raya kecil ini.

“MCA akan mengambil pendirian politik yang baru untuk menghadapi pengundi dan membuang keseluruhan cara politik lamanya, untuk berdiri sendiri.” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat di Wisma MCA di sini.

“Ini akan menjadi kali pertama dalam sejarah 44 tahun dalam Barisan Nasional, parti tidak menggunakan lambang dacing berwarna biru dan putih untuk bertanding.

Bagaimanapun, Liow menafikan bahawa MCA bertindak menjauhi gabungan itu dan meninggalkan parti berkenaan, dan menambah bahawa parti komponen itu sepatutnya sekarang ini berusaha untuk melakukan pembaharuan dan mengukuhkan lagi dalaman parti.

“Kita antara peneraju, kita tidak akan meninggalkan sesiapa,” katanya.

Ulasan saya, pengundi Balakong sudah tolak MCA. Menggunakan lambang MCA tidak bermakna pengundi Cina akan menolak calon DAP. Oleh itu MCA tidak payah buang masa bertanding dalam PRK Balakong.

Apabila MCA bertanding menggunakan lambang sendiri ini bermakna para pemimpin BN yang lain tak perlu turun berkempen.

Thursday, August 9, 2018

NGO BIDAS KENYATAAN ANNUAR MUSA



PETALING JAYA: NGO pro Barisan Nasional (BN) hari ini membidas kenyataan Tan Sri Annuar Musa yang mengingatkan parti itu supaya tidak membuang masa mempertahankan Datuk Seri Najib Razak.

Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin berkata jika Umno benar-benar mahu bangun dan menawan kembali Putrajaya pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15), mereka tidak boleh memingirkan Najib kerana parti itu akan dihukum Orang Melayu.

“Jika Umno menganggap perjuangan Datuk Seri Najib di mahkamah adalah perjuangan peribadi yang berhempas pulas seorang diri, Umno akan ditolak oleh orang Melayu sebagai parti yang tiada prinsip dengan perjuangan tanpa ‘substance’.

“Anda tidak boleh menanggalkan kasih sayang di hati insan, kerana setiap insan ada jiwa yang hidup. Jiwa insan inilah yang menghidupkan Umno.

“Empirical Malaysia dengan ini menolak sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Annuar bahawa Umno akan meneruskan perjuangannya dengan meninggalkan Najib sebagai beban yang tidak akan dipikul oleh Umno,” katanya kepada sebuah berita portal.

Beliau berkata kenyataan Annuar tidak layak dan bukan mewakili suara akar umbi Umno walaupun beliau sebagai setiausaha agung.

Katanya, perjuangan Umno sebati dengan jiwa orang Melayu yang menolak sikap membenci orang lain apabila tidak lagi berkuasa.

Sebelum ini, Annuar menyifatkan Najib yang kini berdepan 7 pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram sebagai “beban” yang tidak lagi boleh dipikul Umno.

“Kami perlu teruskan perjalanan ini. Kami tidak akan tunggu. Kami tidak akan bazirkan masa mempertahankan Najib.

“Kami dalam Umno tidak boleh bawa beban ini selamanya. Perlu diputuskan. Jika ini semua tanggungjawab beliau (Najib),” katanya memetik laporan media.

Mengulas lanjut, Anina berkata Umno tidak akan bangkit semula dengan memingirkan Najib yang menjadi mangsa penganiayaan.

“Tujuh pertuduhan ke atas Najib bukan hukuman bersalah ke atas dirinya. Ianya semata-mata perjuangan Tun Dr Mahathir Mohamad yang terpaksa diteruskan dalam usahanya untuk memadam jejak tipu muslihatnya dalam menjatuhkan Najib.

“Dr Mahathir menyangkakan orang Islam dan Melayu akan mengorbankan seorang insan bernama Najib demi ‘survival’ bangsa Melayu dengan menyokong PPBM yang hari ini lemas dan kuasa perdana menteri berada di halkumnya,” katanya.

Anina berkata majoriti ahli Umno masih bersama Najib kerana dasar kepimpinan yang ditunjukkannya.

Wednesday, August 8, 2018

PH JANJI HAPUSKAN CUKAI EKSAIS KERETA BUKAN WUJUDKAN KERETA NASIONAL KETIGA



KUALA LUMPUR: Rafizi Ramli menegaskan Pakatan Harapan telah berjanji menghapuskan cukai eksais bagi menurunkan harga kereta, bukan berusaha mewujudkan perusahaan kereta nasional ketiga.

Naib presiden PKR berkata, sejak Buku Jingga ditulis dalam tahun 2010, komitmen menghapuskan duti eksais kereta, yang dilihat mereka sangat membebankan, tidak pernah berubah.

“Platform dasar yang mahu menghapuskan cukai eksais demi menurunkan harga kereta ini tidak pernah berubah selepas Pakatan Harapan ditubuhkan.

“Tidak ada mana-mana bahagian di dalam kempen Pakatan Harapan atau manifesto Pakatan Harapan yang menyelitkan usaha mewujudkan perusahaan kereta nasional yang ketiga,” katanya.

Buku Jingga dipersetujui oleh Pakatan Rakyat, pendahulu Pakatan Harapan, antara PKR, DAP dan PAS.

Tempat PAS kemudian diganti oleh serpihannya Parti Amanah Negara (AMANAH) dalam gabungan baru.

Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Yusof, kelmarin berkata, kerajaan sedia melancarkan “projek kereta nasional 3.0” menjelang 2020 seperti dibayangkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Redzuan berkata kerajaan percaya langkah itu akan mencergaskan kembali industri automotif negara dan berpotensi besar.

Dalam kenyataan hari ini, Rafizi menegaskan, cukai eksais banyak dikaitkan dengan usaha melindungi kereta-kereta nasional yang akhirnya menyebabkan harga kereta lebih mahal berbanding negara-negara lain.

Beliau justeru membangkitkan sama ada idea untuk menubuhkan perusahaan kereta nasional yang ketiga akan mendatangkan kesan kewangan yang besar kepada rakyat.

Berikut tiga persoalan yang dibangkitkan Rafizi:
-Berapa pelaburan yang perlu dibuat menggunakan dana awam?
-Badan kerajaan mana yang akan mengambil tanggungjawab melaksanakan projek ini?
-Adakah kerajaan berhasrat menghapuskan cukai eksais untuk mengurangkan harga kereta, apabila kereta nasional ketiga dilancarkan?

Sunday, August 5, 2018

KHALID ABDULLAH DALAM KENANGAN

KUALA TERENGGANU: Semalam wartawan RTM, Khalid Abdullah meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini kerana sakit usus. Takziah kepada keluarga beliau.

Saya kenali arwah ketika beliau menjadi stringer akhbar Watan di Bandar Muazam, Shah, Pahang pada taun 1987. Ketika itu saya bertugas dengan Watan Kumpulan Karangkraf yang dikendalikan oleh Mohd Khairune Ali. Ketika itu arwah banyak menghantar berita politik dari Rompin yang melibatkan arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang masih menjadi ketua pemuda Umno Bahagian Pekan ketika itu.

Beliau amat rapat dengan arwah JJ dan ahli parlimen Rompin sekarang, Datuk Seri Hassan Ariffin. Apabila saya bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu pada tahun 1997, arwah Khalid menegur saya.

Saya yang lupa baru teringat bahawa Khalid yang sudah bekerja dengan RTM adalah bekas stringer akhbar Watan. Kami amat rapat selepas itu kerana kebetulan pula beliau adalah  waris bekas isteri saya, arwah Noriah Che Ngah yang berasal dari Beladau Kolam, Kuala Terengganu.

Kali terakhir saya menemui beliau pada 15 Disember 2017 di Hotel Primula di majlis malam media EPIC. Pada malam tersebut beliau menang hadiah wartawan terbaik. Kebetulan kami duduk semeja manakala anak tiri saya, Farah Fauzi dj radio Terengganu FM duduk di meja sebelah.

Arwah Khalid adalah seorang rakan yang baik. Walaupun kami duduk berjauhan ( saya di Semenyih, Selangor dan beliau di Kuala Terengganu) tetapi kami sering berhubung melalui whatsapp. Sudah tentu kematian beliau saya rasa kehilangan yang amat besar apatah lagi beliau bukanlah orang yang sombong.

Saturday, August 4, 2018

MENGURANGKAN MAJORITI PKR SEBANYAK 6,638 UNDI SATU KEJAYAAN BESAR BN

SHAH ALAM: Mengurangkan majoriti PKR sebanyak 6,638 undi dalam masa tiga bulan selepas PRU lalu adalah satu kejayaan besar BN dalam PRK Sungai Kandis semalam.

Pada Mei lalu, calon PKR, arwah Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi sedangkan semalam calon PKR,Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi.

Ini bermakna PKR hilang separuh majoriti dalam tempoh tiga bulan. Ia adalah satu amaran kepada PKR yang gagal menunaikan janji yang tercatat dalam manifesto dalam masa 88 hari.

Semalam calon PKR mendapat 15,427 undi manakala calon BN, Datuk Lokman Noor Adam mendapat 9,585 undi manakala calon Bebas, Murthy Krishnasamy mendapat 67 undi.

Lokman kekurangan undi sebanyak 1,933 undi daripada undi yang dipungut calon PRU lalu,Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi.

Adakah seramai 1,933 orang ini tidak keluar mengundi kerana sabotaj Lokman yang dianggap sebagai orang luar? Sepanjang PRK berlangsung, tidak nampak kenyataan Ketua Umno Bahagian Kota Raja menyokong Lokman sebagai calon BN.

Lokman walaupun terkenal di seluruh negara gagal memikat pengundi Sungai Kandis kerana beliau bukan anak tempatan sedangkan Mohd Zawawi berasal dari dalam DUN tersebut.

PKR kehilangan 8,571 undi dalam tenpoh tiga bulan agak memeranjatkan. Arwah Mat Shuhaimi mendapat 23,998 undi manakala Mohd Zawawi hanya mendapat 15,427 undi.

Apa yang tak kena dengan PKR yang hilang undi yang begitu banyak? Adakah mereka kecewa dengan PH yang tidak menunaikan janji?

Nampaknya pakatan BN-PAS di Sungai Kandis tidak menjadi. Jika benar mereka berpakat, sudah tentu Lokman mendapat 19,091 undi mengalahkan calon PKR dengan majoriti 3,664 undi tetapi sifir ini tidak menjadi kerana PAS pun tidak bertegas menyuruh ahli ahlinya mengundi BN.

Mereka bebas mengundi sesiapa sahaja dan ramai yang tak keluar mengundi apabila PAS tidak meletakkan calon. Dalam sejarah PRK, peratus keluar mengundi di DUN Sungai Kandis yang paling rendah dalam sejarah PRK (49 peratus).

Walaupun satu undi, PKR tetap menang tetapi kemampuan calon BN mengurangkan majoriti PKR lebih dari separuh amat mengkagumkan. Syabas Lokman. Semoga beliau terus beri perkhidmatan kepada rakyat Sungai Kandis walaupun tidak menjadi YB untuk persediaan menghadapi PRU akan datang. Jika beliau berterusan komited kepada pengundi Sungai Kandis, tidak mustahil lima tahun lagi beliau dapat menawan DUN Sungai Kandis.

Wednesday, August 1, 2018

RATING TERTINGGI BAGI BULAN JULAI 2018

Rating tertinggi bagi Julai 2018 bagi blog ini dirangkul oleh posting " Fatah lebih layak dari Sumali jadi Setiausaha Kerja UMNO" yang disiarkan dalam blog ini pada 7 Julai lalu.

10 rating tertinggi bagi Julai 2018 adalah seperti berikut:-

1. Fatah lebih layak dari Sumali jadi Setiausaha Kerja Umno (7 Julai) - 204 hits
2. Wanita PKR mahu Azmin lawan Anwar? (18 Julai)
3. Zam sudah tentu tak suka guru tahfiz jadi calon PKR Sungai Kandis (20 Julai)
4. Raja Bahrin wakili Terengganu dalam kabinet? (16 Julai)
5. Wan Azizah cadang Anwar jadi Speaker Dewan Rakyat? (11 Julai)
6. Pengund PAS undi PKR walaupun calon itu tidak sokong RUU355? (26 Julai)
7. PM tidak puas hati dengan kehadiran menteri di sidang parlimen (23 Julai)
8. Dapatkah Lokman kurangkan majoriti PKR? (21 Julai)
9. BN tak perlu masuk PRK Sungai Kandis (8 Julai)
10. Puad Zakarshi tak perlu cakap banyak (19 Julai)