Sunday, August 5, 2018

KHALID ABDULLAH DALAM KENANGAN

KUALA TERENGGANU: Semalam wartawan RTM, Khalid Abdullah meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah di sini kerana sakit usus. Takziah kepada keluarga beliau.

Saya kenali arwah ketika beliau menjadi stringer akhbar Watan di Bandar Muazam, Shah, Pahang pada taun 1987. Ketika itu saya bertugas dengan Watan Kumpulan Karangkraf yang dikendalikan oleh Mohd Khairune Ali. Ketika itu arwah banyak menghantar berita politik dari Rompin yang melibatkan arwah Tan Sri Jamaluddin Jarjis yang masih menjadi ketua pemuda Umno Bahagian Pekan ketika itu.

Beliau amat rapat dengan arwah JJ dan ahli parlimen Rompin sekarang, Datuk Seri Hassan Ariffin. Apabila saya bekerja dengan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu pada tahun 1997, arwah Khalid menegur saya.

Saya yang lupa baru teringat bahawa Khalid yang sudah bekerja dengan RTM adalah bekas stringer akhbar Watan. Kami amat rapat selepas itu kerana kebetulan pula beliau adalah  waris bekas isteri saya, arwah Noriah Che Ngah yang berasal dari Beladau Kolam, Kuala Terengganu.

Kali terakhir saya menemui beliau pada 15 Disember 2017 di Hotel Primula di majlis malam media EPIC. Pada malam tersebut beliau menang hadiah wartawan terbaik. Kebetulan kami duduk semeja manakala anak tiri saya, Farah Fauzi dj radio Terengganu FM duduk di meja sebelah.

Arwah Khalid adalah seorang rakan yang baik. Walaupun kami duduk berjauhan ( saya di Semenyih, Selangor dan beliau di Kuala Terengganu) tetapi kami sering berhubung melalui whatsapp. Sudah tentu kematian beliau saya rasa kehilangan yang amat besar apatah lagi beliau bukanlah orang yang sombong.

No comments:

Post a Comment