KLANG, 21 Ogos (Bernama) -- Anggota Parlimen Kapar Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid hari ini memohon maaf kepada Tun Dr Mahathir Mohamad atas kenyataannya yang mengaitkan Perdana Menteri dengan usaha menghalang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri kelapan.
Menurut calon Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR itu pihaknya telah menghantar surat permohonan maaf tersebut kepada pejabat Perdana Menteri kira-kira 9.40 pagi tadi.
"Setelah diberi nasihat, penjelasan dan arahan oleh Datuk Seri Anwar berhubung pelaksanaan peralihan kuasa menerusi panggilan telefon selama 41 minit semalam, dengan ini saya memohon maaf.
"Permohonan maaf itu dibuat atas keterlanjuran bicara saya dan semoga kebimbangan saya tentang usaha dan cubaan menggagalkan peralihan kuasa tersebut adalah perkara yang tidak benar," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini.
Anggota Parlimen itu sebelum ini mendakwa Dr Mahathir dan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Tun Daim Zainuddin cuba menghalang Anwar daripada menjadi perdana menteri.
No comments:
Post a Comment