Thursday, August 16, 2018

KHIDMAT DAIM MASIH DIPERLUKAN KATA MAHATHIR

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) – Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) tidak akan dibubarkan lagi kerana khidmatnya masih diperlukan.

"Tidak. Ia tidak akan (dibubarkan). Mereka sangka sudah sampai tempohnya untuk dibubar tetapi saya belum buat keputusan.

"Saya tak pernah cakap tempoh CEP adalah 100 hari, saya masih perlukan khidmat mereka," beliau memberitahu pemberita demikian selepas melancarkan Cardiac Vascular Sentral Kuala Lumpur (CVSKL), salah sebuah hospital pakar swasta di sini yang mengkhusus rawatan jantung dan vaskular, hari ini.

Dr Mahathir, bagaimanapun berkata beliau kurang pasti berapa lama lagi khidmat CEP diperlukan untuk membantu kerajaan.

"Saya tidak tahu (berapa lama lagi CEP akan wujud), saya fikir mungkin sehingga semua masalah selesai. Saya sendiri tak mampu melakukan tugas yang dilakukan mereka," kata beliau.

CEP ditubuhkan pada 12 Mei oleh Dr Mahathir untuk menjadi penasihat ekonomi, kewangan dan hal-hal lain. Ketika ditubuhkan dahulu, banyak laporan menyebut ia ditubuhkan untuk tempoh 100 hari sahaja.

Lima pakar terkemuka yang menganggotai majlis itu ialah bekas Menteri Kewangan, Tun Daim Zainuddin; bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz; bekas Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Hassan Merican; tokoh korporat, Tan Sri Robert Kuok dan ahli ekonomi terkemuka negara, Prof Dr Jomo Kwame Sundaram.

Terdapat dua jawankuasa di bawah pengawasan CEP iaitu Jawatankuasa Reformasi Institusi dan jawatankuasa menyiasat skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) .

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment