Saturday, August 4, 2018

MENGURANGKAN MAJORITI PKR SEBANYAK 6,638 UNDI SATU KEJAYAAN BESAR BN

SHAH ALAM: Mengurangkan majoriti PKR sebanyak 6,638 undi dalam masa tiga bulan selepas PRU lalu adalah satu kejayaan besar BN dalam PRK Sungai Kandis semalam.

Pada Mei lalu, calon PKR, arwah Mat Shuhaimi Shafiei menang dengan majoriti 12,480 undi sedangkan semalam calon PKR,Mohd Zawawi Ahmad Mughni menang dengan majoriti 5,842 undi.

Ini bermakna PKR hilang separuh majoriti dalam tempoh tiga bulan. Ia adalah satu amaran kepada PKR yang gagal menunaikan janji yang tercatat dalam manifesto dalam masa 88 hari.

Semalam calon PKR mendapat 15,427 undi manakala calon BN, Datuk Lokman Noor Adam mendapat 9,585 undi manakala calon Bebas, Murthy Krishnasamy mendapat 67 undi.

Lokman kekurangan undi sebanyak 1,933 undi daripada undi yang dipungut calon PRU lalu,Datuk Kamaruzzaman Johari yang mendapat 11,518 undi.

Adakah seramai 1,933 orang ini tidak keluar mengundi kerana sabotaj Lokman yang dianggap sebagai orang luar? Sepanjang PRK berlangsung, tidak nampak kenyataan Ketua Umno Bahagian Kota Raja menyokong Lokman sebagai calon BN.

Lokman walaupun terkenal di seluruh negara gagal memikat pengundi Sungai Kandis kerana beliau bukan anak tempatan sedangkan Mohd Zawawi berasal dari dalam DUN tersebut.

PKR kehilangan 8,571 undi dalam tenpoh tiga bulan agak memeranjatkan. Arwah Mat Shuhaimi mendapat 23,998 undi manakala Mohd Zawawi hanya mendapat 15,427 undi.

Apa yang tak kena dengan PKR yang hilang undi yang begitu banyak? Adakah mereka kecewa dengan PH yang tidak menunaikan janji?

Nampaknya pakatan BN-PAS di Sungai Kandis tidak menjadi. Jika benar mereka berpakat, sudah tentu Lokman mendapat 19,091 undi mengalahkan calon PKR dengan majoriti 3,664 undi tetapi sifir ini tidak menjadi kerana PAS pun tidak bertegas menyuruh ahli ahlinya mengundi BN.

Mereka bebas mengundi sesiapa sahaja dan ramai yang tak keluar mengundi apabila PAS tidak meletakkan calon. Dalam sejarah PRK, peratus keluar mengundi di DUN Sungai Kandis yang paling rendah dalam sejarah PRK (49 peratus).

Walaupun satu undi, PKR tetap menang tetapi kemampuan calon BN mengurangkan majoriti PKR lebih dari separuh amat mengkagumkan. Syabas Lokman. Semoga beliau terus beri perkhidmatan kepada rakyat Sungai Kandis walaupun tidak menjadi YB untuk persediaan menghadapi PRU akan datang. Jika beliau berterusan komited kepada pengundi Sungai Kandis, tidak mustahil lima tahun lagi beliau dapat menawan DUN Sungai Kandis.

No comments:

Post a Comment