KUALA LUMPUR, 26 Ogos (Bernama) -- “Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tidak lagi menonjol sebagai pencetus perjuangan politik lantang seperti dulu, namun beliau tetap punya semangat membara untuk membawa pembaharuan kepada negara”.
Ini pandangan Mark Trowell, pengarang siri terakhir perbicaraan sodomi Anwar berjudul: “Anwar Returns, The Final Twist. The Prosecution and Release of Anwar Ibrahim.”
“Beliau (Anwar) memberi pujian kepada Mahathir (Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad) kerana berusaha keras untuk melakukan perubahan kepada negara dan kesediaan bekerjasama dengan beliau (Mahathir) jelas menunjukkan sejauh mana mereka sedia berjuang untuk Malaysia.
“Bayangkan bagaimana Anwar dan Mahathir dapat bekerjasama,” Trowell memberitahu Bernama dalam temu bual pada majlis pelancaran buku berkenaan di sini hari ini.
Trowell yang berasal dari Australia dan seorang peguam berkata buku itu ditulis untuk menerangkan kepada pembaca cara Anwar dilayani oleh sistem kehakiman jenayah dan konspirasi terakhir untuk menghapuskan pemimpin PKR itu dari arena politik.
Anwar baru saja dipilih sebagai Presiden PKR.
Trowell berkata bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sedar bahawa Anwar merupakan ancaman kepada kerajaan Barisan Nasional ketika itu dan beliau berusaha menghapuskan Anwar menerusi pendakwaan atas tuduhan sodomi (liwat).
No comments:
Post a Comment