Monday, April 10, 2017

TARIK DUIT

(dipetik dari buku TOYOL UNTUK DISEWA oleh Alang Buana)


Selepas banyak kali gagal menjual barang berkhadam, Latif berhenti membuat kerja tak berfaedah itu. Tetapi Ali masih tidak putus asa. Dia terus menjadi broker barang mistik.

Kali ini saya mahu ceritakan pengalaman Ali terlibat dalam tarik duit. Mungkin anda pernah mendengar kisah ini. Selepas Latif berhenti, Ali mengenali Zaki. Zaki yang mempunyai anak bini di Perak menyewa sebuah bilik di Kepong. Ali menumpang tidur di bilik Zaki.

Zaki tidak ada kerja tetap. Maka dia tertarik dengan cara Ali mencari makan dengan menjadi broker barang mistik. Oleh kerana Ali pernah berjaya dalam kes tarik duit, ia merangsang minat Zaki untuk bekerja bersama Ali.

Harapan Zaki bila semua dealnya dengan Ali berjaya, dapat dia bayar hutang. Malah bilik sewaannya itu sudah empat bulan tidak dibayar. Cina taukeh bengkel di tingkat bawah biliknya sudah bising kerana gagal dapat RM1,000 yang mana sewa bulanannya ialah RM250.

Zaki terpesona mendengar cerita Ali yang pernah terlibat dalam tarik duit. Ali pernah berjaya. Dengan rakan-rakannya menggunakan batu kebal kulit. Tetapi tarik duit yang dilakukan oleh Ustaz Mahri itu tak banyak dapat. Dapatlah RM22,000 seorang.

Ustaz Mahri menggunakan Surah al-Waqiah. Maka muncullah duit di bawah sejadah. Laju duit itu masuk di bawah sejadah. Bunyinya macam mesin teller di bank mengira duit. Itulah kali pertama Ali berjaya dalam tarik duit yang istilahnya dipanggil “proses”.

Mereka tak kata Ustaz, tolong tarik duit. Sebaliknya mereka akan kata, Ustaz tolong proses.

Itulah kali pertama Ali berjaya. Lepas itu banyak kali dia gagal dalam tarik duit. Tapi Ali tetap bersemangat. Ada peluang tarik duit dia tetap pergi.


Pernah berlaku tarik duit dibuat dengan keris bergerak. Bila keris bergerak, maka duit pun muncul. Nampak sudah tinggi duit not RM100 muncul dalam rumah itu di hadapan semua ahli jemaah. Agaknya ratusan juta. Ahli jemaah seramai 10 orang berzikir sepanjang Ustaz Zahir prosesnya.

Tiba-tiba Ustaz Zahir suruh tuan punya keris yang duduk di hadapan baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Tuan punya keris panik dan mulutnya terkumat-kamit tak dapat baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Maka duit yang sudah tinggi itu semakin lama semakin turun dan hilang.


Maka selesailah proses tarik duit tersebut. Ustaz Zahir diam. Dia pun kecewa juga kerana dia sudah sedaya upaya proses keris itu menarik duit. Ahli-ahli jemaah menyumpah tuan punya keris kerana tak tahu baca ayat Qursi dan Surah Quliya. Kalau dari awal mereka tahu, mereka suruh orang yang hafal kedua-dua surah itu duduk di hadapan Ustaz Zahir.

Impian mereka untuk jadi jutawan hancur berkecai. Apatah lagi mereka keluar modal RM100 seorang untuk memanggil Ustaz datang ke rumah tuan keris. Ustaz Zahir dapat RM1,000 kosnya datang ke Batu Pahat dari Kuala Lumpur.

Bila proses selesai, jika dapat RM10 juta, Ustaz Zahir tak boleh ambil duit itu. Sebaliknya 10 jemaah akan dapat RM1 juta seorang. Dengan duit RM1,000 itu Ustaz Zahir buat belanja, isi minyak keretanya dan makan minum sepanjang perjalanan.

Zaki teruja mendengar pengalaman Ali dalam tarik duit. Maka dia mahu ikut Zaki. Manalah tahu ada rezeki dia jadi jutawan.

Hari yang ditunggu pun tiba. Kebetulan Zaki kenal Ustaz Mahmud. Zaki memperkenalkan Ali kepada Ustaz Mahmud yang duduk di Kepong juga.


“Ustaz malam esok ada orang nak bawa besi kuning untuk proses di rumah ustaz,” kata Ali.

“Datanglah jam 9 malam,” kata Ustaz Mahmud.

Malam esoknya tuan punya besi kuning, Dollah datang lapan orang dengan dua buah kereta dari Kuantan.

Ali yang kenali Dollah memperkenalkan Dollah kepada Ustaz Mahmud.

Ustaz Mahmud pun pegang besi kuning Dolah. Lama Ustaz Mahmud memegang besi kuning itu. Sebelum proses, ustaz akan uji besi kuning terlebih dahulu. Potong rambut tak putus, baru boleh diproses.

Zaki dan Ali siang tadi telah membeli persiapan untuk proses. Mereka beli tiga jenis pisang, pisang tanduk, pisang raja dan pisang emas; tujuh jenis bunga dan sebiji kelapa muda.

“Khadam ada tapi dia ada di bawah. Tak naik. Enta pergi panggil khadam masuk,” kata Ustaz Mahmud. Dollah turun ke bawah. Rumah Ustaz Mahmud di tingkat empat rumah kedai itu.

Dollah puas memujuk khadamnya tetapi khadam enggan masuk ke rumah Ustaz Mahmud. Maka proses tarik duit tak dapat dilakukan.

“Pisang ini macam mana Ustaz?” tanya Zaki.

“Kita makanlah,” kata Ustaz Mahmud sambil disambut ketawa ahli-ahli jemaah.

Dalam ketawa, ahli-ahli jemaah kecewa kerana mereka tak dapat duit tarik malam itu. Apatah lagi mereka datang dari jauh.

Sunday, April 9, 2017

SUKARNYA MENJUAL BARANG BERKHADAM

(dipetik dari buku TOYOL UNTUK DISEWA oleh Alang Buana)

Kisah misteri yang dipaparkan ini adalah kisah benar. Tetapi nama-nama watak telah ditukar untuk tidak menyinggung perasaan orang berkenaan. Tujuan saya menulis kisah ini adalah untuk pengajaran kepada kita supaya tidak terlibat dengan perbuatan karut seperti ini.

Ali adalah seorang broker barang-barang mistik. Sebagai broker, Ali mencari pembeli kepada orang yang mahu menjual batu delima merah, rantai babi, besi kuning dan pelbagai barang mistik yang lain. Barang-barang ini dikatakan kebal umum. Maknanya jika memakai barang berkenaan maka orang itu kebal, tidak lut ditembak dan sebagainya.

Biasanya barang kebal umum diuji dengan memotong rambut. Apabila pembeli pegang barang tersebut, tester akan menguji barang itu sama ada kebal atau tidak dengan memotong rambut pembeli menggunakan razor blade. Jika rambut itu putus, maknanya barang itu tidak kebal. Sebaliknya jika rambut tidak putus, ini bermakna barang itu memang kebal.

Kenapa barang-barang ini jadi kebal? Ia adalah kerana barang-barang ini ada khadam. Khadamlah yang menyebabkan tuan punyanya menjadi kebal.

Harga barang kebal umum seperti batu delima merah, rantai babi dan besi kuning biasanya mencecah sampai RM5 juta. Ramai broker yang jadi jutawan menjual barang-barang mistik ini kerana penjual tidak tahu harga pasaran. Kalau penjual bersetuju menjual RM1 juta, ini bermakna broker yang kenyang kerana RM4 juta akan dibahagi sama rata di kalangan broker terlibat.

Ali dahulu seorang pegawai kerajaan di sebuah bandar di Johor. Tetapi dia meletakkan jawatan kerana mahu menjadi kontraktor kelas F. Oleh kerana di daerahnya ramai sangat kontraktor kelas F, maka peluangnya untuk mendapat projek agak terhad. Entah macam mana akhirnya dia terlibat menjadi broker barang-barang mistik.

Ali gembira apabila Pak Wan, tuan punya batu delima menghubunginya untuk menjual barang tersebut.

“Datang ke FELDA Cherul. Bawa pembeli, Saya mahu RM3 juta sahaja,” kata Pak Wan melalui handphone.

“Okay saya akan bawa Datuk Munir ke rumah,” jawab Ali.



Dari Muar, Ali naik bas ke Kuala Lumpur untuk menemui kawannya Latif yang mana dia yang ada hubungan terus dengan Datuk Munir yang suka membeli barang-barang kebal.

“Kamu pergi Cherul dulu tengok barangnya dan test delima itu. Jika confirm rambut tak putus, saya akan bawa duit RM5 juta ke rumah Pak Wan,” kata Datuk Munir kepada Latif dalam handphone.

Ali yang ada di sisi Latif senyum kerana mereka berdua akan dapat RM1 juta seorang. Esok mereka akan ke FELDA Cherul untuk melihat barang Pak Wan.


Esoknya, sebelum bertolak ke Kemaman dengan kereta buruk Latif, Ali ajak Latif singgah di sebuah kedai menjual kereta Mercedes Benz di Kampung Baru.

“Ini I punya, itu U punya,” kata Ali sambil memegang Mercedez Benz model terbaru berwarna biru manakala Latif memegang kereta warna merah.

“Esok balik dari Kemaman, dapat kami beli kereta ini,” kata Latif sambil memberitahu jurujualnya bahawa esok mereka datang beli kereta tersebut.

Mereka terus bertolak ke FELDA Cherul melalui Lebuhraya Pantai Timur dan Lebuhraya Jerangau-Jabor. Empat jam kemudian mereka tiba di rumah Pak Wan.

“Ini Ali ke?” tanya Pak Wan.

“Ya saya Ali, Pak Wan. Ini Latif, partner saya,” kata Ali.

Malam itu Pak Wan ajak mereka berdua tidur di rumahnya. Mereka nak tidur di hotel bajet di Kuantan tetapi Pak Wan kata nak pergi ke sana, jauh juga, jadi lebih baik tidur di rumahnya. Lagi pun di rumah itu tiada orang hanya Pak Wan dan Mak Wan saja. Tiga orang anak mereka sudah berumah tangga dan duduk berasingan.

Malam itu Latif test batu delima Pak Wan. Ali berikan razor blade baru kepada Latif yang bersedia memotong rambut Pak Wan. Ternyata rambut Pak Wan tidak putus. Seronok Ali dan Latif melihat hasil test tersebut.

Pagi esoknya, Datuk Munir tiba di rumah Pak Wan membawa sebuah van Securicor yang membawa wang tunai sebanyak RM5 juta. Dua orang pengawal keselamatan bersenjata turut datang bersama van tersebut.

“Pak Wan, ini pembelinya, Datuk Munir,” kata Latif memperkenalkan Datuk Munir kepada Pak Wan.


“Sila masuk Datuk ke teratak buruk saya,” ujar Pak Wan sambil merendah diri.

“Buruk apa. Saya kira rumah ini yang paling besar di FELDA Cherul ini,” jawab Datuk Munir.

Selepas berbual sekejap, maka Pak Wan pun panggil Datuk Munir untuk menyerahkan batu delima merah itu. Oleh kerana Latif sudah menjalankan test malam tadi, maka Datuk Munir tidak mahu memotong rambut sekali lagi.

“Saya serah delima merah ini kepada Datuk,” kata Pak Wan. Tiba-tiba tubuh Pak Wan menggigil dan matanya sudah naik putih.

Rupa-rupanya khadam delima merah itu tidak mahu dipindahmilik. Khadam itu sudah sebati dengan Pak Wan. Dia tidak nak dipindahmilikkan kepada Datuk Munir. Puas Pak Wak memujuk khadamnya untuk pergi ke tuan baru, tetapi khadamnya berdegil sehingga mata Pak Wan naik putih.

Maka urusan jual beli itu tidak dapat diteruskan. Datuk Munir pulang hampa kerana dia tidak dapat membeli delima merah itu. Yang paling hampa sudah tentu Ali dan Latif yang sudah pegang kereta Mercedez Benz di Kuala Lumpur semalam.

“Memang susah jual barang berkhadam,” kata Latif memujuk Ali yang kecewa.

“Tak ada rezekilah tu,” jawab Ali dan mereka terus pulang ke Kuala Lumpur selepas satu jam Datuk Munir membawa balik van Securicor itu.

Peristiwa itu tidak mematahkan semangat Ali dan Latif. Mereka terus urus jual barang-barang kebal walaupun tidak pernah berhasil kerana khadam tak mahu beri kerjasama.

Di hadapan kita memang khadam tunjuk keindahan dengan membuatkan rambut tidak putus tetapi di hadapan pembeli khadam sengaja buat rambut putus supaya ia tidak berpindah ke tuan baru.

Saturday, April 8, 2017

POLIS KELANTAN TAHAN PENYELUDUP SENJATA API


KOTA BHARU, 8 April (Bernama) -- Polis Kelantan menahan seorang lelaki dipercayai penyeludup senjata api dalam sekatan jalan raya di Batu Melintang, Jeli.

Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Din Ahmad berkata lelaki berusia 24 tahun itu kelihatan mencurigakan ketika cuba melalui sekatan jalan raya pada pukul 4 pagi Khamis lepas.

"Suspek dilihat cuba berpatah balik daripada melalui sekatan jalan raya sebelum dikejar sejauh 12 kilometer (km) dan berjaya ditahan sepasukan anggota polis.

"Pemeriksaan ke atas Proton Wira yang dipandu suspek yang berasal dari Tanah Merah itu menemukan sepucuk pistol di dalam satu beg kecil bertulisan M1911 A1 US Army yang dipercayai boleh membunuh dalam jarak lima meter," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, semalam.
Din berkata siasatan awal mendapati pistol itu diperoleh suspek dari negara jiran dengan harga RM500 dan akan dijual kepada rakannya di Negeri Sembilan dengan harga RM1,200.

Beliau berkata suspek direman selama tujuh hari bermula dari tarikh ditangkap dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama 14 tahun dan enam sebatan.

Dalam kes berasingan, Din berkata polis Kelantan berjaya menahan seorang lelaki dan merampas 20 botol dadah dipercayai heroin bernilai RM40,000 dalam operasi yang dilakukan di Kota Bharu pukul 10 malam tadi.

Din berkata tangkapan dilakukan hasil maklumat awam selepas melihat seorang lelaki dalam keadaan mencurigakan.

"Ketika cubaan menahannya dilakukan lelaki itu cuba melawan dan berlaku pergelutan. Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah dadah di dalam botol plastik lutsinar.

"Siasatan mendapati lelaki itu positif dadah jenis Methamphetamine dan mempunyai 10 rekod jenayah. Polis juga percaya suspek sudah menjalankan kegiatan mengedar dadah ini sejak 2015," katanya.

Beliau berkata polis dalam proses mendapatkan perintah reman ke atas suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA



JANGAN BANDINGKAN EPAL DENGAN OREN



KUALA LUMPUR 8 April – Legasi Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak layak dibandingkan de­ngan pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bekas Perdana Menteri itu pernah dituduh membazirkan wang negara sebanyak RM100 bilion.

Salleh Said Keruak

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak berkata, media Barat juga pernah menuduh Dr. Mahathir membazirkan lebih RM100 bilion wang negara yang dilabelkan sebagai ‘ketirisan’.

Beliau menjelaskan, perkara ter­sebut telah diterbitkan dalam buku dan merupakan satu legasi Dr. Mahathir yang tidak boleh disamakan de­ngan pentadbiran Najib.


“Hari ini, Dr. Mahathir membandingkan diri beliau dengan Najib, bukan merupakan perbandingan antara epal dengan epal, tetapi epal de­ngan oren. Ini adalah pengakuan yang amat dialu-alukan daripada Dr. Mahathir kerana ia adalah perkara yang kita cuba tekankan untuk beberapa ketika.

“Dr. Mahathir membawa bersamanya banyak bagasi. Beliau menjadi Perdana Menteri ketika beberapa rejim sekitar Malaysia telah disingkirkan dan Dr. Mahathir telah dibandingkan sebagai epal dengan epal bersama diktator yang di­gulingkan itu. Jadi membandingkan Najib de­ngan Mahathir akan menjadi negatif untuk Najib,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Salleh berkata, Najib juga tidak boleh diban­dingkan dengan Dr. Mahathir yang pernah menuduh Perdana Menteri mengabaikan orang Melayu pada 2013.

“Pada 2013, Dr. Mahathir telah menuduh Najib mengabaikan orang Melayu dan memenuhi kehendak Cina sedangkan dia (Najib) adalah orang Melayu yang menyokong UMNO. Pasti Najib tidak boleh dibandingkan dengan Dr. Mahathir,” katanya.

Friday, April 7, 2017

KADIR PUJI PANDIKAR AMIN

KUALA LUMPUR, 7 April (Bernama) -- Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia telah membuat keputusan bijak menangguhkan perbahasan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 (Akta 355) semalam, kata Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir said.


Beliau mengucapkan tahniah kepada Pandikar Amin kerana membuat keputusan itu sambil berkata Speaker telah dapat mengelakkan situasi yang boleh menimbulkan ucapan yang menyentuh bangsa dan agama yang mungkin boleh mencetuskan suasana tegang dalam dewan yang menyinggung perasaan ramai anggota terutama yang beragama Islam.

Abdul Kadir berkata beliau hadir di Parlimen semasa Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang membentangkan rang undang-undang persendirian itu dan mendapati anggota pembangkang banyak membangkitkan emosi yang tidak wajar semasa pembentangan rang undang-undang itu.

"Jadi dalam situasi ini, saya fikir Speaker telah membuat keputusan yang bijak dengan menangguhkan perbahasan mengenai perkara itu ke sesi akan datang dalam masa kira-kira tiga bulan.

"Ini membolehkan emosi reda dan untuk Ahli Parlimen sekali lagi membaca ucapan oleh Abdul Hadi dan Takiyuddin (Datuk Takiyuddin Hassan, Setiausaha Agung PAS dan orang yang menyokong rang undang-undang itu) dan mungkin benar-benar memenuhi keperluan sebenar pindaan itu," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Kadir yang juga bekas anggota parlimen, berkata ini bermakna bahawa perbahasan semasa sesi seterusnya akan lebih bertanggungjawab, lebih produktif dan akhir sekali membolehkan rang undang-undang tersebut diluluskan.

Beliau berkata tempoh tiga bulan itu juga membolehkan PAS memberi penjelasan lanjut kepada pihak-pihak berkenaan mengenai objektif pindaan.

-- BERNAMA

Thursday, April 6, 2017

AYAH TAWFIK SOKONG RUU355 KETIKA DIBENTANGKAN PADA TAHUN 1965

KUALA LUMPUR, 6 April (Bernama) -- Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya membentangkan usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 2016) atau RUU355 di Dewan Rakyat semalam di sebalik "gangguan" oleh beberapa anggota pembangkang sebelum beliau dapat membuat pembentangannya.

Perbuatan para anggota pembangkang itu yang membangkitkan beberapa perkara dengan Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia, telah melengahkan masa kira-kira 30 minit sebelum anggota Parlimen Marang itu dapat membentangkan usul berkenaan atas sifat rang undang-undang persendirian.

Pindaan yang dicadangkan itu antara lain adalah bagi meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah untuk menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga 30 tahun, hukuman denda maksimum sehingga RM100,000 dan hukuman sebatan rotan 100 kali.

Pada masa ini Mahkamah Syariah hanya diberi kuasa menjatuhkan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda maksimum sehingga RM5,000 dan enam kali sebatan rotan.

Kerajaan sebelum ini berhasrat mengambil alih pembentangan rang undang-undang itu, namun tidak meneruskan hasrat berkenaan atas faktor semangat pemuafakatan Barisan Nasional (BN).




Terdahulu beberapa anggota pembangkang yang bangun mencelah di awal sesi pembentangan itu termasuklah penasihat DAP Lim Kit Siang (DAP-Gelang Patah) yang minta penjelasan speaker dewan kenapa satu usul rang undang-undang persendirian yang dikemukakannya telah ditolak.

Selepas diberi penjelasan oleh Pandikar Amin, Lee Boon Chye (PKR-Gopeng) pula bangun bertanya sama ada aturan mesyuarat hari ini sengaja diatur supaya Abdul Hadi dapat membuat pembentangannya.

Gobind Singh Deo (DAP-Puchong) pula bertanya sama ada peraturan sama bagi melarang perbahasan Dewan Rakyat mengenai isu 1MDB terpakai kepada isu pindaan Akta 355 selepas Pandikar Amin dilaporkan telah menerima Notis Saman Pemula mengenai larangan itu yang dikemukakan oleh Muhammad Tawfik Ismail.

Mengenai perkara itu, Pandikar Amin menegaskan bahawa Parlimen adalah badan agung dalam menggubal undang-undang dan tiada pihak boleh mempertikaikan peranannya itu.

"Tugas mahkamah ialah sama ada satu RUU yang diluluskan di Parlimen itu berperlembagaan atau tidak, Parlimen adalah badan agung dalam menggubal undang-undang, anda tidak boleh halangnya," katanya.

Ulasan saya, usaha yang dibuat oleh pihak pembangkang gagal kerana Pandikar Amin telah  buat home work. Menjawab isu Tawfik membawa kes itu ke mahkamah menentamg RUU355, Pandikar mengeluarkan hansard 1965 yang menunjukkan bahawa ayah Tawfik, Tun Dr Ismail menyokong RUU355 ketika dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun 1965.

Sebaliknya usul yang dibawa oleh Haji Hadi bukannya RUU baharu sebaliknya ia adalah pindaan kepada RUU355. Yang lucunya ahli parlimen PKR dari Alor Star menyebut saman pemula Ismail Tawfik dan bukannya Tawfik Ismail. Nak mencelah pun biarlah tahu nama sebenar Tawfik dan bukan hentam keromo.



Wednesday, April 5, 2017

SIAPAKAH CALON PARLIMEN KEMAMAN?

KEMAMAN: Sudah tiga penggal Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menjadi ahli parlimen Kemaman. Bagaimana nasib beliau pada PRU akan datang? Adakah beliau kekal di parlimen Kemaman atau berpindah ke DUN Kemasek?

Ada yang berpendapat kononnya hubungan Shabery dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat rapat. Maka beliau akan dikekalkan di parlimen Kemaman buat penggal keempat. Manakala ada yang berpendapat kononnya Shabery akan digugurkan kerana beliau gagal membangunkan kemaman.

Apa yang kemaman ada sepanjang beliau jadi ahli parlimen? Balai polis masih balai polis lama. Hospital masih hospital lama. Terminal bas ekspress pun tak ada. IKBN yang ada di Kemasik bukan di zaman Shabery jadi menteri belia dan sukan tetapi zaman Datuk Seri Azalina Othman.Sebab itu rakyat Kemaman beranggapan bahawa cukuplah Shabery jadi ahli parlimen.

Benarkah Shabery rapat dengan PM? Kenapa ketika ketua bahagian, Datuk Seri Ahmad Said menghentam PM, Shabery tidak mempertahankan PM? Sebaliknya Shabery main politik "play safe" kerana mengenang budi Ahmad Said yang memberinya jawatan dalam Umno bahagian.

Selepas Parti Semangat 46 dibubarkan pada tahun 1996, Shabery menyertai Umno dan menjadi ahli Umno di cawangan Gong Chengal, kemasik. Pada tahun 1998 beliau menawarkan diri sebagai calon ketua pemuda bahagian apabila Ahmad Said habis umur pemuda. Beliau menentang calon yang direstui oleh ketua bahagian ketika itu, Tan Sri Wan Mokhtar Ahmad iaitu ahli parlimen Kemaman, Dr Ramli Taib.

Selaku ahli jawatankuasa pemuda umno bahagian, saya secara terbuka menyokong Shabery sedangkan semua ahli jawatankuasa lain menyokong Dr ramli taib. saya yang bekerja di Kuala terengganu ketika itu setiap petang selepas habis waktu pejabat balik ke kemaman berkempen untuk Shabery bersama Halim Janggut dan lain lain.

Ketika itu saya balik bersama wartawan Utusan malaysia, Ayob Mamat yang berkempen untuk Dr ramli. Selepas habis kempen jam 12 malam, kami berdua balik ke Kuala terengganu. Shabery kalah tipis dalam pertandingan ketua pemuda.

selepas kalah Shabery balik ke Kuala Lumpur. Pada tahun 2000, Ahmad Said selaku naib ketua bahagian mencabar pemangku ketua bahagian, Datuk Abu Bakar Ali bagi jawatan ketua bahagian. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad badawi selaku Pengerusi badan perhubungan Umno terengganu menghantar Haji Zubir Embong memujuk Ahmad Said menarik diri tetapi Ahmad Said enggan menarik diri.

Maka pertandingan berakit team A (team Abu Bakar Ali) dengan team B (team Ahmad Said) berlangsung. ketika inilah Rahim Husein mencadangkan nama Shabery kepada Ahmad said untuk bertanding jawatan timbalan ketua bahagian menentang bekas ketua pemuda, Nazri Salleh manakala Rahim bertanding naib ketua bahagian lawan Haji Shahbudin Maidin.

Team B sapu bersih termasuk 19 ahli jawatankuasa bahagian kecuali Tuan Kecil Tuan tengah dari team A yang menang jawatan ahli jawatankuasa bahagian.

Tiga kerusi DUN yang tewas pada PRU 1999 ditawan semula pada PRU 2004. Ahmad Said(Kijal), Datuk Mohamad Awang Tera (Chukai) dan Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid (Air Putih) manakala Abu Bakar Ali berjaya mempertahankan kerusi DUN kemasik. Shabery berjaya merampas kembali kerusi parlimen Kemaman daripada PKR.

Shabery dari ahli parlimen biasa pada tahun 2004 menjadi setiausaha parlimen di kementerian lua pada tahun 2006. Beliau dilantik Pak Lah sebagai menteri penerangan  terus tanpa menjadi timbalan menteri. pada tahun 2008. Di zaman Najib, beliau dipindahkan ke kementerian belia dan sukan seterusnya ke kementerian komunikasi dan multi media (nama baru kementerian penerangan) dan kini menjadi menteri pertanian dan industri asas tani.

Shabery pernah berkata dia mahu beri laluan kepada orang muda untuk bertanding kerusi parlimen. Cukuplah Shabery jadi ahli parlimen selama tiga penggal. jika Shabery tidak bertanding siapakah calon yang layak bertanding kerusi tersebut?

ADUN Air Putih, Wan Hakim Wan Mokhtar yang kecewa tak dapat jadi Exco dikatakan mahu bertanding di parlimen pula. Masa depannya kelam jika beliau kekal di DUN Air Putih kerana pihak istana tidak berkenan kepadanya. Maka beliau berharap Najib memilihnya sebagai calon parlimen.

Selain daripada Wan hakim, nama bekas naib ketua bahagian (2000-2008), Datuk Rahim Husin disebut juga bertanding di kerusi parlimen. Beliau seorang ahli perniagaan yang berjaya di Kuala Lumpur walaupun bagi saya beliau lebih sesuai diberi berpeluang merampas kerusi DUN Chukai daripada tangan PAS.



Dato Rahim adalah penaung grup whatsapp Kemamang Kite  (KK) yang telah menggerunkan ramai ahli politik kemaman. Sejak ditubuhkan pada bulan September 2016, KK telah banyak menganjurkan program yang menyebabkan ramai ahli politik yang selama ini senyap  turun padang menganjurkan program juga.

Sehingga ini dua nama ini yang popular disebut bertanding kerusi parlimen. terpulang kepada pucuk pimpinan untuk memilih siapa untuk mempertahankan kerusi parlimen kemaman. Saya kira Datuk Rahim yang ada visi untuk membangunkan kemaman lebih layak diberi peluang sebagai calon BN bagi kerusi parlimen Kemaman.