Wednesday, September 12, 2018

KOSONG KERUSI UNTUK ANWAR BUKAN SATU PENGKHIANATAN

PETALING JAYA, 12 Sept (Bernama) -- Pengosongan kerusi Parlimen Port Dickson untuk memberi laluan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) bukan pengkhianatan kepada rakyat.

Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu dibuat bagi membolehkan Ketua Umum PKR itu berkhidmat kepada rakyat sebagai Anggota Parlimen.

"Khianat ini adalah apabila kita curi duit rakyat, kalau kita ada kedudukan kita kayakan diri, kalau kita ada kuasa kita tekan rakyat.

"Tetapi dalam sistem demokrasi, jalan untuk kita mewakili rakyat dalam Parlimen adalah melalui pilihan raya dan dalam kedudukan ini, ia dibuat dengan maksud yang khusus bagi melaksana satu ketetapan konsensus," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar khas di ibu pejabat PKR di sini, hari ini.

Pada sidang akhbar itu, Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengumumkan peletakan jawatannya bagi memberi laluan kepada Anwar, yang telah menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Saifuddin Nasution berkata Anwar yang sebelum ini merupakan Anggota Parlimen Permatang Pauh dinafikan peluang berkhidmat untuk rakyat selepas dipenjara.

"Dia direntap dan diseret ke penjara jadi peluang dia untuk berkhidmat kepada rakyat dinafikan selama di dalam penjara dan sekarang dia bebas untuk mengambil bahagian," katanya.

Anwar dilucutkan kelayakan sebagai Anggota Parlimen Pematang Pauh selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun setelah menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara bagi kesalahan meliwat pada Februari 2015.

Beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu.

Sementara itu, Danyal Balagopal berkata beliau akan terus membantu di kawasan parlimen itu sekalipun tidak bergelar wakil rakyat.

"Saya tidak berhenti berkhidmat kepada rakyat saya masih tetap di Port Dickson dan akan menjadi mata dan telinga untuk Anwar di lapangan,” katanya.

Naib Presiden PKR Rafizi Ramli pula berkata pengosongan kerusi itu bukan pengkhianatan kerana ia tidak melanggar mandat rakyat.

Beliau berkata Pakatan Harapan akan terus memastikan janji-janji yang dibuat pada pilihan raya umum lalu dikotakan demi kebaikan rakyat.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14, 9 Mei lepas, Danyal Balagopal, bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mengalahkan calon BN Datuk V.S. Mogan dan calon PAS Mahfuz Roslan dengan majoriti 17,110 undi.

Parlimen Port Dickson memiliki lima DUN iaitu Chuah dan Lukut masing-masing dikuasai DAP, Bagan Pinang dan Linggi (BN) dan Sri Tanjung (PKR).

Parlimen Port Dickson (dulu Telok Kemang) dikuasai PKR selama tiga penggal sejak 2008.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment