Thursday, September 6, 2018

SYED SADDIQ TIDAK BENARKAN MPM TANGGALKAN CAP DAGANG DALAM BAHASA MANDARIN

MUAR, 6 Sept (Bernama) – Anggota Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak akan membenarkan cap dagang dalam bahasa Mandarin di kedai di bandar Muar ditanggalkan oleh majlis perbandaran kerana ia mempunyai nilai sejarah.

Menteri Belia dan Sukan itu berkata cap dagang itu yang telah wujud lebih separuh abad adalah sejarah Muar dan keindahan bandar ini terletak pada kepelbagaiannya yang perlu dilindungi sepenuhnya.

“Saya membantah bagi cap dagang dalam bahasa Mandarin itu ditanggalkan secara paksa. Kenapa hanya sekarang dicadangkan ia ditanggalkan, ini tidak masuk akal. Sebagai MP (Anggota Parlimen) Muar, saya tidak benarkan ini berlaku,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Semalam sebuah akhbar berbahasa Mandarin melaporkan beberapa pengusaha kedai di Jalan Sisi di sini diminta menanggalkan cap dagang dalam bahasa Mandarin mereka dalam tempoh dua minggu.

Akhbar itu melaporkan pegawai Majlis Perbandaran Muar yang .melakukan lawatan ke kedai berkenaan pada 4 Sept menyatakan saiz perkataan itu tidak menepati peraturan iklan ditetapkan majlis itu.

No comments:

Post a Comment