Monday, September 24, 2018

MCA HANYA SEBATANG MANCIS BERBANDING RATUSAN BATANG DAP



IPOH 24 Sept. - UMNO digesa melupakan MCA dan sepatutnya terlebih dahulu meninggalkan parti itu dalam Barisan Nasional (BN) tanpa perlu menunggu dihalau dari BN.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib berkata, MCA adalah komponen yang sudah tidak ada apa-apa makna dalam landskap politik semasa.


Menurutnya, sebaiknya UMNO dan Pas harus bersama-sama menuju ke arah membina gagasan politik baru, dengan lambang kesepakatan baru, komponen baru, dengan penyertaan parti-parti yang mempunyai idealisme yang sama.

"MCA hanyalah sebatang mancis dalam ruang pemikiran pengundi Cina, berbanding ratusan batang yang dihuni oleh DAP dalam kotak yang sama, 'adios MCA', UMNO carilah lambang baru.

"Jangan harapkan lagi dacing yang semakin senget dengan pemberatnya hanya UMNO ketika ini, sedangkan MCA ibarat kapas ditiup angin dan hinggap tidak menentu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd. Khusairi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Slim berkata, ahli parti MCA patut rasa malu mempunyai Presiden yang bongkak seperti Datuk Seri Liow Tiong Tai.

Menurutnya, ini kerana sejarah membuktikan bahawa UMNO banyak berkorban kerusi dan undi bagi memastikan MCA terus relevan dalam komponen BN.

Katanya, dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), biarpun UMNO meneruskan tradisi membantu MCA, malangnya parti MCA sendiri gagal menarik sokongan pengundi Cina.

"Malah ramai pemimpin dan ahlinya sendiri berpaling tadah dan tidak mengundi BN walaupun calon yang diletakkan adalah dari MCA sendiri.

"Kerusi P077 Tanjong Malim adalah bukti nyata apabila Setiausaha Agung MCA sendiri mempengaruhi penyokongnya untuk menolak calon BN yang juga Pengerusi MCA Perak selepas pengumuman calon dan sepanjang tempoh berkempen," katanya

Sebelum ini, Tiong Tai menyatakan parti itu akan menyingkirkan UMNO daripada BN jika parti induk Melayu tersebut bergabung dengan Pas.


No comments:

Post a Comment