KUALA LUMPUR 21 Sept. - Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berpandangan, parti itu tidak wajar bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson dengan alasan Parlimen tersebut bukan kerusi tradisi yang ditandinginya.
Tengku Razaleigh Hamzah
Tambah Ahli Parlimen Gua Musang yang lebih dikenali sebagai Ku Li itu lagi, sokongan rakyat ketika ini dilihat masih tidak lagi berpihak kepada UMNO dan buktinya adalah kekalahan Barisan Nasional (BN) yang diwakili calon UMNO dalam PRK (PRK) Sungai Kandis, baru-baru ini.
Itu bukan kerusi UMNO, apa yang kita mahu bertanding sangat? Kita bertanding di PRK baru-baru ini pun kalah. ‘Angin’ orang ketika ini adalah anti-UMNO dan tidak suka kepada UMNO, apa yang mahu letak kepala di sana?
“Bukan maksud saya UMNO tidak berani untuk melawan tapi soalnya itu bukan kerusi kita. Kalau MIC yang bertanding di situ pada pilihan raya umum lalu pun tidak mahu bertanding, kenapa kita pula mahu bertanding di sana?” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini, semalam.
PRK Parlimen Port Dickson bakal diadakan pada 13 Oktober ini selepas penyandangnya, Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi berkenaan bagi membolehkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Sementara itu, jelas Ku Li, UMNO tidak mempunyai cukup kekuatan untuk memenangi sekali gus merampas kembali kerusi Parlimen Port Dickson tersebut.
“Dulu kenapa UMNO beri kepada MIC kerana UMNO tidak mempunyai kekuatan di sana.
Mengapa sekarang kita mahu sangat bertanding di sana, nak kalah lagi? Saya tidak fikir kita mahu kalah lagi. Jika tiada calon daripada BN pun biar Bebas bertanding, kita akan sokong Bebas tapi janganlah kita kalah sekali lagi,
“UMNO perlu menguatkan kedudukan terlebih dahulu dan selepas kita pulih kita lawanlah di tempat yang kita rasa boleh menang. Itulah politik, bukan kerana kita bertanding sebab mahukan kuasa lalu kita lawan, saya rasa itu bukan strategi yang betul. Itu sebab pilihan raya umum yang lalu kita serah kepada MIC sebab dirasakan MIC boleh menang di Port Dickson, kalau tidak kita letak calon UMNO,” katanya.
No comments:
Post a Comment