Saturday, May 4, 2019

RAMAI TAK YAKIN DENGAN KREDIBILITI MAT SABU SEBAGAI MENTERI PERTAHANAN

KUALA LUMPUR, 4 Mei (Bernama) -- Tatkala Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menamakan Mohamad Sabu sebagai Menteri Pertahanan, ada segelintir masyarakat pada mula-mulanya seakan tidak yakin dengan kredibiliti pemimpin itu kerana berasakan perwatakan beliau tidak sesuai dengan portfolio berkenaan.

Apa tidaknya, figura yang lebih mesra dengan panggilan Mat Sabu itu cukup dikenali dengan lawak dan gelak tawanya, berlawanan dengan imej yang sering difikirkan untuk seorang Menteri Pertahanan; tegap, garang dan tegas.

Namun, setahun sudah memegang jawatan berkenaan terbukti pelbagai inisiatif dan penambahbaikan tadbir urus kementerian itu dibawa beliau secara agresif, termasuklah mengarahkan penyiasatan terhadap projek serta perolehan aset yang mencurigakan.

Mohamad, menjadikan Kementerian Pertahanan sebagai kementerian pertama disiasat oleh Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan yang diketuai oleh bekas Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.

Hasil siasatan jawatankuasa itu mendedahkan bahawa kerajaan mengalami kerugian lebih RM500 juta bagi urus niaga ‘land swap’ membabitkan tanah milik kementerian itu semasa pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

Kementerian Pertahanan di bawah pimpinan Mat Sabu juga ‘memecah rahsia’ Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) sebenarnya mengalami kerugian terkumpul menjangkau RM31.6 juta pada 2017, berbanding keuntungan RM259.99 juta seperti yang diumumkan sebelum ini.

“LTAT sebenarnya rugi tetapi diisytihar untung kerana penjualan tanah yang berlaku pada 2017 belum lagi selesai dimasukkan ke akaun 2017… jadi kita ‘react’ terhadap laporan audit dengan membetulkannya,” katanya kepada media di Wisma Pertahanan baru-baru ini.

Rombakan juga dibuat pada badan pengurusan yang menyaksikan bekas Ketua Pegawai Pelaburan (CIO) Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) Nik Amlizan Mohamed dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif LTAT menggantikan Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin yang meletakkan jawatan.

Bagi memantapkan perolehan pertahanan, Mohamad berkata: “Ia akan dibuat mengikut keperluan dan kemampuan kewangan. Juga biarlah pakar dalam ATM menentukan jenis peralatan atau perolehan aset apa yang diperlukan atau mahu diperbaharui, bukannya anggota politik atau pihak tertentu.”

Menurut Mohamad, buat pertama kalinya juga negara bakal menyediakan Kertas Putih Pertahanan, menggariskan hala tuju dan komitmen kerajaan khususnya Kementerian Pertahanan terhadap dasar pertahanan negara, yang akan dibentangkan di Parlimen Oktober depan.

“Ini adalah projek yang tidak memakan belanja besar, yang kita rangka untuk sepuluh tahun ataupun lebih jauh dari itu… ia kini berada dalam peringkat ‘tuning’ akhir… kita sudah membuat dialog dan berkongsi fikiran dengan semua pihak berkaitan termasuklah mereka dalam industri pertahanan, cendekiawan dan pakar-pakar,” katanya.

Menteri pertahanan itu berkata penglibatan pasukan pertahanan apabila berlaku bencana alam di dalam negara dan di luar negara turut terkandung dalam kertas putih itu

Mohamad juga berkata selaras dengan dasar berkecuali Malaysia, Kementerian Pertahanan juga telah menarik balik penglibatan anggota tentera yang ditempatkan di negara Timur Tengah bagi mengelakkan negara tersepit dalam konflik rantau itu.

Selain itu, katanya, amalan pengurniaan pangkat kehormat dan pemakaian seragam tentera di kalangan anggota politik serta selebriti dihentikan serta-merta bagi menghormati jasa dan pengorbanan tentera yang telah bersusah payah berkhidmat selain bagi mengelakkan nilai pangkat dan gelaran pasukan itu direndahkan.

Kebajikan veteran ATM juga tidak pernah disisihkan. Buktinya, tambahan peruntukan hampir RM20 juta, daripada RM78.914 juta kepada RM98 juta disalurkan untuk Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) bagi urusan hal ehwal dan kebajikan veteran melalui Bajet 2019.

Katanya, yang terbaharu, bantuan khas RM500,000 kepada Persatuan Bekas Tentera untuk diagihkan kepada yang berdaftar di bawah JHEV, selain memperkenalkan Bantuan Harapan Negara iaitu pemberian RM500 secara one-off kepada 159,368 orang veteran ATM berpencen dan tidak berpencen dalam kategori B40, menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Kejayaan setahun Kementerian Pertahanan juga dilengkapi dengan Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2019 pada Mac lepas, yang menyaksikan nilai kontrak dan perjanjian persefahaman MoU ditandatangani mencapai RM4 billion dan menurut Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad adalah antara yang terbaik pernah dianjurkan.

Ketika ditanya adakah beliau berpuas hati akan prestasi setahunnya, Mohamad berkata “Saya belum berpuas hati, banyak perkara lagi yang perlu ditingkatkan dan supaya kita dapat seboleh-bolehnya menggunakan wang kerajaan dan rakyat sebaik-baik mungkin untuk pertahanan dan keselamatan negara.”

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment