Monday, January 2, 2017

KKMM IKTIRAF HARITH ISKANDER

KUALA LUMPUR, 2 Jan (Bernama) -- Pelawak popular, Harith Iskander malam tadi
menerima penghargaan daripada Kementerian Komunikasi dan Multimedia sebagai pengiktirafan atas kejayaannya menjadi The Funniest Person In The World.

Pengiktirafan itu membolehkan Harith, 50, menerima trofi penghargaan yang disampaikan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, di sini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad.

Pada 10 Dis lepas, Harith diumumkan juara pertandingan Laugh Factory Funniest Person in the World di Finland setelah menewaskan empat finalis lain, sekali gus membolehkannya menerima hadiah US$100,000 (RM443,000).

Sementara itu, Harith ketika ditemui pemberita berkata beliau berterima kasih kepada Kementerian Komunikasi dan Multimedia atas penghargaan itu.

"Saya masih terkejut dengan apa yang berlaku dan sepanjang 26 tahun bergelar anak seni, inilah penghargaan tertinggi yang saya terima," katanya.

Menjelaskan mengenai perancangan masa depan, Harith berkata beliau akan melakukan persembahan komedi dalam jelajahnya di Amerika Syarikat sebagai memenuhi syarat penganjur pertandingan bermula Februari ini.

"Peluang mengadakan persembahan di sana akan saya gunakan untuk meletakkan lawak solo Malaysia pada standard yang lebih tinggi supaya ia lebih dikenali," katanya.

Harith berkata beliau merancang mengadakan konsert besar-besaran pada akhir tahun ini untuk mengetengahkan bakat solo komedi tempatan bagi memperkembangankan lagi industri itu di negara ini.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment