Thursday, January 26, 2017

PBS BERSEDIA HADAPI PRN SABAH AWAL?



KOTA MARUDU, 26 Jan (Bernama) -- Parti Bersatu Sabah (PBS) bersedia menghadapi pilihan raya negeri (PRN) pada bila-bila masa dengan keyakinan untuk menawan semula enam kerusi yang terlepas daripada tangan parti itu pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), kata Pemangku Presidennya Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

Beliau berkata parti telah melakukan persiapan dan bersedia untuk menjalan tanggungjawab bagi memenangi semua kawasan yang bakal ditandingi oleh calon PBS.

"Pada pilihan raya lepas kita telah diberi kepercayaan untuk bertanding di 13 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan memenangi tujuh daripada kawasan itu. Namun dengan persediaan dan penelitian yang telah dilakukan, kita yakin dapat menawan semula enam kawasan DUN yang telah tewas.

"Jika PRN akan dilaksanakan lebih awal, kita tiada masalah untuk memenangi semula enam kawasan DUN berkenaan iaitu Inanam, Matunggung, Api-Api, Tamparuli, Kadamaian, dan Sri Tanjung," katanya kepada pemberita selepas Program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Kebangsaan Gana, dekat sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini bahawa Sabah akan mengadakan pilihan raya negeri lebih awal sebelum tempoh matang pilihan raya umum pada 2018.

Mengenai tambahan 13 kerusi baharu DUN Sabah, Ongkili berkata sekiranya kerusi baharu itu sempat diguna pakai dalam pilihan raya akan datang, pihaknya telah mengenal pasti beberapa kawasan yang diyakini mempu dimenangi oleh Barisan Nasional (BN) sekiranya meletakkan calon daripada PBS.

"Perkara itu (pembahagian kerusi) akan diputuskan oleh pucuk pimpinan BN. Namun kita bersedia untuk menunaikan kewajiban untuk memastikan BN menang di kawasan yang diperuntukkan kepada kami (PBS)," katanya.

Terdahulu, pada majlis itu Ongkili yang juga Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air telah menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 282 pelajar di sekolah berkenaan.

Beliau berkata bantuan kelengkapan persekolahan itu merupakan merupakan sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi meringankan beban ibu bapa berpendapatan rendah.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment