Thursday, December 8, 2016

500 RIBU SUDAH TONTON VIDEO SYAMSUL DEBAT



KUALA LUMPUR : Gaya pe­nyampaian santai sambil diselitkan unsur humor membuatkan ramai terhibur dengan pembahasan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Seremban, Syamsul Amri Ismail atau lebih dikenali dengan nama ‘Syamsul Debat’ sehingga video beliau ketika membahaskan Usul Agama dan Pendidikan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 baru-baru ini menjadi viral.


Syamsul Amri, 39, yang kini sedang mengerjakan ibadah umrah berkata, beliau tidak menyangka ramai yang tertarik dengan perbahasan yang disampaikan sehingga video yang dimuat naik oleh akaun UMNO Online di laman YouTube kini sudah mencecah lebih 500,000 tontonan, hanya dalam masa beberapa hari.

Beliau yang juga Presiden Pertubuhan Alumni Debat Malaysia (Adam) memberitahu, ke­selesaannya menjadi diri sendiri ketika berkongsi pandangan setiap kali program ceramah atau tazkirah dan ‘populariti’ yang dikecapinya ke­tika ini semuanya hanyalah dengan izin Allah.

“Saya hanya bercakap dari hati untuk mengajak kepada perkara kebaikan me­ngikut kemampuan diri sendiri yang serba kekurangan.

“Hanya ucapan syukur kepada Allah mampu saya panjatkan seandainya segala ilmu yang dikongsi dapat memberi manfaat kepada orang lain,” kata anak kelahiran Kampung Ayer Dedali, Jempol, Negeri Sembilan itu menerusi aplikasi WhatsApp.

Beliau yang lebih lima kali bergelar johan pidato pelbagai pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan sejak tahun 2000 hingga 2006 mula mendapat perhatian umum apabila diundang oleh beberapa stesen penyiaran memberi tazkirah ilmu secara santai, namun popularitinya memuncak semasa mewakili Negeri Sembilan ketika membahaskan Usul Agama dan Pendidikan semasa Perhimpunan Agung UMNO 2016 minggu lalu.

Dalam pada itu, Syamsul Amri juga menegaskan, beliau tidak ambil kisah sekiranya ada pihak yang kurang senang dan tidak lagi mengikuti ceramahnya selepas ini setelah mengetahui beliau merupakan ahli UMNO kerana hanya mahu berkongsi ilmu dan menyebarkan kebaikan.

“Terpulang kepada setiap individu sama ada hendak menerima atau tidak kerana saya tahu perkara berkenaan adalah hak masing-masing,” katanya.

Wednesday, December 7, 2016

KALAU SAYA TUBUH PARTI PUN SAYA MENANG DI KINABATANGAN

KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Bung Mokhtar yakin Parti Warisan yang diasaskan oleh bekas Naib  Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal akan mendapat sambutan di Semporna sahaja.

Katanya, parti itu tidak akan mendapat sambutan oleh rakyat Sabah kerana parti itu adalah parti  berbilang kaum yang mana kaum Kadazan tidak akan meninggalkan PBS yang diketuai oleh Tan Sri Pairin Kitingan yang juga Huguan Siow kaum Kadazan.

"Jadi Parti Warisan hanya akan mendapat  sokongan rakyat Semporna sahaja," katanya kepada blog ini.

Beliau yang juga ahli parlimen Kinabatangan mendakwa jika beliau tubuh parti pun, beliau akan dapat sokongan di Kinabatangan sahaja.

"Ia sama dengan Datuk Lajim yang menubuhkan Parti Harapan Sabah yang mendapat sokongan di Beaufort sahaja," katanya lagi.

Bung Mokhtar yang juga Pengerusi FELCRA percaya perhimpunan agung Umno (PAU) minggu lepas adalah pau terakhir sebelum PRU yang ke 14.

"Datuk Seri Najib Tun Razak telah menggunakan pau sebagai platform terbaik untuk membela diri kerana selama ini pembangkang banyak menyerang peribadi beliau. Oleh itu tidak timbul isu pau sebagai platform Najib untuk mengutuk musuh politiknya," jelas beliau.

Katanya lagi, para perwakilan puas hati dengan penjelasan Najib kerana mereka tahu hanya BN yang dapat membela nasib rakyat dan bukannya Pakatan Harapan yang banyak memberi harapan seperti di Selangor yang tidak selesai dengan isu air.

"Malah rakyat Kinabatangan bersyukur dengan adanya BN Kinabatangan telah banyak membangun," katanya lagi.

Beliau menambah rakyat tak perlu tukar kerajaan kerana apa yang berlaku di Iraq dan Mesir bukannya kerajaan baru lebih baik dari kerajaan lama malah perubahan yang dimahukan rakyat itu lebih membawa perubahan ke arah kehancuran.

Tuesday, December 6, 2016

SPRM KENA PANTAU PDRM

TEMERLOH, 6 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)yakin mampu meraih tahap 80 peratus keyakinan rakyat negara ini terhadap keberkesanan fungsi suruhanjaya itu memerangi amalan rasuah seawal-awalnya tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) (SPRM) Datuk Shamsun Baharin Mohd Jamil berkata, ia dijangka mampu dicapai lebih awal berbanding sasaran sebelum ini berikutan usaha berterusan suruhanjaya itu memerangi rasuah tanpa mengira pangkat dan kedudukan.

"Kalau lihat dari segi keyakinan masyarakat terhadap SPRM ada peningkatan iaitu daripada 65.8 peratus pada tahun lepas kepada 73 peratus pada tahun ini," katanya.

Ulasan saya, SPRM perlu memantau PDRM jabatan yang paling rasuah di negara ini. Amat memalukan ppolis bebas ambil rasuah ketika menahan teksi yang membawa pendatang tanpa izin. Kalau benar mereka tiada permit kerja tahan mereka dan hantar kepada Jabatan Imigeresen untuk tindakan selanjutnya.

Sebaliknya polis tahan mereka dan pau mereka sehingga RM2,000. Lebih menyedihkan mereka dibawa makan angin dengan patrol car sambil mangsa menelefon kawan-kawan untuk dapatkan duit sebanyak RM2,000. Apabila duit tersebut tidak dapat baru polis turunkan harga sehingga RM300.00

Yang paling memilukan ada yang baru nak hantar duit gaji mereka ke kampung sudah dipau polis. Malah yang ada permit kerja dikatakan tidak ada permit sehingga majikan datang membebaskan pekerja mereka. Majikan yang cerdik tidak mahu bayar polis satu sen pun kerana mereka ada permit yang kerja yang sah.

Kenapa polis terlalu kuat rasuah? Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar patut mengambil tindakan tegas kepada anggota PDRM supaya jangan jadikan rasuah sebagai punca pendapatan. Buat malu PDRM. Oleh itu SPRM perlu memantau setiap road block polis kerana setiap hari kita terima aduan daripada pemandu teksi yang membawa orang asing. Sepatutnya pegawai SPRM menyamar sebagai pemandu teksi untuk menangkap polis yang rasuah.

Sunday, December 4, 2016

MAHATHIR HINA NABI?



Di mata Umno Datuk Seri Najib Razak adalah 'insan terpilih' oleh Allah untuk memimpin parti itu dan negara.

Namun pada tafsiran Tun Dr Mahathir Mohamad, ia adalah berbeza sama sekali.

Mengulas kenyataan Naib Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini kenyataan mengaitkan Najib dengan kehendak Allah serta sikap walak, Dr Mahathir berkata ia seolah-olah menyamakan perdana menteri dengan nabi.

"Tetapi nabi tak ada RM2.6 bilion dalam akaun dia, juga (tak ada) 1MDB," katanya disambut ketawa orang ramai.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang media di Shah Alam selepas menghadiri perhimpunan tahunan DAP hari ini.

Terdahulu bekas perdana menteri dan pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu mengejutkan orang ramai apabila hadir dan dibawa duduk bersama pimpinan tertinggi DAP di atas pentas.

Sebelum ini DAP mengesahkan mereka tidak menjemput wakil BERSATU ke program berkenaan kerana parti berkenaan belum menjadi anggota Pakatan Harapan (HARAPAN).

Turut hadir di majlis itu, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Mohamad Sabu.

Sentimen takutkan Melayu

Perhimpunan tahunan Umno baru saja berakhir di PWTC semalam. Sepanjang tempoh persidangan berlangsung beberapa perwakilan menyatakan puji-pujian mereka kepada Najib sebagai perdana menteri dan presiden parti.

Ungkapan mengaitkan Najib sebagai "pilihan Allah" pernah diucapkan wakil dari Kedah, Datuk Othman Aziz pada perhimpunan agung Umno tahun lalu.

Semasa merasmikan persidangan tahunan pemuda, wanita dan puteri Umno pada 29 November lalu Ahmad Zahid berkata sekarang adalah waktu "Allah SWT meletakkan Datuk Seri Najib sebagai presiden" parti berkenaan.

"Takdir Allah SWT mengkehendakinya begitu. Justeru, saya menyeru kepada seluruh perwakilan agar jangan sesekali berwalak hanya di bibir. Walak saudara saudari sekalian haruslah juga pada perbuatan kerana itulah sebenarnya tuntutan dalam agama kita," katanya.

Dr Mahathir berkata Najib juga menyatakan jika Umno kalah pada pilihan raya umum akan datang, Lim Kit Siang akan menjadi perdana menteri.




"Inilah cara Najib gunakan sentimen perkauman untuk menakut-nakutkan pengundi Melayu sedangkan persempadanan semula kawasan pilihan raya diubah (menjadikan) Cina (diletakkan dalam kawasan sama) dengan Cina, Melayu dengan Melayu, India dengan India," katanya.

Mengenai dakwaan DAP mengamalkan dasar liberal Dr Mahathir berkata tidak ada sesiapa yang akan membawa fahaman itu sama seperti di AS.

"Kita tidak akan lihat sama sekali Lim Guan Eng berkahwin dengan lelaki," katanya, disambut ketawa orang ramai sekali lagi.

Ulasan saya, Dr Mahathir tak faham maksud insan terpilih Allah. Ia bermakna Allah yang pilih Najib jadi PM sedangkan ketika itu ada tiga orang naib presiden iaitu Muhyiddin Yassin, Najib Razak dan Muhammad Md Taib ketika Pak Lah naik jadi PM.

Allah tidak pilih Muhmmad Md Taib dan Allah tidak angkat Muhyiddin sebagai TPM sebaliknya Allah buka pintu hati Pak Lah untuk lantik Najib sebagai TPM yang baharu. Itu yang dimaksudkan dengan insan yang dipilih Allah dan bukannya menyamakan Najib dengan Nabi.

Sebaliknya Mahathir berkata Nabi tak terima RM2.6 billion dan Nabi tak terlibat dalam 1MDB. tergamak pula Mahathir menghina Nabi dengan mengaitkan peristiwa di zaman sekarang dengan zaman Nabi.

Saturday, December 3, 2016

NAJIB KENA FAHAM DENGAN ISYARAT

Perhimpunan Agung Umno (PAU) selama empat hari sudah berakhir semalam. Terasa lengang PWTC kali ini. Tidak seramai dahulu berbanding di zaman Tun  Dr Mahathir  Mohamad di mana nak masuk PWTC bukan main payah, berasak-asak.

Kenapa ia berlaku? Adakah ini isyarat ahli ahli Umno bahawa mereka sudah tidak yakin dengan Umno lagi? Atau adakah mereka sudah tidak yakin dengan presiden mereka, Datuk Seri Najib Tun Razak?

Kes 1MDB masih menghantui mereka. Begitu juga kes duit RM2.6 billion dalam akaun peribadi PM. Adakah benar ia duit derma dari anak Raja Arab atau duit 1MDB? oleh itu Umno perlu buat kaji selidik sejauh mana dua isu ini beri kesan kepada PRU akan datang.

Jangan tanya ketua bahagian, mereka tetap kata bahawa kes 2.6 billion tiada kesan kerana mereka terima sedikit dari duit tersebut. Jangan tanya ketua cawangan. Tanya orang bawah, orang atas pagar apa pandangan mereka. Mereka lebih terkesan dengan kos sara hidup, kes GST. Jadi mereka sebagai pengundi senyap akan buat perhitungan pada PRU 2018.

Jangan angkuh dengan kemenangan besar BN di Sarawak dan PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar. Senario PRK berbeza dari PRU, Semua PRK jentera parti dari seluruh negara menggempur PDM maka BN menang besar tetapi dalam PRU mana ada masa nak tumpu PDM sepenuh masa.

Dalam suasana BN yang lemah, syukurlah pembangkang berpecah. Akan tetapi jika berlaku perubahan kepimpinan PAS dalam masa terdekat, adakah PAS akan kekal menentang Amanah? Bagaimana jika berlaku pertandingan dua penjuru jika PAS menyertai Pakatan Harapan untuk menentang BN?

Para perwakilan lebih banyak berlegar di luar Dewan Merdeka menemui kawan kawan di Riverside dan Sunway Putra Mall. Mereka berebut jadi G7 dan sanggup hulur duit kepada para perwakilan cawangan tetapi bila jadi G7 mereka tak minat dengar perbahasan sebaliknya duduk di luar bersembang dengan kawan-kawan. Inilah nasib G7 yang perwakilan bahagian pilih.

Ahli-ahli Umno sudah beri isyarat kepada Najib dengan memulau PAU. Ramai yang tak datang termasuk pemerhati. Mereka bersedih Umno di bawah Najib terlalu banyak masalah. Jika Najib faham dengan isyarat yang diberikan oleh ahli-ahli Umno, sewajarlah beliau berundur dan beri laluan kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengemudi PRU akan datang.

PRU akan diadakan pada tahun 2018. Belum terlambat bagi Zahid untuk memulihkan semula imej Umno. Jangan salahkan kami jika BN kalah teruk dalam PRU akan datang kerana kami sudah nasihati Najib untuk berundur secara baik.

Najib tidak ragui kesetiaan Zahid maka Zahid akan pastikan Najib bersara dengan aman selepas ini. Najib mungkin faham dengan isyarat yang diberikan oleh ahli Umno terutama makan malam presiden di mana banyak meja kosong. Oleh itu berundurlah secara terhormat dan beri laluan kepada Zahid mengepalai jentera BN pada PRU akan datang.

Friday, December 2, 2016

WAKIL SABAH GAMATKAN PWTC DENGAN KISAH PISANG

KUALA LUMPUR, 2 Dis (Bernama) -- Wakil UMNO Sabah hari ini menggamatkan suasana dalam Dewan Merdeka dengan kisah pisang, pantun dan teka-teki beliau yang menarik perhatian bukan sahaja anggota perwakilan tetapi juga pucuk pimpinan parti.

Timbalan Ketua Bahagian UMNO Kimanis, Datuk Mohd Ariffin Mohd Arif ketika membahaskan ucapan dasar Presiden secara bersahaja menyelitkan topik 'pisang' yang dijadikan analogi kepada kekuatan UMNO.

"Pisang emas dibawa belayar, masak sebiji di atas peti; hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

"Kenapa pisang emas yang dibawa belayar, bukan pisang tanduk bukan pisang Sabah? Tahukah Tan Sri (Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruldin), buah yang paling berani di dunia adalah buah pisang?

"...kerana pisang jantungnya di luar," katanya yang disambut tepukan dan gelak tawa anggota perwakilan dan Majlis Tertinggi UMNO pada perhimpunan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Ariffin menyatakan orang dahulu mengangkat pisang sebagai makanan pilihan untuk belayar kerana sifatnya yang mampu bertahan lama dan ranum berperingkat selain menjadi penawar kepada 'mabuk laut'.

Beliau berkata penggunaan metafora dalam pantun itu menggambarkan tingginya kearifan dan sifat hormat Melayu terhadap rezeki yang diterima malah perlu diambil iktibar parti UMNO, begitu juga dengan kitaran hidup pokok pisang.

"Pokok pisang yang belum berbuah, jika ditebang berkali-kali akan bertunas semula kecuali jika ia pernah berbuah, ia akan mati bersama tanah...ini falsafah pisang, pantang mati sebelum berbuah.

"Pantang mengaku kalah selagi hidup...buah pisang ini kita jadikan rujukan kepada kekuatan kita (UMNO)," katanya disusuli tepukan gemuruh perwakilan.

Badruddin yang turut ketawa apabila sifat pisang menjadi pedoman kepada kekuatan UMNO sempat juga 'mengusik' perwakilan Sabah itu dengan berseloroh: "Tak habis-habis pisang," sambil bertepuk tangan.

Tidak berhenti di situ, Mohd Ariffin sekali lagi mencuit hati perwakilan apabila dengan sinis membandingkan sikap dengki antara individu dalam kerjaya lain dengan kalangan orang politik.

"Tapi biasanya dengki ini akan berakhir apabila kita bersara, guru tak akan dengki lagi dengan guru tapi hairan dalam politik...tidak mahu masih lagi berdengki (merujuk kepada bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed)," katanya yang menyebabkan Dewan Merdeka sekali lagi gamat dengan tepukan dan gelak tawa perwakilan.

Thursday, December 1, 2016

ZAM SENDIRI LUPA SIAPA PIMPIN UMNO KEDAH SEBELUM PRU 2013?

Saya ingin mengulas blog Zam yang buat ramalan kononnya BN akan hilang Kedah dan Terengganu pada PRU akan datang selain pembangkang mengekalkan Kelantan dan Pulau Pinang.Katanya, ini adalah suatu analisis atau ramalan yang mudah berasaskan random sampling secara senyap di akar umbi oleh beliau sendiri dan kawan-kawan di seluruh negeri sejak dua bulan lalu yang menunjukkan UMNO berada dalam kedudukan yang sangat rapuh dan pimpinan Datuk Seri Najib amat tidak popular di seluruh pelusuk tanah air.

Rakyat biasa menolak BN bukan atas soal IMDB atau RM 2.6 Billion tetapi mereka merasa tikaman GST, kenaikan harga barang dan juga kejatuhan ringgit.

Tinjauan ini mendapati hanya lima buah negeri yang akan kekal di tangan Barisan Nasional pada Pilihanraya Umum yang dijangka akan diadakan pada bulan April tahun depan.Negeri-negeri itu ialah Johor, Melaka, Perak,Perlis dan Pahang.

Yang sudah pasti akan berada di tangan pembangkang ialah Kedah,Kelantan(Pas kekalkan kuasa),Terengganu dan Pulau Penang (Kerajaan yang sama).

Bagi saya, jika BN gagal mengekalkan Kedah dan Terengganu ia bukan satu kejutan kerana BN pernah kalah di Kedah pada tahun 2008 dan kalah di Terengganu pada 1999. Jadi kajian bekas Menteri Penerangan itu bukan sesuatu yang baru kerana beliau mengakui BN masih dapat mengekalkan kuasa di lima buah negeri.

Kalau seorang bekas Menteri Penerangan boleh buat ramalan seperti ini siapa lagi yang mahu menghormati Umno? Beliau sepatutnya mempertahankan Umno kerana beliau seorang calon yang dipayungterjunkan. Dari seorang pemberita sambilan kepada seorang ketua pengarang Utusan Melayu akhbar milik Umno beliau sepatutnya bersyukur dari nobody terus masuk politik dan menang PRU dan dilantik timbalan menteri dan menteri.

Tak pernah pegang jawatan di peringkat bahagian tiba tiba dapat jadi calon. Sepatutnya beliau mempertahankan BN yang telah memberi peluang kepadanya menerima gaji bulanan sebagai ahli parlimen dan menteri.

Beliau mengatakan BN menang di Kedah pada tahun 2013 kerana rakyat Kedah mahu Mukhriz sebagai MB baharu. Adakah beliau sedar siapa timbalan pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah menjelang PRU 2013? Bukankah Datuk Ahmad Bashah? Tetapi beliau beri laluan kepada Mukhriz jadi MB kerana itu arahan Presiden parti. Sebagai orang yang patuh kepada arahan parti, beliau akur walaupun sepatutnya beliau boleh memberontak ketika itu tak dapat jadi MB selepas bertungkus lumus beketrja untuk menawan kembali Kedah dari tangan PAS.

Takkan Zam tak tahu sepanjang jadi MB, Mukhriz lebih banyak berada di Kuala Lumpur dari Kedah kerana isterinya enggan berpindah ke Alor Star. Malah beliau yang tidak tahu menjaga hati ketua-ketua bahagian yang menyebabkan mereka tidak memberi sokongan kepada Mukhriz.

Benarkah BN mudah jatuh di Terengganu kerana pimpinan Ahmad Razif? Nampaknya Zam tidak turun padang. Rakyat lebih menyenangi kepimpinan Ahmad Razif yang lebih terbuka. Sebaliknya pimpinan bekas MB mementingkan kroni. Soal tidak bergelar Datuk itu soal lain kerana hubungan beliau dengan istana sudah pulih. Jadi tidak logik menulis kononnya nama Ahmad Razif tidak diingati rakyat.

Zam nampaknya buta politik. Dalam soal ini Sayuti Omar penulis buku pro PAS selama ini lebih terbuka dengan mengatakan bahawa dengan adanya PAS di luar Pakatan Harapan, maka PAS akan kecundang di Kelantan dengan adanya parti serpihan Amanah. Ini bermakna peluang BN merampas kembali Kelantan kali ini lebih cerah dengan meletakkan calon-calon muda yang lebih berwibawa.

Kalau bekas Menteri Penerangan boleh buat analisis seperti ini, tidak hairanlah beliau sendiri kalah dalam PRU 2008 kerana jentera kementeriannya gagal membuat analisis yang sebenar. Oleh itu sebelum mendakwa BN gagal mempertahankan Kedah dan Terengganu, beliau sepatutnya turun sendiri ke padang dan bukannya mengupah orang yang tak layak untuk buat kajian.





.