Wednesday, September 7, 2016

GIRL FRIEND MUHYIDDIN BERCERAI



KUALA LUMPUR 6 Sept. – Peguam, Stanley Clement Agustin dan isterinya, Datuk Nika Gee Siew Yee yang dikaitkan dengan seorang bekas pemimpin kanan negara kini sah bercerai.


Pembubaran perkahwinan itu direkodkan oleh Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad ketika bertemu dengan peguam ke­dua-dua pihak terbabit di kamar hakim di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Stanley, 65, diwakili pegu­am, S. Periasamy manakala Nika, 54, diwakili peguam Choo Dee Wei dan Bryan Ng Yin Miin.
 Ahli perniagaan wanita itu tidak hadir pada prosiding hari ini manakala Stanley walaupun kelibatnya dilihat di kafeteria sejam sebelum prosiding bermula turut tidak kelihatan sewaktu prosiding kes tersebut.

Sementara itu, Periasamy ketika ditemui pemberita memberitahu, perkahwinan itu di­bu­barkan melalui persetuju­an kedua-dua pihak dan ber­­kuat kuasa serta-merta.
 Ketika ditanya mengenai terma-terma perceraian, peguam tersebut enggan memberi sebarang komen.

Dee Wei turut mengesahkan mengenai pembubaran perkahwinan tersebut ketika ditemui selepas tamat prosiding.
“Mereka kini membawa haluan masing-masing,” katanya.

Menurut petisyen perceraian terpinda bertarikh 17 Ogos 2015, Stanley menyatakan beliau berkahwin secara sah di sisi undang-undang dengan Nika pada 24 April 2007 iaitu dua hari sebelum tarikh persaraannya dari­pada perkhidmatan kerajaan di Jabatan Peguam Negara.

Pengendali portal Malaysia-Today, Raja Petra Kamaruddin pernah menyiarkan dokumen akuan bersumpah seorang lelaki mendakwa wujud hubu­ngan sulit antara isterinya dengan seorang ahli politik ketika beliau menjadi Menteri Besar Johor.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagaima­napun menafikan dan meng­anggap dakwaan Raja Petra itu sebagai fitnah, tuduhan liar, tidak berasas dan berniat jahat serta menuntut agar lelaki terbabit yang kini hidup dalam ‘buangan’ di luar negara agar meminta maaf.

Ketika menjadi Timbalan Kanan Pendakwa Raya, Stanley pernah mengendalikan perbica­raan kes peragawati sambilan, Noritta Samsudin yang mati dibunuh di Kondominium Puncak Prima Galleria, Sri Hartamas di sini pada Disember 2003.

Beliau juga pernah menjawat jawatan antaranya Ketua Unit Pendakwaan Wilayah Persekutuan dan Pegawai Pendakwa di Bank Negara Malaysia.

No comments:

Post a Comment