Monday, September 12, 2016

KELUAR UMNO JALAN TERBAIK



PUTRAJAYA 12 Sept. – Tindakan keluar parti adalah jalan terbaik bagi mana-mana ahli UMNO yang sengaja dan sentiasa menimbulkan kontroversi, bagi mengelakkan mereka terus menjadi 'duri dalam daging' kepada perjuangan parti.


Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, UMNO merupakan parti yang berstruktur, dan tidak menjadi masalah sekiranya ahli yang sentiasa menimbulkan kontroversi mahu meninggalkan parti.

Katanya, ketika ini dipercayai terdapat gerakan untuk menarik ahli UMNO keluar, namun UMNO masih teguh dan bersedia untuk menggalas harapan rakyat.

"Saya percaya mereka tidak akan berjaya untuk tarik ahli UMNO keluar parti, ahli kita setia dengan UMNO. Saya juga ingin dedahkan bahawa ramai yang dipecat dan keluar parti sebelum ini membuat rayuan untuk men­yertai kita (UMNO) semula.

"Pelbagai alasan diberikan untuk menyertai UMNO semula termasuk tindakan yang dikenakan tidak adil, perkara ini akan diteliti dan senarai nama yang membuat rayuan juga akan dilampirkan," katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini sebagai mengulas tindakan dua veteran UMNO Johor iaitu bekas Pengerusi Tetap UMNO Gelang Patah, Datuk Baharom Abdul Ghani dan bekas Timbalan Ketua UMNO Kulai, Tosrin Jarvanti yang bertindak keluar parti beberapa hari lalu.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, tindakan dua individu terbabit langsung tidak menjejaskan UMNO kerana Baharom sendiri sebenarnya merupakan ahli yang sentiasa menimbulkan kontroversi kepada parti.

Terdahulu, Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya menghadiri Program Korban Perdana dan Kenduri Rakyat Peringkat Parlimen Putrajaya 2016 sempena sambutan Hari Raya Aidiladha di Presint 9, di sini.

Sebanyak 300 ekor lembu dikorbankan di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan dengan 120 ekor daripadanya disumbangkan oleh Tengku Adnan untuk diagihkan ke setiap cawangan UMNO di Putrajaya, surau-surau dan masjid.

Ketika mengulas mengenai penggantungan bekas Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Mohd. Rafiq Naizamohideen, Tengku Adnan berkata, tindakan tersebut diambil berdasarkan siasatan yang menyeluruh, selain disertakan dengan bukti-bukti yang kukuh.

"Kita ada bukti melalui cakera padat video (VCD) dan juga rakaman-rakaman yang dilampirkan, dalam hal ini dia tidak sepatutnya meluahkan ketidakpuasan hati kepada umum dan meminta parti untuk mengubah keputusan," katanya.

Mohd. Rafiq digantung sebagai ahli UMNO selama enam tahun atau dua penggal, manakala jawatannya sebagai Exco Pemuda UMNO juga digugurkan kerana dikatakan cuba mensabotaj Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron.

No comments:

Post a Comment