JASIN, 4 Sept (Bernama) -- Kehebatan pemimpin UMNO bukan datang daripada diri mereka semata-mata sebaliknya datang daripada sokongan anggota peringkat akar umbi parti, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu, Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas Timbalan Presiden parti itu berkata pemimpin UMNO perlu sedar kedudukan dan jawatan dipegang mereka hari ini adalah suatu amanah yang diberikan anggota peringkat akar umbi parti.
"Kita (pemimpin UMNO) ada atas pentas ini kerana di bawah (anggota akar umbi) sokong kita. Kerana yang bawah yang atas ini jadi hebat.
"Jadi bila ada di atas ini, kena tahu lah kehebatan itu bukan kerana diri kita semata-mata tetapi kerana sokongan akar umbi kita," katanya ketika berucap merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Jasin di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Anggota Dewan Negara Tan Sri Mohd Ali Rustam dan kira-kira 1,000 anggota UMNO Bahagian Jasin.
Ahmad Zahid berkata pemimpin UMNO perlu menjalankan amanah dalam kedudukan dan jawatan diberikan akar umbi kepada mereka dan bukan menjadikannya sebagai sesuatu yang memberikan pulangan lumayan dalam pelbagai bentuk.
"Berapa lama boleh pegang jawatan. Sampai dalam kubur. Selagi pegang jawatan kita mesti jaga kebajikan anak buah kita. Jangan kira cawangan mana bahagian mana perwakilan mana yang sokong kita, selepas menang pegang jawatan kita mesti adil jaga semua," katanya.
Beliau berkata dalam menjalankan amanah itu, pemimpin UMNO perlu mengenepikan protokol bagi mendekati anggota peringkat akar umbi dan juga rakyat secara keseluruhannya.
Katanya dengan mengenepikan protokol dalam mendekati rakyat, pemimpin UMNO dapat menguasai minda dan hati nurani mereka seterusnya memperoleh sokongan untuk parti pada pilihan raya umum akan datang.
"Kita ada Tan Sri Ali (Mohd Ali) dari dulu suka turun padang, pergi kenduri dari pagi sampai petang tengok rakyat tanpa protokol semua, semangat begini harus ada pada pemimpin," katanya.
Ahmad Zahid turut berkongsi pengalamannya ketika bertugas sebagai penolong pengurus di Bank Simpanan Nasional (BSN) sekitar tahun 70an yang mengamalkan sikap mesra dengan semua petugas dari semua peringkat.
Namun sikapnya itu kurang disenangi pengurusnya yang beranggapan tindakan itu melanggar protokol dan menerima teguran daripada pengurusnya berkenaan perkara itu.
"Tetapi saya berpendapat, saya berhak berkawan dengan semua orang menyebabkan saya bertindak untuk berhenti kerja, dalam masa sama saya berdoa untuk keadilan kepada saya yang akhirnya 15 tahun kemudian saya kembali sebagai Pengerusi BSN," katanya.
Beliau berkata setelah menjadi Pengerusi BSN, beliau tidak menaruh dendam kepada bekas pengurusnya itu sebaliknya memberikan kenaikan pangkat kerana pengurus itu bertugas dengan cemerlang malah antara individu yang terlibat dalam proses mengkorporatkan BSN.
"Saya bukan riak atau takbur tetapi di sini ambillah pengajaran bila berada di atas, jangan menzalimi dengan membalas dendam kepada mereka yang pernah menzalimi kita.
"Dalam kitaran hayat politik, ada naik turunnya, kita kena ingat itu selalu, jika kita ikhlas dan konsisten maka hak kita akan jadi hak kita," kata Ahmad Zahid.
Beliau juga mendapat tepukan gemuruh daripada mereka yang hadir kerana tetap bersemangat untuk berucap kira-kira 50 minit menyampaikan nasihat pada majlis itu walaupun suaranya serak dan tersekat-sekat kerana mengalami sakit tekak.
"Saya minta maaf, suara tak berapa dengar ni.. tapi kerana sayang dengan orang Jasin saya teruskan, saya pun dinasihatkan supaya tidak datang kerana sakit ini tetapi nama saya Zahid Hamidi, sekali janji mesti ditepati," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment