Monday, September 5, 2016

SYED ABAS SEDIA BERI LALUAN KEPADA MUKA BAHARU

TAWAU, 5 Sept (Bernama) -- Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Balung Datuk Syed Abas Syed Ali bersedia memberi laluan kepada muka baharu untuk menjadi calon pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) akan datang.

Beliau berkata sekiranya tidak dipilih oleh parti untuk menjadi calon kawasan itu pada PRU14 nanti, beliau akan akur dan akan membantu individu yang dipilih sebagai calon.

"Saya serahkan perkara ini kepada pucuk pimpinan parti ... kita perlu akur dan sekiranya saya tidak dipilih, saya tetap akan membantu mana-mana individu yang dicalonkan oleh parti," katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Syed Abas yang juga Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah berkata pemimpin silih berganti merupakan perkara biasa di negara ini yang mengamalkan sistem demokrasi berpolitik dan yang penting adalah kesetiaan kepada parti.

"Pada zaman pemerintahan parti Berjaya, walaupun saya memenangi DUN Balung sebelum itu, saya tidak dicalonkan semula, tetapi saya tetap memberi sokongan kepada pengganti saya," katanya.

Syed Abas dipilih sebagai ADUN Balung pada 1978 sehingga 1981 di bawah pentadbiran Berjaya dan pada 2004 sehingga sekarang mewakili Barisan Nasional (BN) daripada UMNO.

Sementara itu, beliau berkata kerajaan telah meluluskan RM33 juta bagi menangani masalah bekalan air di beberapa kawasan di DUN Balung termasuk di Kampung Kongsi 8, Kongsi 10 dan Ranggu.

"Kami akan menyalurkan air dari loji Balung melalui Ranggu dan ke kawasan lain yang sering menghadapi masalah bekalan air" katanya.

Ketika ini, penduduk di Kampung Kongsi 8, Kongsi 10 dan Ranggu menerima bekalan air dari loji Utara, Tawau.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment