KUALA LUMPUR, 28 Ogos (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan portal berita dalam talian yang layak untuk berdaftar dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
Menterinya Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata cadangan itu bertujuan untuk menjadikan portal media di negara ini lebih bertanggungjawab dan memudahkan SKMM melakukan pemantauan jumlah pengunjung ke portal terbabit.
Katanya perbincangan mengenainya kini di peringkat akhir sebelum ia dikemukakan kepada Peguam Negara menjelang akhir tahun ini.
"Pendaftaran akan dilakukan mengikut kriteria tertentu bagi menentukan sama ada portal media tersebut layak untuk didaftarkan atau tidak.
"Sebaik didaftar, semua portal berita akan tertakluk kepada undang-undang mengikut Akta Multimedia sekali gus memudahkan kawalan dan pemantauan dibuat menerusi SKMM," katanya kepada pemberita selepas majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Instagram Merdeka 2017 #im60 (foto dan video) dan pelancaran album kumpulan Patriot, di sini Isnin.
Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi.
Salleh berkata selain pendaftaran media cetak, pendaftaran media dalam talian juga telah diamalkan oleh negara lain termasuk Singapura.
Beliau berkata pihaknya akan bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri bagi memastikan pelaksanaannya lebih lancar dan teratur selain mengadakan perjumpaan dengan pengendali media dalam talian.
Pertandingan Instagram Merdeka 2017 (kategori foto dan video) anjuran JASA itu telah menarik 31,220 penyertaan, melepasi sasaran awal 10,000 penyertaan.
Pertandingan yang berlangsung sejak 16 April sehingga 16 Ogos lalu itu terbahagi kepada dua kategori iaitu foto dan video untuk penyertaan masyarakat umum (#im60umum), pelajar institusi pengajian tinggi (#im60siswa) dan sekolah menengah (#im60sekolah).
Pertandingan kali kelima diadakan sejak 2013 adalah itu bersempena Hari Kebangsaan yang akan disambut Khamis ini.
Ahmad Syadiduddin Zamrudin, 24, dari Besut, Terengganu muncul juara kategori video umum, manakala kategori mahasiswa dimenangi Muhammad Haziq Johari, 20, dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam.
Muhammad Zameer Ilman Nordin Khairuzi, 14, dari SMK Padang Negara, Kuala Terengganu, Terengganu menjadi juara kategori video sekolah.
Bagi kategori foto pula, kategori umum dimenangi Lee Leong Joo, 40, dari Klang, Selangor, manakala kategori siswa dimenangi Mohd Rafiq Redzuan Hamzah, 24, dari Management and Science University (MSU) dan kategori sekolah pula dimenangi pemilik akaun Instagram _anisamirah85.
Kesemua juara bagi kategori foto dan video membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM1,200 setiap seorang, selain wafer emas dan produk \'setemku\' yang disampaikan oleh Salleh.
Setiap penyertaan yang diterima telah diteliti dan dipilih oleh 10 profesional daripada Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM), Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Kumpulan Media Karangkraf dan Utusan Melayu (M) Berhad.
Pemilihan pemenang dibuat berdasarkan kreativiti, teknik mengambil gambar dan menggunakan aplikasi, memenuhi kondep yang ditetapkan dan memaparkan nilai murni masyarakat Malaysia.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment