Saturday, August 5, 2017

PASTIKAN BN MENANG PRU BARU CAKAP SOAL PEMILIHAN UMNO

ALOR SETAR, 5 Ogos (Bernama) -- Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah hari ini mencadangkan agar jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti kali ini.

Menteri Besar Kedah turut mencadangkan agar Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang ketika ini menggalas tugas timbalan presiden, diangkat terus memegang jawatan itu berdasarkan keserasian antara Ahmad Zahid dan Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ini bagi memastikan anggota UMNO pada semua peringkat dapat menumpukan tugas lebih berkesan dalam mendepani pilihan raya umum (PRU) ke-14 yang akan datang," katanya disambut tepukan gemuruh hadirin ketika berucap pada Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Alor Setar yang dirasmikan Ahmad Zahid, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ahmad Bashah mengajak parti-parti komponen di negeri itu bekerja dalam satu pasukan agar kemenangan memihak kepada Barisan Nasional (BN) dan seterusnya dapat mengekalkan pemerintahan BN di Kedah.

"Cabaran amat besar untuk PRU-14 ini dan sebab itu kita kena tumpu untuk 'berperang' dengan pembangkang sebab cita-cita mereka nak rampas Kedah tinggi.

"Kita kena sedia walaupun wisel tak tau bila nak tiup, kita kena sedia bersama parti komponen untuk turun ke bawah menjelaskan situasi politik sebenar dengan penuh keikhlasan," katanya.

Sementara itu, Ahmad Bashah berkata perpaduan dan sokongan anggota parti amat penting dalam misi merampas semula kawasan Parlimen Alor Setar serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Darulaman dan Alor Mengkudu daripada pembangkang.

Pada PRU-13 yang lalu, kerusi Parlimen Alor Setar dimenangi Parti Keadilan Rakyat, DUN Kota Darulaman oleh DAP manakala Alor Mengkudu oleh PAS.

Beliau juga menasihatkan rakyat Kedah agar menilai dengan bijak parti yang betul-betul membantu rakyat dan parti yang hanya sekadar menabur janji menjelang pilihanraya.


Ulasan saya, pastikan BN menang PRU terlebih dahulu baru boleh cakap soal pemilihan parti. Kalau kalah PRU tak ada makna jawatan presiden dan timbalan presiden Umno menang tanpa bertanding.

No comments:

Post a Comment