Monday, August 21, 2017

MEDIA DI ZAMAN MAHATHIR DIKONGKONG?

KUALA LUMPUR, 21 Ogos (Bernama) -- Kebebasan media di negara ini pada masa ini adalah lebih baik tanpa sebarang kongkongan atau agenda yang ditentukan lebih awal, terutama selepas berakhirnya era pentadbiran bekas pemimpin negara yang paling lama memerintah, kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan perdana menteri berkata pada zaman itu penentuan agenda sesebuah syarikat media banyak ditentukan oleh "seseorang" dan bukannya oleh pemilik-pemilik syarikat media.

"Secara kebetulan, dalam disertasi kedoktoran saya, saya ada buat perbandingan antara Berita Harian dan Utusan Malaysia dalam lima kali pilihan raya di Malaysia di bawah seorang pemimpin yang paling lama memerintah di negara ini.

"Saya lihat bahawa fakta-fakta yang terpapar dalam kajian saya itu, jika ia masih relevan, adalah satu gambaran bahawa penentuan agenda dibuat oleh seseorang," katanya semasa merasmikan Pameran 'BH Khas Hari Kebangsaan', anjuran akhbar Berita Harian di sini hari ini.

Tanpa menyebut nama tetapi jelas merujuk kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Ahmad Zahid mengingatkan bekas pemimpin itu supaya menyedari bahawa eranya telah berakhir dan sekali gus perlu mengakui zaman selepas pemerintahannya, keadaan negara lebih baik.

Merujuk kepada perkembangan industri media massa di negara sekarang, timbalan perdana menteri memuji syarikat-syarikat media terdiri daripada media cetak dan elektronik yang dilihat saling melengkapi antara satu sama lain termasuk mampu bersaing secara sihat serta mengamalkan etika kewartawanan.

Bagaimanapun, beliau turut mengingatkan berhubung kehadiran kumpulan yang mengakui terdiri daripada wartawan tanpa etika yang cuba untuk mengambil alih, malahan menyaingi dan menjadi cabaran kepada kumpulan wartawan yang berpegang kepada etika kewartawanan.

"Bagi saya di mana kita berada, sama ada kita mahu menterjemah kebebasan pemikiran dan memberikan pendapat, etika harus diutamakan."

"Jangan melakukan sesuatu itu mengikut semborono dan sesuka hati. Apatah lagi menterjemahkan kemarahan dalam bentuk tulisan yang akhirnya merosakkan masyarakat secara keseluruhan," kata Ahmad Zahid.

Beliau berkata pengamal media seharusnya mengutamakan berita yang benar sahaja dan mengelakkan penghasilan berita yang boleh mencetuskan atau menambahkan kekeliruan.

Sementara itu Ahmad Zahid meminta syarikat -syarikat berkaitan kerajaan dan Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) supaya membantu syarikat-syarikat media untuk terus kekal dalam dunia media yang semakin kompetitif.

Beliau berkata syarikat-syarikat media tidak mungkin selama-lamanya hanya boleh berharap kepada penjualan akhbar atau pengiklanan semata-mata untuk terus kekal berfungsi menyebarkan maklumat dan berita kepada masyarakat.

Terdahulu pada majlis itu, Ahmad Zahid melancarkan buku mewah bertajuk 'BH Enam Dekad Kekal Dinamik', setebal 216 muka surat berwarna merah, yang mengandungi rentetan sejarah penubuhan BH, dahulunya dikenali sebagai Berita Harian, bermula dengan penerbitan akhbar Berita Harian pada 1 Julai 1957 sehingga kini yang menuju ke arah digital.

Beliau turut melawat pameran 'BH Khas Hari Kebangsaan' di ruang legar , aras 2, KL Sentral yang bermula hari ini sehingga 31 Ogos.

Pameran itu memaparkan pembabitan akhbar BH dalam agenda pembangunan negara selama enam dekad, selain memaparkan karya-karya kartunis terkenal negara, Datuk Lat atau nama sebenarnya Datuk Mohammad Nor Khalid mengenai kemerdekaan.

Hadir sama pada majlis itu adalah Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari, Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang dan Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment