PADANG BESAR, 12 Ogos (Bernama) --Umno Padang Besar memberi amaran kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) agar tidak meneruskan taktik licik yang kotor dalam usaha memecah belahkan Barisan Nasional (BN) bagi meraih sokongan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) .
Ketua bahagiannya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata PPBM didapati cuba merosakkan perpaduan Umno di sini dengan bermain politik wang serta mempengaruhi anggota Umno yang tidak bersetuju mengenai beberapa isu dalaman parti.
"Saya mendapat maklumat parti pembangkang itu (PBBM) menyogok anggota Umno dengan
membayar mereka sejumlah wang untuk lemahkan Umno sehingga berpecah. PPBM sebenarnya sedar mereka tidak mendapat sokongan di sini.
"Mereka terpaksa berbuat demikian demi mendapat pengaruh kerana orang Melayu sendiri menolak Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersengkokol dengan DAP," katanya selepas merasmikan Persidangan Pewakilan Pergerakan Wanita Umno Bahagian Padang Besar, di Dewan Maktab Rendah Sains Mara, Beseri, di sini.
Beliau mengingatkan setiap anggota Umno supaya tidak mudah dipengaruhi dengan pelbagai isu yang sengaja dimainkan oleh pembangkang, kononnya akan tulus mendedahkan kelemahan pemimpin termasuk fitnah terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
"Bilangan mereka yang cuba dipengaruhi dan sanggup terbabit dengan permainan pembangkang ini tidak sampai satu peratus pun dari jumlah anggota di sini, dan saya boleh kenal mereka ini.
"Dalam mana-mana parti pun biasalah, memang akan ada golongan yang tidak ikhlas bekerja. Asyik merungut tidak dapat apa-apa walau telah lama dalam parti, saya ingatkan sekali lagi jika masuk parti untuk jana keuntungan, Umno bukan tempatnya," kata Zahidi.
Sementara itu, beliau turut mengingatkan perwakilan wanita agar terus teguh menjadi tunjang kecemerlangan kepimpinan Umno di Perlis serta tidak menghiraukan sebarang anasir luar yang berniat menjatuhkan Umno.
"Jangan pedulikan apa kata parti lawan sebaliknya terus pertahankan kubu Umno di Perlis, khususnya Padang Besar yang berpotensi besar untuk maju dan rakyat yang akan nikmati lebih banyak keselesaan diusahakan kerajaan.
"Saya nak ingatkan di sini walau Umno tidak sehaluan dengan parti lain seperti PAS, tetapi kita tak pernah kacau macam mana DAP telah ganggu mereka sampai pecah belah. Jadi sentiasa berhati-hati dengan helah pembangkang," katanya.
-- BERNAMA
>> Senarai Berita
No comments:
Post a Comment