Friday, August 18, 2017

ORANG BAJAU SAMA DENGAN ORANG VIKING?

Membaca buku terbaru Musli Oli yang berjudul BAJAU PAHLAWAN DI LAUT PERWIRA DI DARAT membuka minda kita bahawa etnik Bumiputra Islam terbesar di Sabah itu bukan calang calang bangsa.

Musli menyamakan orang Bajau dengan orang Viking. Orang Viking menguasai lautan Eropah dan menyerang England, Scotland, Peranchis, Jerman dan Sepanyol tapi orang Viking tidak pernah membuat penempatan yang tetap untuk membina empayar seperti bangsa Rom dan Yunani.

Menurut Musli, orang Bajau jarang sekali menuntu sesuatu wilayah sebagai milik bangsanya kerana masyarakat Bajau tidak suka menetap di satu satu wilayah sebaliknya suka belayar meneroka wilayah lain.

Buku setebal 147 muka surat itu dilancarkan oleh Menteri Komunikasi dan Multi Media, Datuk Seri Dr Salleh Said yang juga bekas Presiden Pertubuhan Kebangsaan Bajau Bersatu (USBO).

Hidup sebagai pelayar menjadi darah daging orang Bajau sehinggalah orang Barat menguasai lautan samudera yang sebelum itu dikuasai oleh orang Bajau. Walaupun mereka menguasai beberapa wilayah di Nusantara lebih awal tetai tidak ada wilayah atau negeri Bajau kecuali Pulau Bajau yang terletak di antara Singapura dan Sumatera.

Dengan ketibaan penjajah, orang Bajau mencari penempatan baharu. Sebab itu orang Bajau ada di mana mana di Papua New Guinea, Myammar, Thailand, Laos, Champa, Vietnam, Jepun, Filipina, Indonesia dan Madagascar.

Malah Musli berani mendakwa bahawa Panglima Hitam itu adalah orang Bajau serta Hang Tuah lima bersaudara kerana ahli sejarah mengangkat mereka sebagai pahlawan bangsa Melayu dan bukan bangsa Bajau.

Musli berhujah bahawa kegemilangan tamaddun Bajau tidak tercatat bukan kerana ia tidak pernah berlaku tetapi sebaliknya orang Bajau meletakkan kepentingan agama Islam. Sebab itu mereka dikenali sebagai Kesultanan Islam dan bukannya sebagai Kesultanan Bajau.

Daripada 34 suku kaum di Sabah, kaum Bajau adalah suku kaum kedua pribumi terbesar selepas kaum Kadazandusun Murut (KDM). Malah pemimpin Bumiputra Islam para era awal merdeka tidak pernah dikenali sebagai pemimpin Bajau.

Nama Bajau mula dikenali pada tahun 1986 apabila kerajaan persekutuan mula mengiktiraf masyarakat Bajau setelah seorang anggota kabinet merasmikan Simposium Bajau.

Orientalis Barat menganggap Bajau sebagai Sea Nomads, Sea Gypsies kerana gaya hidup mereka yang begitu akrab dengan laut. Ben J Wallace berpendapat Bajau berasal dari perkataan Bajak Laut atau Baja Laut yang bermaksud lanun.

Orang Bajau mendiami selatan Filipina di Zamboanga sejak tahun 800 Masehi sebelum berpecah ke Basilan di Indonesia dan ke Sabah. Ada yang berpendapat kaum Bajau berasal dari Johor. Dan ada juga yang berpendapat Bajau berasal dari selatan Filipina.

Ada juga pendapat yang mengatakan Bajau bukan berasal dari Johor atau Filipina tetapi dari dari Teluk Burma. Nama Sabah berasal dari pisang Saba yang dipanggil oleh orang Bajau. Ini bermakna orang Bajau telah berada di Sabah sebelum Sabah dapat nama.

Pada peta Portugis-Melaka 1604, sudah ada penempatan di Api Api (nama asal Kota Kinabalu). Ini bermakna orang Bajau telah memainkan peranan besar membangunkan bandar Kota Kinabalu.

Musli juga menyelusuri bahasa, adat resam dan seni warisan orang Bajau dalam buku beliau. Sekarang ini ramai orang Bajau kahwin campur dengan sukukaum lain tetapi jika budaya dan bahasa Bajau tidak diamalkan oleh anak anak campuran ini maka suatu hari nanti bahasa Bajau akan pupus. Oleh itu usaha Musli menulis buku ini wajar diberi pujian supaya budaya orang Bajau tidak hilang di dunia.

Kesimpulannya, buku ini wajar dibaca oleh semua rakyat Malaysia untuk mengetahui sejarah orang Bajau salah satu suku kaum yang terbesar di Sabah.


4 comments: