Tuesday, August 22, 2017

RCI DAPAT BERI KEADILAN KEPADA MANGSA MEMALI

KOTA BHARU, 22 Ogos (Bernama) -- PAS berharap penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) oleh kerajaan, sekiranya jadi, dapat memberikan keadilan kepada keluarga mangsa yang terbunuh dalam tragedi Memali, Baling, Kedah pada November 1985.

Naib Presidennya Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata PAS pernah mencadangkan penubuhan RCI itu tetapi tidak diterima oleh kerajaan, sebaliknya kerajaan hanya membentangkan Kertas Putih di Parlimen.

"Kandungan Kertas Putih itu lebih banyak menimbulkan persoalan dan tidak dapat diterima oleh PAS pada masa itu selain ia diragui," katanya ketika ditemui para pemberita di Kompleks Kota Darulnaim di sini, hari ini.

Mohd Amar yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan, percaya RCI tiada kepentingan politik dan hanya akan menyiasat perkara yang sebenarnya berlaku dalam tragedi tersebut.

Ahad lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan berkata kerajaan bersedia menubuhkan RCI untuk menyiasat peristiwa Memali sekiranya ada permintaan daripada mana-mana pihak termasuk keluarga mangsa.

Peristiwa Memali pada 19 Nov 1985 menyaksikan 18 orang termasuk empat anggota polis terbunuh dan ramai lagi cedera ketika polis melancarkan operasi menangkap Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali dengan nama Ibrahim Libya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment