Monday, February 20, 2017

ARKITEK DASAR EKONOMI BARU MENINGGAL DUNIA



KUALA LUMPUR 20 Feb. – Arkitek Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan bekas Penasihat Ekonomi kepada Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein, Tan Sri Just Faaland mening­gal dunia pada usia 94 tahun, Jumaat lalu akibat sakit tua.




Just Faaland


Mendiang dikenali sebagai seorang yang bertanggungjawab membantu Majlis Gerakan Negara (Mageran) dan Unit Perancang Eko­nomi (EPU) dalam menggubal DEB se­lepas tragedi 13 Mei bagi menghapuskan kemiskinan dan me­ngukuhkan perpaduan kebangsaan dengan membolehkan semua kaum terlibat tanpa menafikan hak-hak sosial dan ekonomi kaum-kaum lain.

Tokoh ekonomi negara, Dr. Rais Saniman berkata, pemergian bekas Pengarah Kumpulan Penasihat Universiti Harvard di Malaysia itu adalah satu kehila­ngan yang besar kepada negara.



“Saya sudah mengenalinya selama 30 tahun dan beliau seorang yang cukup hebat. Sebelum me­ninggal dunia pun beliau masih bertanya bagaimanakah keadaan orang Melayu ketika ini. Beliau datang ke Malaysia dengan ikhlas untuk menolong masyarakat di negara ini. Orangnya baik hati, bertutur lembut selain mempunyai otak yang geliga.

“Pemergiannya sangat dirasai. Beliau tidak boleh melihat orang Me­layu dalam kesusahan. Beliau sentiasa mempertahankan hak orang Melayu dan kita cukup bertuah kerana mempunyai seorang yang sangat prihatin se­pertinya,” kata Rais ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Faaland yang dilahirkan di Oslo, Norway pada 25 Januari 1922 menerima pendidikan di Universiti Oslo dan Universiti Oxford dalam bidang Matematik dan Ekonomi, malah pernah menuntut ilmu dengan Prof. Ragnar Frisch iaitu pemenang Hadiah Nobel Ekonomi yang dimenangi bersama Jan Tinbergen pada tahun 1969.

Sementara itu, Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad berkata, Faaland bukan sekadar seorang penasihat, sebaliknya seorang yang sangat memahami jiwa Melayu.

“Beliau menggunakan pe­ngalamannya untuk membantu mengurangkan jurang antara bumiputera dan bukan bumiputera melalui pendidikan, ekonomi dan agama sekali gus mewujudkan negara yang seimbang,” katanya.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, Faaland merupakan tokoh luar biasa dari dunia luar yang menyumbang pemikirannya dalam memastikan orang Melayu dan bumiputera di Malaysia menikmati kemajuan.

“Membentuk DEB dalam konteks masyarakat berbilang kaum dan amalan politik perkauman yang tebal bukan sesuatu yang mudah. Beliau melakukan bersama-sama pakar tempatan terma­suk Dr. Rais Saniman,” katanya.

Naib Presiden Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia (Perdasama), Datuk Naim Mohamad berkata, DEB yang proses penggubalannya turut dibantu oleh Faaland berjaya mencapai matlamat dalam me­ningkatkan ekonomi negara serta membasmi kemiskinan.

No comments:

Post a Comment