Wednesday, February 15, 2017

PEMUDA PAS TERENGGANU CABAR HUSAM DEDAH PENERIMA DEDAK



KUALA TERENGGANU 15 Feb. – De­­wan Pemuda Pas Terengganu menempelak bekas Naib Presi­den Pas, Datuk Husam Musa dan meminta beliau agar jangan ber­si­kap bacul di sebalik memfitnah Pas kononnya parti itu menerima ‘dedak’ RM90 juta daripada UMNO.


Timbalannya, Hishamuddin Ab­dul Karim berkata, Husam sewa­jarnya lebih gentleman dan berani mengemukakan segala bukti termasuk mendedahkan siapa sebenarnya yang terbabit berhubung tuduhan atau fitnah dilemparkannya terhadap Pas.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh memberitahu, ini kerana, tindakan bekas Naib Presiden Pas itu telah menimbulkan kekeliruan kalangan rakyat khususnya daripada Pas dan UMNO mengenai kesahihannya.


“Justeru itu, jika Datuk Husam ada bukti, sila dedahkan segera dan serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan mengenainya.

“Kita harap Datuk Husam ja­­­ngan bersikap bacul untuk mendedahkan siapa sebenarnya yang terima RM90 juta sebagaimana didakwa,” katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Kuala Terengganu di sini semalam.


Hishamuddin berkata, tuduhan Husam itu mencetuskan tan­da tanya mengenai siapa sebenarnya yang disasarkan oleh ADUN Salor itu sehingga mendorong Dewan Pemuda Pas nege­ri membuat laporan polis.

Menurutnya, Husam juga tidak perlu menunggu musim pilihan raya untuk berterus terang mengenai dakwaan serta fitnahnya itu supaya pandangan serong terhadap Pas dapat diperbetulkan semula.

“Kita cabar beliau dedahkan siapa yang terlibat. Kita kena telus dan berintegriti, siapa yang lakukan sesuatu kesalahan perlulah didedahkan. Kalau tak dedah kita mahu pihak polis menjalankan siasatan di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan kerana menuduh tanpa bukti,” jelasnya.

Katanya, tuduhan Husam itu dianggap bertujuan memburuk-burukkan nama baik Pas serta kepemimpinan parti tersebut sambil menegaskan, sepanjang pengetahuan beliau, Pas atau mana-mana pemimpinnya tidak pernah menerima sebarang wang daripada pihak lain sebagaimana didakwa.

No comments:

Post a Comment