PASIR SALAK, 11 Feb (Bernama) -- Isu yang cuba dibangkitkan oleh Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kononnya seorang menteri kanan meletak jawatan adalah perang psikologi yang sudah dijangka, kata Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman.
Katanya Menteri Besar Selangor itu memang gemar bermain perang saraf bagi menggambarkan seolah-olah UMNO lemah.
"Masyarakat jangan terpedaya dengan tuduhan seolah-olah kabinet dan sokongan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berpecah. Jadi jangan terperangkap dengan perang saraf Azmin itu," katanya kepada pemberita selepas pelancaran Badan Amal Pusat Khidmat Parlimen Pasir Salak di Kampung Gajah hari ini.
Semalam, Mohamed Azmin memuat naik status berbentuk pertanyaan menerusi akaun Twitternya mengenai seorang menteri kanan telah meletak jawatan.
Susulan itu, Najib mengeluarkan kenyataan menafikan dakwaan Menteri Besar Selangor tersebut selain meminta Mohamed Azmin mengemukakan nama menteri yang dimaksudkan.
Hari ini Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media di Kota Kinabalu, Sabah menyifatkan dakwaan Mohamed Azmin sebagai satu pembohongan.
Sementara itu di ARAU, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Shahidan Kassim menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah politik pembangkang dengan sengaja menimbulkan isu tidak munasabah.
"Kalau ada menteri nak letak jawatan, mesti Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lebih tahu. Takkan Azmin dari parti pembangkang yang lebih tahu?
"Saya rasa rakyat pun boleh fikir yang dakwaan Azmin itu semata-mata dakyah yang dicipta," tegasnya.
Terdahulu, Shahidan yang juga pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 2,000 masyarakat Tionghoa di kawasan Parlimen Arau bersempena sambutan Tahun Baharu Cina di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Hwa Aik di sini.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment