Thursday, February 23, 2017

MAHATHIR KENA BERI PERHATIAN KEPADA TITAH SULTAN JOHOR

KUALA LUMPUR, 23 Feb (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak
 menasihati bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya memberi perhatian kepada titah Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Salleh berkata hakikat bahawa baginda terpaksa menegur Dr Mahathir menunjukkan bahawa bekas perdana menteri itu telah melangkau batas kesopanan sehinggakan Sultan Ibrahim sendiri tidak lagi boleh bersabar.

"Hari ini Sultan Johor menyuarakan perasaan yang amat murka kepada orang yang baginda rujuk sebagai pemimpin tidak siuman, yang kebanyakan kita percaya bahawa baginda maksudkan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"... dan ini bukan kali pertama Mahathir dimarahi oleh baginda Sultan," katanya menerusi catatan terkini dalam blog sskeruak.blogspot.my. malam tadi.

Salleh turut menegaskan bahawa Dr Mahathir kini nampaknya tidak dapat memisahkan dendam peribadi beliau daripada kepentingan negara.

"Mahathir menyebabkan dirinya dicemuh dan oleh kerana itu, beliau sepatutnya menyalahkan diri sendiri," katanya.

Sultan Ibrahim hari ini mengingatkan ahli politik dari luar Johor supaya tidak campur tangan dalam hal ehwal negeri ini untuk mengeliru dan memecahbelahkan rakyat.

Ketika merujuk kepada kenyataan Dr Mahathir baru-baru ini, baginda berharap agar kerajaan persekutuan akan terus membantu kerajaan negeri kerana negeri-negeri yang maju membangun akan membentuk satu persekutuan yang kukuh dan sebuah negara yang makmur.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment