Sunday, February 26, 2017

ORANG CUAI DALAM FOREX PERLU DIDAKWA



GUA MUSANG 25 Feb. - Sesiapa sahaja yang cuai sehingga menyebabkan kerugian harta awam perlu disiasat dan didakwa.


Itu penegasan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah ketika ditanya mengenai kerugian urus niaga mata wang asing oleh Bank Negara Malaysia (BNM) pada sekitar 1990-an.

Bekas Menteri Kewangan itu berkata, pendakwaan mengenai kesalahan tersebut juga harus dilakukan secara menyeluruh, bukan melibatkan isu berke­naan sahaja.


“Ini duit awam, siapa yang cuai dan menyebabkan kerugian kepada rakyat sama ada kerana forex (urus niaga mata wang asing) atau salah laku belanja dan sebagainya patut didakwa.

“Kes seumpama ini tak ada yang terkecuali, bukan forex sahaja tetapi semua,” kata­nya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Paloh 1 & 2 di sini semalam.


Kabinet sebelum ini bersetuju menubuhkan sebuah pasukan petugas yang dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan termasuk individu dihormati dan berpe­ngalaman dalam bidang-bidang tertentu bagi menjalankan siasatan awal berhubung kerugian urus niaga mata wang asing itu.

Perkembangan itu dibuat susulan dakwaan bekas Penolong Gabenor BNM, Datuk Abdul Murad Khalid pada 26 Januari lalu yang mendedahkan bank pusat itu menga­lami kerugian lebih AS$10 bilion (RM44 bilion) akibat dagangan mata wang asing iaitu lebih tinggi daripada nilai yang dilaporkan mengikut buku laporan BNM antara 1991 hingga 1994.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Rang Undang-Undang RUU 355 (RUU 355) yang dikemukan oleh Pas, Tengku Razaleigh berkata, beliau masih belum memutuskan untuk menyokong atau tidak RUU 355.

“Apa yang baik untuk Islam saya sokong. Kalau betul undang-undang ini untuk menegakkan hudud saya sokong, tetapi apakah undang-undang ini adalah hudud? Nampaknya tidak.

“Terpulang kepada kita hendak sokong atau sebaliknya, jadi saya belum memutuskan kerana ada orang kata ini (RUU 355) bertentangan dengan Perlembagaan,” katanya.

No comments:

Post a Comment