Monday, February 27, 2017

TMJ PALING SESUAI PIMPIN FAM


oleh Shahbudin Embun

(sudah disiarkan dalam Berita Harian)

Seorang peminat remaja terkejut apabila saya memberitahunya yang pasukan bolasepak Malaysia pernah melayakkan diri sebanyak dua kali ke Sukan Olimpik, iaitu pada tahun 1972 dan juga 1980. Selain itu negara kita juga pernah mendapat pingat gangsa di Sukan Asia di Teheran pada tahun 1974 apabila menewaskan Korea Utara 2-1 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga .



Dalam perlawanan tersebut,penyerang Isa Bakar menjadi wira apabila meledakkan dua gol untuk Malaysia mendapat tempat ketiga. Ini bermakna pada tahun 1974, Malaysia boleh diiktiraf sebagai pasukan ketiga terbaik di seluruh Asia!.



Di zaman itu juga Malaysia pernah menjuarai pelbagai pertandingan antarabagsa yang dianjurkan oleh negara-negara Asean dan juga Korea Selatan. Kita pernah menjuarai Jakarta Anniversary di Inodensia, Piala Raja Thai di Bangkok dan juga Piala Presiden di Seoul,yang menjadi kebanggan rakyat Korea Selatan. Bayangkan, pasukan bolasepak Malaysia pernah bergelar juara di bumi Korea Selatan, yang hari ini merupakan kuasa bolasepak Asia.



Bukan untuk mendabik dada, tetapi pada zaman dahulu, Malaysia dan Korea Selatan merupakan seteru utama di benua Asia yang selalunya akan berebut gelaran untuk bergelar juara. Sayangnya perkara yang sama tidak boleh kita sebut pada hari ini dan kita nampaknya terpaksa berpuas hati jika dapat menewaskan Singapura dan Indonesia.



Malaysia juga mencipta nama di Pestabola Merdeka, yang merupakan antara pertandingan bolasepak yang paling berprestij di Asia.Kita pernah menewaskan Kuwait , Korea Selatan dan menjinakkan pasukan Jepun dalam pertandingan tersebut. Dan perlu diingatkan juga dalam pertandingan Pestabola Merdeka, semua pasukan yang bertanding telah menghantar pasukan terkuat mereka.



Dari segi bintang bolasepak pula, siapa pula lupa akan nama Allahyarham Mokhtar Dahari yang suatu ketika dahulu merupakan penyerang yang paling digeruni di Asia. Bahkan tidak keterlaluan jika ada yang menganggap Mokhtar Dahari adalah pemain bertaraf dunia. Kita lihat sahaja senario hari ini. Beerapa pemain utama Jepun dan Korea Selatan telah mencipta nama di liga Eropah. Dan saya yakin, kehebatan pemain seperti Mokhtar Dahari akan menaikkan nama Malaysia jika dia diberi peluang untuk beraksi di Liga Eropah.



Itu kisah lama. Kisah sejarah yang boleh dijadikan sebagai satu teladan dan semangat untuk kita bergerak ke hadapan.



Pada 25 March 2017 bakal diadakan pertandingan merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM). Nama Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim dilihat sebagai tokoh yang paling sesuai untuk memimpin FAM.TMJ menjadi pilihan utama setelah para peminat bolasepak tempatan menjadi saksi bagaimana JDT, kelab harimau selatan, menjuarai beberapa piala tempatan sehingga berjaya di peringat Asia apabila menjulang Piala AFC pada tahun 2015.



Apa yang menarik perhatian ialah kejayaan JDT bukan sahaja boleh dilihat di atas padang. TMJ telah membuktikan bagaimana faktor pengurusan dan perancangan yang teratur merupakan elemen-elemen yang wajib ada pada pasukan yang ingin menjadi juara dan terus bergelar juara. Itu sebabnya kita dapat lihat JDT telah menjadi juara Liga Super selama 3 musim berturut turut.JDT juga mempunyai akademi bolasepak untuk melahirkan jaguh-jaguh pada masa depan. Apa yang dilakukan TMJ merupakan satu revolusi dalam arena bolasepak tempatan dan ini juga merupakan satu usaha jangka panjang untuk terus memastikan JDT menjadi kuasa bolesepak negara sehingga berjaya di peringkat Asia.



Dalam frasa sukan ada menyatakan, “Adalah mudah untuk bergelar juara, tetapi begitu sukar untuk mempertahankannya”. Kita lihat sahaja apa yang terjadi pada Leicester, juara Liga Inggeris pada musim lalu. Pada musim ini, kedudukan Leicester semakin teruk dan ada kemungkinan besar akan disingkirkan dari liga utama. Perkara ini sebenarnya pernah terjadi kepada beberapa pasukan tempatan dan mungkin contoh yang paling sesuai ialah pasukan Bolesepak kebangsaan kita sendiri. Daripada antara sebuah pasukan yang paling digeruni di Asia, kini tidak ada satu pun pasukan di Asia yang gerun akan negara kita. Itulah hakikatnya.



Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim merupakan tokoh yang paling layak untuk memimpin FAM. Sesungguhnya inilah cabaran yang paling hebat kerana bukanlah mudah untuk meletakkan semula nama Malaysia sebagai kuasa bolasepak Asia. Itu sebabnya kita memerlukan sikap dinamik dan semangat serta passion yang ada pada diri TMJ untuk menerajui bolasepak negara ke tahap yang lebih tinggi dan membanggakan.

No comments:

Post a Comment