Friday, February 10, 2017

FELCRA CADANG BAYAR DIVIDEN SECARA BULANAN

LUNDU (Sarawak), 10 Feb (Bernama) -- Felcra Berhad (Felcra) bercadang membuat bayaran dividen secara bulanan untuk peserta ladang kelapa sawit di seluruh negara.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub berkata ia berikutan kejayaan lima projek perintis yang dijalankan di Perak, Terengganu dan Pahang sejak setahun yang lepas.

Bercakap dalam sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan projek Kelapa Sawit Tamang Sembawang Felcra di sini hari ini, beliau berkata pendekatan baharu itu besar kemungkinan akan dilaksanakan Jun tahun ini.

"Sekarang kami sedang membuat pelarasan kewangan untuk memudahkan urusan ini.

"Pada masa ini, bayaran dibuat tiga kali setahun iaitu pada sesi pembukaan sekolah awal tahun, sebelum sambutan Aidilfitri dan pada hujung tahun," katanya.

Ismail Sabri berkata walaupun jumlah bulanan tidak berapa besar, sebahagian peserta berpendapat ia secara positif akan menambah pendapatan mereka daripada sumber lain.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata getah juga akan digunakan sebagai komponen, selain tar, dalam bahan untuk membina jalan di luar bandar.

"Jabatan Kerja Raya dan Kabinet telah memberi lampu hijau kepada kami untuk membina jalan berkenaan, merupakan satu langkah yang baik untuk stabilkan harga getah.

Mengenai pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjong Datu, beliau mengingatkan pengundi agar tidak mudah terpedaya dengan taktik 'reverse psychology' atau psikologi terbalik pembangkang, sebaliknya terus mengundi calon Barisan Nasional (BN) Datuk Amar Jamilah Anu pada 18 Feb ini.

Beliau berkata kerajaan BN sentiasa memberi perhatian yang besar kepada kebajikan penduduk luar bandar dan keadaan ini boleh berubah jika pembangkang mengambil alih.

Azizul Annuar Adenan mewakili ibunya pada majlis itu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment