Saturday, October 27, 2018

40 AHLI PARLIMEN MAHU KELUAR UMNO KERANA KECEWA ZAHID ENGGAN BERCUTI?

JOHOR BAHRU, 27 Okt (Bernama) -- Kira-kira 40 anggota Parlimen dari UMNO dikatakan berkemungkinan akan meninggalkan parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Anggota Majlis Tertinggi Bersatu, Datuk A. Kadir Jasin berkata kesemua mereka dikatakan berpotensi berbuat demikian kerana sudah beberapa kali berjumpa dengan Pengerusi Bersatu,Tun Dr Mahathir Mohamad, Presiden Bersatu Tan Sri Muhyididn Yassin serta para kepimpinan tertinggi parti itu sama ada secara perseorangan atau berkumpulan.

“Buat masa ini, belum ada sesiapa yang hampir sampai peringkat Datuk Mustapa (Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai Bersatu) walaupun mereka telah berjumpa dengan Tun Dr Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan pemimpin tertinggi Bersatu.

“Mereka menggambarkan mereka terbuka kepada memikirkan untuk keluar UMNO dan masuk Bersatu tetapi masalahnya mereka juga terpaksa memikirkan apa yang akan berlaku selepas itu kerana ada antara mereka mempunyai isu atau terdedah kepada siasatan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Bersatu Bahagian Tebrau, di sini hari ini.

Turut hadir, Ketua Bersatu Bahagian Tebrau Mazlan Bujang.

A.Kadir berkata selain itu, isu siapa yang akan mewarisi harta UMNO turut menjadi perkara yang difikirkan para anggota Parlimen berkenaan memandangkan UMNO belum diisytiharkan sebagai sebuah parti muflis.

Ditanya pemberita adakah tujuan mereka menyertai Bersatu disebabkan untuk menyelamatkan diri, A.Kadir berkata tiada jaminan untuk mereka tidak disiasat setelah menyertai Bersatu.

“Hal itu (selamatkan diri) payah hendak cakap… tetapi mana mungkin Bersatu atau kerajaan melindungi. Kalau ada bukti kesalahan… saya rasa mungkin terlintas di fikiran tetapi tidak boleh dikata itu syaratnya… tiada jaminan,” katanya.

Hari ini, Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri mendedahkan beberapa Anggota Parlimen UMNO yang lain ada berjumpa dengannya, namun, tidak membuat apa-apa keputusan.

Ketika ditanya berapa ramai pemimpin UMNO berjumpa dengan beliau, Muhyiddin hanya menghitung jari-jarinya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu.

Malam tadi, Mustapa yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pula, menyertai Bersatu selepas keluar dari UMNO pada 18 Sept lepas.

Beliau menyerahkan borang keanggotaan kepada Tun Dr Mahathir selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment