Sunday, October 28, 2018

BERI PELUANG MAHATHIR PIMPIN NEGARA SATU PENGGAL



KOTA BHARU 27 Okt. - Tun Dr. Mahathir Mohamad perlu diberi peluang untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri sehingga habis penggal iaitu selama lima tahun, bukan dua tahun sebagaimana dijanjikan sebelum ini.

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md. Arip. berkata, usaha menyusun dan memulihkan pentadbiran negara yang sedang dilakukan Dr. Mahathir ketika ini rumit dan tidak boleh disempurnakan dalam tempoh dua tahun.

Walau bagaimanapun kata beliau, Dr. Mahathir diyakini akan tetap mengotakan janji beliau untuk menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim melainkan Presiden PKR itu sendiri memujuk beliau untuk kekal lebih lama.

"Saya fikir kalau Tun Dr. Mahathir masih sihat dan mampu, bagi peluang beliau selesaikan hal pentadbiran negara dalam tempoh satu penggal, iaitu kira-kira lima tahun. Nak pulih negara bukan boleh setahun dua. Biarlah beliau lengkapkan dulu.

"Datuk Seri Anwar sendiri pun ada sebut dua tiga kali, nak pulih (negara) ni bukan senang, nasib baik aku tak jadi Perdana Menteri. Saya penuh yakin dan percaya beliau cukup matang dan amat sabar, patut tidak ada masalah untuk beliau tunggu (lebih lama).

"Memang Tun dah berkali-kali sebut beliau sudah berjanji dan akan tunaikan janji. Tetapi, jika Anwar boleh pujuk, Tun, anda habiskan sahaja sepenggal, patut no problem, yang penting tidak ada yang jadi batu api," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Persidangan Tahunan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Kota Bharu, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Zahid mengakui kenyataannya itu boleh mengundang salah faham banyak pihak kerana beliau adalah Setiausaha Politik Perdana Menteri namun cadangan tersebut adalah pandangan peribadi beliau semata-mata.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu, Dr. Mahathir tidak terkejut apabila Menteri Luar Arab Saudi menafikan wang RM2.6 bilion yang dimasukkan dalam akaun Datuk Seri Najib Tun Razak adalah derma keluarga diraja negara itu.

"Dalam pertemuan dengan Tun semalam, Menteri Luar itu turut melahirkan kekesalan apabila keluarga diraja Arab Saudi dikaitkan sebagai penderma yang memasukkan duit ke dalam akaun Najib. Tun tidak terkejut, sebab beliau sebenarnya sudah tahu cuma nak dengar sendiri dari Arab Saudi," katanya.

No comments:

Post a Comment