Monday, October 29, 2018

SUARA ANWAR KEMBALI BERGEMA DI DEWAN RAKYAT

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Suara Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini kembali kedengaran di Dewan Rakyat apabila beliau mengambil bahagian dalam sesi perbahasan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK-11).

Ia perbahasan kali pertama disertai Anwar sejak mengangkat sumpah sebagai anggota Dewan Rakyat pada 15 Okt lepas susulan kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, 13 Okt lalu dengan majoriti besar 23,560 undi.

Ketika sesi perbahasan tersebut, Anwar membangkitkan keperluan mendesak untuk kerajaan menolak budaya rasuah sepenuhnya dalam memastikan tadbir urus dan jentera kerajaan bersifat lebih telus serta menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) mengambil langkah sepatutnya dengan mengkaji semula perudangan, penguatkuasaan dan integriti pegawai kerajaan bagi mengelak penularan rasuah secara lebih berkesan.

“Saya menggesa menteri-menteri dan jabatan-jabatan kerajaan memulakan dengan memastikan seluruh jentera kerajaan memahami gesaan Perdana Menteri (Tun Dr Mahathir Mohamad) yang juga merupakan gesaan rakyat keseluruhannya yang sudah muak dengan sistem bobrok dan mahu perubahan menyeluruh dalam negara kita.

“Saya setuju gesaan Perdana Menteri bahawa soal rompakan harta rakyat, tidak boleh dibiarkan, seperti saya sering bicara sebelum ini bahawa saya boleh memaafkan kezaliman yang dilakukan secara peribadi ke atas saya, tetapi saya tidak ada mandat dan kuasa untuk memaafkan rompakan harta rakyat yang dibuatkan oleh mana-mana pemimpin sekalipun,” katanya sambil mendapat tepukan anggota Parlimen lain.

Beliau turut menyokong komitmen kerajaan untuk membantu golongan miskin dan mengurangkan jurang mereka yang berpendapatan rendah dan tinggi tanpa mengetepikan hak dan keistimewan orang Melayu dan Bumiputera.

Anwar turut menyarankan penubuhan beberapa jawatankuasa pemilih bagi Parlimen untuk memastikan transformasi terhadap dewan tersebut dapat dilakukan segera.

Beliau turut menekankan keperluan menjadikan tadbir urus kerajaan bukan sebagai percaturan dalam kalangan elit sahaja, sebaliknya mengambil kira pandangan menyeluruh rakyat dan menekankan kepentingan rakyat dan negara mengatasi kepentingan individu dan kelompok yang kecil.

PRK Parlimen Port Dickson diadakan selepas penyandang kerusi berkenaan, Datuk Danyal Balagopal Abdullah, 68, mengosongkan kerusi pada 12 Sept lalu untuk memberi laluan kepada Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.

Kali terakhir Anwar bertanding ialah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) pada 2013 bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh yang menyaksikan beliau menewaskan Mazlan Ismail (BN) dan Abdullah Zawawi Samsudin (Bebas) dengan majoriti 11,721 undi.

Kelayakan beliau sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh bagaimanapun terlucut selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara lima tahun apabila rayuannya terhadap hukuman penjara pada Februari 2015 ditolak.

Bagaimanapun, beliau diberikan pembebasan serta-merta selepas mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V pada 16 Mei lalu, tujuh hari selepas Pakatan Harapan diberi mandat memerintah susulan PRU14.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment