Wednesday, October 10, 2018

AHLI UMNO BEBAS MENGUNDI YANG MEREKA SUKA

PORT DICKSON, 10 Okt (Bernama) -- Anggota UMNO Bahagian Port Dickson diseru menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih mengundi Sabtu ini pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.

Ketua UMNO bahagian berkenaan Mohd Faizal Ramli dalam kenyataan di sini, hari ini berkata undi mereka penting bagi menentukan siapakah calon yang akan dipilih menjadi wakil rakyat kawasan berkenaan.

“Selaras dengan kenyataan sebelum ini bahawa Barisan Nasional dan UMNO tidak menghalang mana-mana pengundi berdaftar di Parlimen Port Dickson untuk keluar mengundi dan mengundi calon yang mereka suka.

“Oleh yang demikian, saya menyeru dan memohon sokongan daripada semua orang Melayu khususnya ahli-ahli UMNO di Parlimen Port Dickson untuk menjalankan tanggungjawab kita sebagai warganegara Malaysia bersama-sama keluar mengundi pada 13 Okt nanti. Undi kita adalah penting dan saya penuh yakin dan percaya bahawa kita akan membuat pilihan tepat demi agama, bangsa dan negara,” katanya.

PRK Parlimen Port Dickson menyaksikan pertandingan tujuh penjuru melibatkan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim, calon PAS Lt. Kol (B) Mohd Nazari Mokhtar dan lima calon Bebas termasuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad serta bekas pembantu peribadi Anwar, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan oleh Datuk Danyal Balagopal Abdullah, pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat..

No comments:

Post a Comment