Friday, October 5, 2018

KEMPEN MAHATHIR DI PD DIJANGKA PERATUS KELUAR MENGUNDI MENINGKAT

PORT DICKSON, 5 Okt (Bernama) - Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau gembira apabila dimaklumkan bahawa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad akan berkunjung ke Port Dickson bagi berkempen untuknya dalam pilihan raya kecil di sini.

Anwar yang juga calon Pakatan Harapan (PH) berkata kesudian Dr Mahathir itu adalah satu petanda baik, bukan hanya untuk dirinya tetapi juga untuk seluruh rakyat Port Dickson.

“Ia penting sebab Tun Dr Mahathir ini sebagai perdana menteri daripada dulu saya ingat, saya sebagai timbalan perdana menteri, dia tidak pergi berkempen pilihan raya kecil.

“Kalau ada pilihan raya kecil dia serah kepada orang bawahannya daripada timbalan perdana menteri sehingga pemimpin bawah yang akan pergi kempen dan dia tumpu (kepada negara),” katanya ketika berucap pada majlis Sembang Santai Usahawan Desa dan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia, di sini hari ini.

Anwar berkata, kehadiran Dr Mahathir itu dilihat akan memberi semangat kepada pengundi Port Dickson untuk menyokong calon PH dan berharap pemimpin utama negara itu dapat memberi jaminan untuk membantu mereka.

No comments:

Post a Comment