Thursday, October 18, 2018

MAHATHIR BERSARA PM SELEPAS DUA PENGGAL PADA TAHUN 2028?

KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) – Tempoh perkhidmatan jawatan Perdana Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri akan dihadkan kepada dua penggal sebagai langkah segera yang dilaksanakan bagi mereformasikan sistem politik, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir ketika membentangkan usul mengenai Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11) 2016-2020: Keutamaan dan Penekanan Baharu berkata selain itu, Perdana Menteri juga tidak dibenarkan untuk memegang porfolio lain.

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada keutamaan dan penekanan baharu dalam mereformasi tadbir urus ke arah meningkatkan ketelusan dan kecekapan perkhidmatan awam.

Dr Mahathir berkata peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga diasingkan supaya diurus oleh dua individu yang berlainan untuk mempertingkatkan mekanisme semak dan imbang pada semua peringkat.

Bagi menambah baik sistem pilihan raya pula, Perdana Menteri berkata had umur mengundi akan diturunkan kepada 18 tahun dan undang-undang berkaitan pembiayaan politik akan diperkenalkan.

“Penambahbaikan sistem pilihan raya akan dilaksana dengan membersihkan daftar pemilih, menambah baik proses pengundian pos dan menyediakan akses yang adil kepada media,” katanya.

Katanya kuasa autonomi Parlimen akan dipertingkat dengan memperkenalkan semula Akta Perkhidmatan Parlimen 1963.

“Sistem jawatankuasa pemilih akan diwujudkan. Jawatankuasa ini akan memperaku pelantikan jawatan utama di SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya), Jabatan Audit Negara dan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman. Suruhanjaya tertentu seperti SPRM dan SPR akan juga bertanggungjawab secara langsung kepada Parlimen,” katanya.

Dr Mahathir berkata hubungan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan kerajaan tempatan akan ditambah baik dengan mengembalikan semula semangat federalisme.

Dalam soal integriti dan akauntabiliti, Dr Mahathir berkata Ombusdman Malaysia akan ditubuhkan untuk menyiasat dan melaporkan secara bebas aduan terhadap agensi kerajaan manakala (SPRM) akan ditransformasi sebagai badan bebas sepenuhnya.

“Akta SPRM 2009 akan dikaji secara menyeluruh. Undang-undang pencegahan rasuah juga akan diperkukuh dengan mengkaji semula Akta Perlindungan Saksi 2009 dan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010,” katanya.

Dr Mahathir berkata selain itu, prosedur perolehan kerajaan akan ditambah baik dengan memperkenalkan rangka kerja perundangan berkaitan yang lebih komprehensif dan berkesan serta menguatkuasakan pelaksanaan tender terbuka, selain mengkaji semula rangka kerja projek perkongsian awam-swasta bagi mengoptimumkan sumber.

Dalam memperkukuhkan penyampaian perkhidmatan awam pula, beliau berkata satu pasukan petugas khas akan ditubuhkan untuk menilai peranan dan fungsi pelbagai entiti termasuk badan berkanun dan syarikat milik kerajaan.

Selain itu, Perdana Menteri berkata jentera perkhidmatan awam akan diperkemas ke arah meningkatkan kecekapan dan produktiviti melalui adaptasi model kecemerlangan perniagaan sebagai instrumen analisis prestasi kementerian dan agensi.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT), sebagai pihak yang paling hampir dengan rakyat akan diperkasa selaras dengan keperluan rakyat dan perkembangan teknologi. Ini akan dilaksanakan melalui penarafan PBT berdasarkan tahap kecemerlangan penyampaian perkhidmatan.

“Mandat yang diberikan oleh rakyat adalah untuk kita melakukan perubahan. Maka reformasi tadbir urus menjadi keutamaan. Kita telah melakukannya dengan menukar pemimpin institusi kritikal seperti institusi kehakiman, Jabatan Peguam Negara, SPRM dan SPR. Tadbir urus kerajaan perlu diperbaiki. Ketelusan akan ditingkatkan bagi mencegah rasuah dan membasmi salah guna kuasa,” katanya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment