KUDAT 28 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak meminta mana-mana pemimpin UMNO yang tidak bersetuju dengannya supaya tidak mengkhianati dan cuba menghancurkan parti, sebaliknya mereka boleh mencabar kedudukannya sebagai Presiden sesuai mengikut Perlembagaan parti.
Menurut Perdana Menteri, beliau bersedia untuk bertanding dengan sesiapa sahaja mengikut Perlembagaan UMNO, sebaliknya jika pemimpin tersebut cuba merosakkan parti, maka setiap ahli UMNO akan bangkit menentang.
“Kalau tidak setuju dengan saya sebagai Presiden, lawanlah saya, tidak mengapa. Lawan ikut Perlembagaan parti, tetapi jangan sesekali mengkhianati parti dengan cara menubuhkan parti baharu.
“Kalau begitu, maksudnya bukan lawan saya tetapi lawan UMNO. Sebab itulah kita pantang undur dalam perjuangan. Ini bukan lagi soal kuasa sahaja, ini adalah maruah diri kita sebagai anggota parti, maka ahli perlu bangkit menentang,” tegasnya ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Zon 1 meliputi UMNO Bahagian Kudat, Kota Marudu, Kota Belud dan Tuaran, di sini hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak; Ketua UMNO Bahagian Kudat, Datuk Bolkiah Ismail; Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Hajiji Noor dan Ketua UMNO Bahagian Kota Marudu, Datuk Wetrom Fikri.
Najib berkata, beberapa bekas pemimpin UMNO kini sudah hilang nilai persahabatan dalam perjuangan kerana mereka hanya mempertahankan parti ketika mahukan sesuatu, namun apabila gagal memilikinya parti yang banyak berjasa dijadikan mangsa serangan.
Menurutnya, ketika senang pemimpin-pemimpin tersebut datang sebagai kawan, tetapi semasa berdepan dengan pelbagai cabaran beliau ditinggalkan keseorangan.
“(Allahyarham) Tun Mustapha Harun (Ketua Menteri Sabah Ketiga) pernah berkata, pantang nenek moyang kita kalau meninggalkan kawan yang dalam kesusahan. Ini adalah nilai baik dalam perjuangan. Takkan masa senang saja kita ada kawan. Masa senang kawan ramai, masa susah kita tinggal keseorangan,” jelasnya.
Sehubungan itu Najib berkata, nilai-nilai persahabatan yang diterapkan oleh bekas pemimpin UMNO itu perlu diamalkan dan dihayati oleh setiap ahli UMNO kerana merupakan asas kekuatan parti.
Menurutnya, kesetiaan UMNO Sabah adalah bukti nilai persahabatan dalam perjuangan masih ada kerana pemimpin dan ahli-ahlinya sentiasa memberi sokongan kepada parti sejak bertapak di negeri ini 25 tahun lalu.
Jelasnya, itu bertepatan dengan kemasukan UMNO di Sabah yang berteraskan kepada empat prinsip iaitu mewujudkan kestabilan politik, perpaduan antara kaum, menjamin keselamatan dan membawa pembangunan kepada rakyatnya.
“Bila kita ada kekuatan sebegini kita boleh menghadapi apa juga cabaran, kita mesti ada kestabilan politik dan alhamdulillah sejak UMNO lahir dan berkembang di Sabah, sudah ada kestabilan itu. Alhamdulillah malam ini saya boleh tidur genero (lena) sebab saya tahu UMNO Sabah dalam susah atau senang akan tetap bersama saya sebagai presiden parti,” katanya.
No comments:
Post a Comment